GLASGOW: Atlet angkat berat Mohd Zulhelmi Pisol membuat kejutan apabila
muncul sebagai penyumbang pingat pertama buat kontinjen negara pada
temasya Sukan Komanwel kali ke-20 di Glasgow semalam.
Atlet pelapis berusia 21 tahun itu meraih pingat perak bagi kategori
56kg dengan jumlah angkatan 245kg di Scottish Exhibition and Conference
Centre Precint.
Atlet berasal dari Pulau Pinang itu membuat angkatan snatch 108kg dan
clean and jerk seberat 137kg. Dua atlet dari India Sukhen Dey dan Ganesh
Mali, masing-masing meraih pingat emas dan gangsa.
Sukhen melakukan angkatan seberat 248kg yang melibatkan snatch 109kg
dan clean and jerk 139kg manakala Ganesh pula 244kg dengan angkatan
snatch 111kg dan clean and jerk 133kg.
Mohd Zulhelmi ketika ditemui berkata beliau sangat teruja selepas
berjaya meraih pingat pada penampilan pertamanya di Sukan Komanwel.
"Saya masih baru dalam kejohanan besar seperti ini, jadi memang sudah menjangkakan saingan sengit daripada atlet-atlet senior.
"Namun saya masih tidak berpuas hati dengan angkatan clean and jerk
sebab saya pernah melakukan angkatan seberat 140kg ketika berlatih,"
katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata
beliau memuji semangat dan kesungguhan atlet muda seperti Mohd Zulhelmi
yang tidak mudah putus asa untuk bersaing dengan barisan atlet
berpengalaman pada kejohanan berprestij itu.
"Pada awal angkatannya Mohd Zulhelmi ketinggalan, namun saya puji
beliau bersemangat untuk bangkit dan meraih pingat buat negara, saya
juga percaya atlet angkat berat yang lain mampu menyumbang pingat emas
dalam saingan seterusnya nanti," kata Khairy. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan