Isnin, 24 Februari 2014

Bila kanak-kanak tanpa kerakyatan akan dapat pembelaan Putrajaya, tanya aktivis

Oleh JENNIFER GOMEZ


Kanak-kanak tanpa kad pengenalan dinafikan hak di negara ini, kata N Surendran. Gambar fail.Kanak-kanak tanpa kad pengenalan dinafikan hak di negara ini, kata N Surendran. Gambar fail. 

























Berumur 13 tahun, Hemarani dari Tanjung Sepat, Selangor, tidak mempunyai kerakyatan yang sah dan mempunyai masalah jantung tetapi apa yang bermain di fikirannya ialah adakah dia boleh mengambil peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun depan.

Dia bersekolah di sebuah sekolah Tamil dekat rumahnya, manakala keluarganya tidak mempunyai pekerjaan tetap, terpaksa membelanjakan antara RM400 hingga RM500 setiap kali mendapatkan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) kerana tidak layak mendapatkan rawatan percuma kerajaan.

Masalah Hemarani, bersama kira-kira 150,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia, diketengahkan oleh NGO Suara Kanak-kanak (VoC) dalam satu tayangan dokumentari di Kuala Lumpur, dua hari lalu.

Ahli politik dan aktivis, N Surendran, berkata dokumentari bertajuk "Tanpa kerakyatan: Kanak-kanak yang dilupakan" menunjukkan cerita kanak-kanak yang sangat mengusik jiwa; yang tidak mempunyai kad pengenalan dengan pelbagai sebab, dinafikan hak untuk mendapatkan pelajaran dan khidmat kesihatan serta dipinggirkan oleh pihak berkuasa yang kurang kehendak politik untuk menyelesaikan masalah ini.

“Mereka juga dieksploitasi, diganggu dan didera oleh pihak berkuasa. Ia adalah polisi kerajaan persekutuan untuk pengabaian sengaja.

“Mereka tahu masalah itu, mereka ada jalan penyelesaian tetapi enggan menyelesaikannya,” katanya kepada The Malaysian Insider sebelum tayangan dokumentari itu.

Surendran berkata, kanak-kanak tanpa kerakyatan dan ibu bapa mereka menjadi “masalah terselindung rakyat Malaysia” oleh Putrajaya walaupun ia adalah satu masalah yang serius dan memberi kesan besar terhadap masyarakat.

“Kanak-kanak ini tidak berpeluang mendapat pendidikan sempurna, jika mereka masuk ke dalam sistem persekolahan kebangsaan sekalipun, mereka perlu mendaftarkan diri sebagai warga asing dan bayar levi.

“Dan mereka tidak dapat masuk ke universiti,” katanya.

Pengarah VoC, Dr Hartini Zainudin dan juga pengasas Yayasan Chow Kit yang bercakap daripada pengalaman peribadinya, berkata beliau mengaitkan masalah itu dengan kisah beliau mengambil anak angkat yang kini berumur 6 tahun bernama Zara.

Katanya, beliau menemui Zara ketika berumur dua bulan dalam satu kumpulan yang dipercayai terbabit dengan aktiviti pemerdagangan manusia.

Beliau tidak tahu asal usul kanak-kanak yang disayangi itu, termasuk dari mana dia datang. Dan walaupun beliau adalah aktivis yang sudah lama memperjuangkan hak kanak-kanak, Hartini bimbang dengan masa depan anaknya.

“Saya sudah biasa dengan kerja seperti ini, tetapi dalam kes ini, saya tidak rasa saya boleh berdiam, saya tidak akan boleh menerima keadaan itu,” katanya.

Fitrah (bukan nama sebenar), 22, sangat tahu kesukaran yang bakal dihadapi kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. Dalam kesnya, ibu bapanya lari dari selatan Filipina pada 1976 ketika perang di sana dan menjadikan sebuah kampung di Sabah sebagai kediaman mereka.

Tetapi oleh kerana dia tidak mempunyai dokumen, Fitrah ditangkap dan dibawa ke kem untuk warga asing tanpa permit kerja beberapa tahun lalu. Dia ditahan di situ selama sebulan sebelum dihantar pulang ke Filipina, di mana dia tidak mempunyai keluarga atau rakan.

Sebulan selepas itu, dia berjaya pulang semula ke Sabah menaiki bot untuk bersama keluarganya, tetapi setiap hari, dia hidup dalam ketakutan kerana bimbang ditangkap dan dihantar ke Filipina sekali lagi.

Surendran berkata, pemeriksaan tahun lalu menunjukkan terdapat kira-kira 49,000 kanak-kanak tanpa kerakyatan di semenanjung Malaysia, dengan lebih 80% daripada mereka adalah kaum India.

Statistik Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan bahawa terdapat 50,000 dewasa dan kanak-kanak tanpa dokumen di Sabah.

Beliau berkata, hampir setiap hari beliau akan menerima panggilan telefon daripada ibu bapa meminta bantuan menyelesaikan masalah tiada dokumen, tetapi beliau tidak dapat membantu kerana penyelesaian berada di tangan kerajaan memerintah.

“Hakikatnya, hanya Putrajaya boleh menyelesaikan masalah ini kerana JPN berada di bawah Kementerian Dalam Negeri. Dengan menyelaraskan polisi kanak-kanak tanpa kerakyatan, mereka dengan mudah dapat memberikan kanak-kanak itu dnegan dokumen yang diperlukan dan kerakyatan,” katanya.

Surendran berkata, jaminan perlembagaan ialah dilarang mana-mana anak dijadikan tiada kerakyatan di Malaysia kerana Artikel 14 menyatakan anka yang dilahirkan dalam negara menjadi rakyat dengan undang-undang “hanya jika salah seorang ibu bapa adalah rakyat atau penduduk tetap di Malaysia
pada waktu anak dilahirkan”, atau anak itu “tidak dilahirkan sebagai warganegara mana-mana negara”.

“Bila kita ke JPN dengan kes ini, mereka enggan menyelesaikannya, dan sering memberikan alasan sedangkan dengan jelas, penyelesaian berada pada mereka,” katanya.

Surendran mengaitkan kes K Sarojini – masalah tiga generasi bermula nenek, anaknya yang sudah dewasa dan cucu semuanya tiada kerakyatan – dibawa ke mahkamah selepas rayuannya kepada JPN tidak dilayan.

“Hanya selepas perkara itu dibawa ke mahkamah, Kementerian Dalam Negeri menawarkan penyelesaian dan mengeluarkan kad pengenalan kepada mereka.

“Tapi mustahil untuk kami bawa semua kes seumpama itu ke mahkamah hanya untuk mendapatkan perhatian mereka,” katanya.

Dalam kes itu, Letchumy, 70, dan dua anak perempuannya, Mala, 45, dan Sarojini, 33, mendapatkan perintah mahkamah untuk membolehkan JPN mengeluarkan kad pengenalan biru (MyKad) kepada mereka selepas beberapa kali permohonan ditolak kerana didakwa mereka bukan warganegara di sisi undang-undang.

Letchumy, yang dilahirkan di Tanjung Sepat, Selangor hanya menerima taraf penduduk tetap (PR) tahun lalu, ketika beliau memfailkan kerakyatan pada 2008.

Tuntutannya untuk mendapatkan kewarganegaraan, bagaimanapun, JPN menafikan dan enggan mengambil kira latar belakang tempat kelahirannya.

Tetapi, selepas dicabar secara undang-undang dan difailkan di mahkamah, JPN mengeluarkan MyKad kepada mereka.

Peguam Sarojini, Eric Paulsen, yang hadir pada majlis tayangan dokumentari itu berkata, sebelum permohonan itu difailkan di mahkamah, keluarga itu beberapa membuat permohonan kepada JPN dalam tempoh 20 tahun lalu, dan dalam surat menolak permohonan itu, JPN sangat “sombong”.

“Surat JPN berkata bukan sahaja permohonan mereka ditolak, mereka beritahu supaya jangan susah-susah memfailkan lagi permohonan,” kata Paulsen.

Paulsen berkata, beliau juga keliru dengan cara Kementerian Dalam Negeri yang boleh memberikan taraf kewarganegaraan kepada kira-kira 4,000 hingga 5,000 individu berasal dari Cina dan India sebelum pilihan raya umum lalu, tetapi tidak boleh menggunakan polisi yang sama pada waktu lain.

Pengerusi VoC, Sharmila Sekaran, bagaimanapun berharap Putrajaya akan mengambil tindakan, kerana kesannya amat besar jika penyelesaian segera tidak dilakukan kerana masalah membabitkan kanak-kanak tanpa kerakyatan di Malaysia semakin membesar.

Beliau berkata, isu hak asasi manusia bagi seseorang tanpa kerakyatan berisiko tinggi dalam bentuk liabiliti ekonomi dan masalah sosial.

Menggesa Putrajaya untuk menangani isu itu, Sharmila berkata:”Kami hanya mahu kanak-kanak tanpa kerakyatan ini diberikan dokumen, negara yang boleh dipanggil rumah dan peluang untuk sebuah kehidupan, tetapi dengan jelas kerajaan tidak mempunyai keinginan politik untuk berbuat demikian.

“Sebelum ini, kami ada ke Kementerian Dalam Negeri membawa 16 kes kanak-kanak tanpa kerakyatan dan mereka diberikan sijil kelahiran tahun lalu.

“Walaupun dokumen sijil kelahiran itu menyatakan mereka bukan warganegara, kami difahamkan bahawa ia adalah laluan untuk mendapatkan kewarganegaraan, tetapi ini nampaknya tidak menjadi kes kementerian sekarang,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, sudah tiba masanya untuk patah balik dan merangka semula kerja bersama Kementerian Dalam Negeri untuk mencari jalan penyelesaian membabitkan rakyat tanpa negara.

Beliau berkata, apa yang VoC minta pada masa ini ialah kanak-kanak berkenaan diberikan dokumen sebagai permulaan, sebelum taraf kewarganegaraan.

“Kita faham bahawa ada keperluan untuk proses pengesahan sebelum kerajaan memberikan kewarganegaraan.

“Jadi kami mengusulkan supaya kanak-kanak ini diberikan dokumen pengenalan dahulu, sementara proses pengesahan berjalan,” katanya

Tiada ulasan: