Roketkini.com
KUALA LUMPUR: Sekumpulan tokoh Melayu yang terdiri
daripada bekas pegawai tinggi kerajaan, ahli akademik dan profesional
menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyelesaikan segera
ketegangan antara kaum dan agama dalam negara.
Penulisnya Datuk Noor Farida Ariffin, bekas Duta Besar
Malaysia ke Belanda yang juga bekas Ketua Pengarah Penyelidikan,
Perjanjian dan Jabatan Undang-undang Antarabangsa, Kementerian Luar
bimbang dan kecewa dengan perbalahan berterusan berhubung kedudukan dan
amalan undang-undang Islam di negara ini.
“Semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhaluan
kanan dengan sewenang-wenangnya menuduh pihak yang berani bersuara
sebagai anti-Islam, anti institusi beraja dan anti-Melayu,” kandungan
surat terbuka tersebut dipetik.
Kumpulan itu bimbang bercambahnya NGO berhaluan kanan,
menggambarkan salah faham kedudukan undang-undang Islam dalam kerangka
demokrasi berparlimen, serta mencerminkan keruntuhan pembahagian kuasa
antara Pusat dengan kerajaan negeri.
“Perkembangan ini menjejaskan komitmen Malaysia terhadap
prinsip-prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang, melahirkan sikap
tidak bertolak-ansur dan ketaksuban, serta menggugat keamanan dan
kestabilan negara,” ujarnya.
Tegas mereka, tindakan kumpulan NGO itu menyukarkan usaha
untuk mengadakan perbincangan dan mencari jalan penyelesaian konflik
secara rasional.
Dalam pada itu penggunaan Akta Hasutan sebagai alat
menggertak dan mendiamkan sesiapa yang mempunyai pandangan yang berbeza
juga amat membimbangkan.
Sehubungan itu, mereka mendesak Najib untuk menilai semula
undang-undang Jenayah Syariah dan memastikan hak rakyat membahaskan
bagaimana Islam diguna sebagai sumber undang-undang serta dasar awam
negara.
Mereka turut menyarankan Najib mempertingkatkan kesedaran
mengenai kepelbagaian yang wujud dalam penaafsiran teks dan ilmu fiqah,
termasuk kaedah perundangan yang memungkinkan reformasi dan menegakkan
prinsip kesaksamaan serta keadilan.
“Najib juga harus melantik pemimpin yang berupaya
menghidupkan budaya debat dan wacana terbuka berhubung pentadbiran
undang-undang Islam di negara ini,” tambah surat tersebut.
Selain Noor Farida Surat tersebut ditandatangani bekas
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Datuk Abdul Rahim Haji
Din, bekas Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Tan Sri Ahmad Kamil
Jaafar, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Shaik Daud Md Ismail,
bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Latifah Merican Cheong dan 20
lainnya.
Kumpulan bekas Pegawai Tinggi Kerajaan bimbang dengan
kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir
Baharom yang mendakwa golongan transgender dan Sisters in Islam (SIS)
sebagai satu ‘gelombang tentangan bentuk baru terhadap Islam’ dan cubaan
untuk ‘memesongkan akidah umat Islam’
“Kenyataan mengapi-apikan seumpama ini daripada seorang
menteri menunjukkan komitmen Najib memperjuangkan gagasan kesederhaan
tidak perlu diambil berat memandangkan menteri kabinetnya sendiri
memperlekehkannya,” tegasnya. – Roketkini.com
Tiada ulasan:
Catat Ulasan