Syed Azman Syed Ahmad Nawawi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi


SHAH ALAM - Pembangkang di Terengganu membidas kenyataan Menteri Besar Terengganu yang mendakwa tindakan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan projek kerajaan di negeri itu sebagai permainan politik.

Adun Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, perkara itu bukan dilakukan berdasarkan suka-suka tetapi telah membuat kajian sekaligus memastikan rakyat di negeri terbela.

Beliau juga berkata, akan ada individu yang dikaitkan dengan enam aduan yang dilakukan terhadap SPRM serta dikenakan tindakan.

"Kita jalankan tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat, dan atas dasar prihatin.

"Kita bukan buat untuk sekadar tujuan politik seperti yang dinyatakan Ahmad Said. Kita telah lakukan dengan bersungguh melalui dokumen yang kita serahkan kepada SPRM.

"Dan kita berkeyakinan penuh ada pihak yang akan disiasat oleh SPRM setelah kita serahkan dokumen yang diperlukan," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Semalam, media melaporkan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, beliau sedia disiasat SPRM berhubung dakwaan penyelewengan projek kerajaan di Terengganu sekaligus menyifatkan pembangkang hanya menggunakan itu sebagai permainan politik.

"Saya sedia disiasat SPRM...saya serahkan kepada SPRM untuk selesaikan masalah ini," kata kepada pemberita selepas merasmikan masyuarat agung Persatuan Ibu Bapa Guru Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok di sini, Sabtu.