SHAH ALAM - Penyanyi era 80-an yang juga calon Bebas PRU13 bagi kerusi Parlimen Tanjong Karang, Herman Tino menerusi laman mikro Twitter miliknya menggesa pengundi di Kajang membuat pilihan bijak pada PRK kawasan itu , Mac depan.
"Anak Kajang dan anak Selangor, mari berpakat cari pemimpin yang pandai bukan memandai-mandai," tulis beliau.
Herman atau nama sebenarnya Masrun Tamsi, 60, juga mengandaikan PRK Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac ini sebagai 'politik damai' lawan 'politik pesona'.
"Siapa pilihan anak Kajang," soalnya.
Penyanyi kelahiran Selangor ini pada PRU13 lalu menarik perhatian umum apabila mencabar penyandang yang juga seorang menteri, Datuk Seri Noh Omar bagi merebut kerusi Parlimen Tanjong Karang.
Keputusan bagaimanapun memihak kepada Noh yang menang besar apabila memperolehi 20,548 undi manakala lawannya Mohamad Rashdi Deraman (Pas) memperolehi 16,154 undi, manakala Herman menerima 340 undi.
Penyanyi yang popular dengan lagu 'Yale Yale' ini turut hilang wang pertaruhannya sebanyak RM10,000.
PRK Dun Kajang diadakan selepas penyandangnya, Lee Chin Cheh mengosongkan kerusi itu secara mengejut bagi memberi laluan kepada Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar bertanding di kerusi terbabit.
Setakat ini, bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim sudahpun mengesahkan untuk mencabar Anwar merebut kerusi itu, manakala BN (MCA), masih belum menamakan mana-mana calonnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan