Khamis, 4 Disember 2014

Mashitah jangan jual agama - Abby Abadi

MUHAMMAD FAIZAL


KUALA LUMPUR: Abby Abadi meminta Ketua Wanita Umno Bahagian Baling, Datuk Dr Mashitah Ibrahim agar tidak menjual agama dengan berdolak dalik dalam isu memperlekeh kewujudan 'ustaz ekspres, ustazah jadian' dalam kalangan artis yang berhijrah dan bersama dengan PAS.

Katanya, ucapan Mashitah pada Persidangan Wanita Umno minggu lalu amat jelas mengkritik artis-artis yang berhijrah termasuk ustaz yang berdakwah menggunakan kaedah hiburan.

"Rasanya beliau perlu berfikir terlebih dahulu sebelum membuat penafian, jelas apa yang beliau ucapkan pada persidangan Umno yang lalu.

"Saya cuma ingin tahu kenapa artis yang berhijrah terutamanya bersama PAS sahaja dikritik kenapa pula mereka yang bersama Umno tidak dipersoalkan," katanya kepada Harakahdaily.

Abby Abadi turut mempersoalkan pendirian Mashitah yang berkata tentang kelayakan seseorang dalam menyebarkan agama Allah.

"Bagi saya untuk mengingatkan seseorang itu tentang Islam ia tidak perlu ada gelaran, tak bolehkah orang yang selama ini buat salah mengingatkan orang lain agar tidak melakukan dosa, sudah tentu boleh sebab itu dari pengalamannya sendiri.

Menurut beliau lagi, kenyataan Mashitah sebelum ini terlalu banyak yang mengelirukan rakyat khususnya umat Islam yang perlu diambil perhatian.

"Jangan ingat bila duduk di dalam Umno atau kerajaan kita boleh mengeluarkan kenyataan mengikut kehendak diri sendiri, perlu bijak berfikir jangan menjadikan diri kita ini 'bodoh' tanpa kita sedar.

"Mashitah yang dulu selalu bercakap tentang agama, bersopan santun telah hilang apabila sekarang lebih mementingkan jawatan serta kedudukan," tambahnya lagi.

Mashitah semalam menjelaskan beliau tidak bertujuan menghina atau memperlekeh mana-mana pihak apabila membuat teguran mengenai kewujudan ramainya ‘ustaz ekspres, ustazah jadian’ dalam kalangan artis yang berhijrah.

Ketua Wanita Umno Baling itu berkata, pandangannya yang dikemukakan ketika berucap pada Perhimpunan Agung Umno minggu lepas, disalah erti sehingga menimbulkan kemarahan banyak pihak. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: