Sabtu, 12 Julai 2014

Jangan ulangi peristiwa 1977 menimpa Kelantan di Selangor

MSO


Entah azimat dan takar apa yang Abdul Khalid Ibrahim pakai untuk mengemaskan kedudukannya sebagai MB Selangor tidak diketahui. Mungkin takar Jawa atau Banjar? Tampaknya beliau liat dan leet macam "tahi beruk" untuk berundur walaupun ada tekanan berterusan. Bahkan dia kelihatan confident dengan sokongan yang diterimanya. Mungkin juga ada sokongan atau kata-kata jaminan secara senyap daripada pihak lebih berkuasa?

Khalid dalam satu majlis dengan Umno.
Dengan cara yang diambil sekarang oleh mereka yang mahu menurunkannya tidak mungkin Khalid bermurah hati untuk meninggalkan Bangunan Sultan Abdul Aziz. Kerusi MB bukan banyak, hanya 13 buah sahaja, termasuk kerusi Ketua Menteri Melaka, Pulau Pinang, Sarawak dan Sabah. Jadi adalah "kuliha"nya untuk Khalid merasa sayang dan terus berbulan madu dengan kerusi berkenaan tanpa mempedulikan hiruk pikok di luar.
Jawatan MB juga boleh menjadi pelindung atau insuran kepada hutangnya sebanyak RM70 juta?

Tekanan dalaman baik secara terbuka dan dalam mesyuarat sudah tidak didengar langsung. Khalid semacam sudah berikrar dengan diri dan tekad bersama penyokongnya untuk tidak berundur. Slogan Anwar Ibrahim, "lawan tetap lawan" telah dirampas dan digunakan sepenuhnya.

Jadi apakah pilihan yang ada kini bagi memastikan beliau turun daripada kerusi MB. Hanya ada dua sahaja, pertama keberanian Anwar Ibrahim untuk meminta Khalid meletak jawatan secara diplomasi, kedua dengan mengadakan undi tidak percaya. Cara pertama adalah lebih lendik dan teratur kerana ia tidak membabitkan pihak lain.

Walaupun selama ini Anwar sudah memberi isyarat kepada Khalid agar berundur, tetapi ia tidak dipedulikan Khalid. Mungkin Anwar perlu bertegas. Anwar perlu bertanggungjawab untuk memecat Khalid kalau dia sudah tidak layak kerana Anwar bertanggungjawab mengambilnya untuk jadi MB. Khalid jadi MB adalah kerana Anwar.

Mohammad Nasir
Tetapi apakah Khalid akan akur? Dalam politik orang sanggup bukan sahaja setakat baling kerusi, bertumbuk sampai pecah pipi dan patah hidung tetapi berbunuhan pun orang sedia dan tergamak. Tidak ada yang tidak sampai hati dalam politik. Kalau diambil sifir itu, maka tidak mudah untuk Khalid berundur kandati dipaksa macam mana sekali pun. Diplomasi sudah tak berhasil.

Dalam politik juga nilai dan erti sahabat tidak berpanjangan, ia berlaku dalam keadaan tertentu sahaja. Begitu juga dengan budi dan jasa, atau pengorbanan bukan nilaian mutlak. Selalu yang menang dalam politik mereka yang tidak ada air muka dan membuang moral sebagai manusia normal. Yang tutup mata, pekuk telinga dan pecet hidung.

Makanya jalan kedua lebih berkesan, iaitu usul undi tidak percaya dalam DUN Selangor. Tetapi cara ini berisiko besar berbanding dengan cara pertama tadi. Kalau jalan kedua ini hendak diambil PKR atau Anwar kena yakinkan rakan-rakan dalam PKR terutamanya Pas. Tanpa mendapat persetujuan hitam putih dan bertulis daripada Pas, jangan sesekali cuba hendak bawa usul undi tidak percaya. Pas boleh tungging belakang begitu sahaja, yang malu dan rugi PKR juga.

PKR terutamanya Anwar sudah banyak pengalaman dengan Pas sebelum ini, yang mana tidak manis kalau disebut di sini nanti ada orang marah. Pas walaupun parti Islam tetapi ada segelintir pemimpinnya bermulut manis jubur masam.

Jalan kedua itu juga tidak mudah. Sudah ada belang yang Pas tidak akan bersetuju dengan pelan berkenaan. Kenyataan daripada pemimpin Pas soal MB adalah keputusan rakyat nyata bagaikan dibaris. Penolakan Pas terhadap pelan Kajang Move menjelaskan apa yang akan berlaku. Pas juga adalah rakan politik kepada PR atau Anwar Ibrahim. Sebagai sifat rakan politik Pas tidak dapat memastikan dia jujur dan ikhlas.

Sebagai parti yang menganuti sama fahaman sekular Machiavellianisme Pas bukan rakan yang boleh dipercayai seperti juga DAP. Demikian sebaliknya.

Sama ada pelan kedua itu jalan atau tidak, suka saya nak ingatkan di sini mengenai peristiwa yang berlaku pada tahun 1977 di Kelantan. Pada masa itu Pas Kelantan sedang menghadapi kerumitan untuk membuang MB mereka, Mohamad Nasir. Keadaannya samalah seperti apa berlaku di Selangor yang dihadapi PKR kini.

Untuk tujuan itu berbagai usaha dilakukan termasuk nasihat dan sebagainya. Parti juga memberi beberapa pandangan kepada Mohamad Nasir. Adapun sebab kenapa Mohamad Nasir hendak dipecat ialah kerana beliau dilihat tidak memberi keuntungan kepada parti sebaliknya berpihak kepada Umno. Pentadbirannya menyebabkan Umno untung. Walaupun diberi nasihat secara baik, tetapi Mohamad Nasir tetap berdegil untuk tidak melepaskan jawatan. Mulanya dia berjanji untuk berundur dengan baik, tetapi janji itu dimungkiri begitu sahaja.

Jalan terakhir diambil oleh Pas Kelantan dengan mengusulkan undi tidak percaya dalam DUN Kelantan. Usul itu dibawa oleh kumpulan 20 para Adun Pas yang tidak bersetuju dengan Mohamad Nasir. Usul berkenaan berjaya diluslukan dengan 20 undi menyokong 12 undi daripada Umno dan 1 MCA menentang. Kalau mengikut keputusan DUN itu Mohamad sudah hilang hak menjadi MB.

Tetapi usul undi tidak percaya itu tidak membawa apa-apa perubahan. Ia tidak menyelesaikan kemelut yang berlaku. Keengganan Mohamad Nasir menyebabkan ia tidak menamatkan krisis. Mohamad Nasir bukan sahaja dikenakan undi tidak percaya, sebaliknya ikut dipecat daripada PAS. Pemecatan itu juga tidak menghasilkan apa-apa.

Mohamad Nasir sebaliknya menajdi makin "manggak" apabila ada golongan yang menyokongnya di belakangnya. Kumpulan 12 orang Adun Umno bersamanya. Mereka ini memberi sokongan dan semangat kepada Mohamad Nasir agar tidak tunduk kepada desakan Pas serta tidak keluar dari pejabat SUK. Untuk menunjukkan Mohamad Nasir mendapat sokongan rakyat, Umno menggerakkan himpunan di beberapa jajahan bagi menyatakan sokongan kepada Mohamad Nasir.

Rengkas cerita, usul undi tidak percaya dan pemecatan Mohamad Nasir tidak kesampaian tujuannya. Sebaliknya ia memarahkan lagi keadaan. Himpunan rakyat membela Mohamad Nasir yang ditaja Umno berlaku dimana-mana sahaja. Ia berakhir dengan tunjuk perasaan yang mengakibatkan Kelantan diletak dibawah MAGERAN dan kuasa kerajaan Pas dibekukan.

Jadi tragedi yang menimpa Kelantan 37 tahun lalu perlu diingat dan diambil iktibar sebelum ada cadangan hendak mengusulkan undi tidak percaya kepada Khalid Ibrahim. Saya dapat gambarkan macam mana kalau DUN Selangor sedia menerima usul berkenaan untuk diundi, ribuan orang akan ke Shah Alam dengan pelbagai sepanduk. Dan sesungguhnya pihak musuh PR hanya sedang menanti detik-detik berkenaan saja untuk bertindak dan mengganas.

NGO-NGO yang makan upah, perut buncit dan misai melekong macam tanduk seladang, berasa seronok dan mereka akan mendapat peluang mengisi tembolok dengan kejadian itu nanti. Mereka inilah yang akan mendolor punggung Khalid ke langit dan menggelarkan Khalid "Pejuang Rakyat", "Pembela Rakyat" dan sebagainya seperti mana dilakukan kepada Mohamamd Nasir yang digelar sebagai "Datuk Jujur".

Janganlah peristiwa itu berulang di Selangor kerana ia sangat-sangat memeritkan sekali.

Tiada ulasan: