Isnin, 24 Februari 2014

Hukum Karpal bersalah, Malaysia jadi negara “bermasalah”


karpal



KUALA LUMPUR - Keputusan mahkamah ke atas Karpal Singh Jumaat lalu kembali meletakkan malaysia di bawah perhatian dunia sebagai negara yang ‘bermasalah’ dalam sistem perundangan, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau mengulas keputusan Mahkamah Tinggi yang menyabitkan Pengerusi DAP Kebangsaan di bawah Akta Hasutan 1948, berikutan kenyataannya berhubung rampasan kuasa kerajaan negeri Pakatan Rakyat Perak oleh UMN)-BN pada 2008.

“Apabila seorang ahli politik dan peguam veteran dihukum kerana menyatakan undang-undang dan meyuarakan pendapat, segala usaha kecil kerajaan untuk memulihkan keyakinan di dalam dan luar negara terhadap sistem kehakiman dan kedaulatan undang-undang punah begitu sahaja.

“Tiada siapa yang menganjurkan kebebasan bersuara secara mutlak dan Karpal tidak melanggar batasan kerana beliau tidak pernah mempersoalkan sistem raja berpelembagaan di Perak dan Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Memetik laman The Malaysian Insider, Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) Sabtu lalu menyifatkan keputusan itu sebagai tidak konsisten dengan undang-undang antarabangsa serta tahap kebebasan peguam menyatakan pandangan.

Penasihat Undang-undang ICJ untuk Asia Tenggara, Emerlynne Gil juga dilaporkan berkata, keputusan itu menyampaikan isyarat bahawa peguam di Malaysia tidak bebas menyuarakan pandangan berhubung isu perundangan.

Kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu lagi, laporan itu ternyata tidak mengejutkan, ditambah lagi dengan sikap polis dan Pejabat Peguam Negara yang menjalankan ‘pendakwaan terpilih’ juga tidak membantu memulihkan keyakinan tersebut.

Beliau merujuk beberapa insiden pihak pro-kerajaan yang cuba mencetuskan ketegangan kaum dan agama kebelakangan ini yang masih bebas tanpa dikenakan sebarang tindakan.

“Adakah reaksi buruk di dalam dan luar negara terhadap keputusan itu akan ditimbangkan dengan serius oleh Kabinet, kerana ia juga bertentangan dengan janji untuk reformasi undang-undang dan ikrar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menjadikan Malaysia ‘demokrasi terbaik di dunia’?” katanya lagi.

Mahkamah menetapkan 7 Mac ini untuk menentukan hukuman dan mitigasi bagi meringankan hukuman.

Mengikut akta itu Karpal boleh dihukum penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali. – Roketkini.com

Tiada ulasan: