MALAYSIAKINI
Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel berkata parti itu akan merayu
kepada Pendaftar Pertubuhan (ROS) berhubung arahan agar ia mengadakan
pemilihan semula 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dan tiga
jawatan naib presiden.
Palanivel, yang pulang hari ini daripada melakukan lawatan rasmi ke
Peru, berkata rayuan itu akan dikemukakan selepas beliau mengadakan
mesyuarat dengan para pegawai tinggi MIC, jawatankuasa pemilihan dan
peguam dalam tempoh 10 hari lagi.
Bercakap kepada pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA)
sejurus tiba di Sepang, Palanivel, yang juga Menteri Sumber Asli dan
Alam Sekitar, berkata mesyuarat itu akan membincangkan "beberapa perkara
tidak jelas" dalam surat ROS yang dihantar kepada setiausaha agung MIC,
A. Prakash Rao, Jumaat lepas.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara terperinci tentang "perkara
tidak jelas" itu yang akan dibangkitkan pada mesyuarat berkenaan.
"Kami akan membincangkan perkara ini terlebih dahulu pada mesyuarat
itu... dan membuat keputusan mengenainya. Saya tidak pasti tentang
perkara yang dikatakan ROS itu. Kami (MIC) telah mengira kertas undi
pada pemilihan di Melaka dan proses pengiraannya berjalan dengan baik di
Melaka.
"Semua peti undi berada di bilik kami (pejabat MIC), dan tentunya ROS
tidak akan campur tangan untuk mengira kertas undi berkenan. Oleh itu,
biarlah kami bermesyuarat dahulu dan selepas itu kami akan tahu hasilnya
sebelum kami boleh mengemukakan rayuan," kata beliau dalam nada ceria.
Palanivel melakukan lawatan kerja 12 hari ke Peru untuk menghadiri
Persidangan Pihak kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa
Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC).
"Siasatan mengenai dakwaan wujud penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa
dalam pemilihan di Melaka tidak akan diadakan. Ini kerana kami sendiri
yang mengira kertas undi sebanyak dua kali dan calon juga berpuas hati
serta menerima keputusannya," kata beliau apabila ditanya sama ada MIC
akan menyiasat dakwaan itu.
Beberapa penyokong Palanivel dari seluruh negara menunggu kepulangan
beliau di luar bilik orang kenamaan di Aras 5 KLIA sambil memegang
sepanduk.
Selepas sidang media, Palanivel bersalaman dan berbual dengan penyokongnya sebelum beredar dari KLIA.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan