Jumaat, 28 Februari 2014

Sempena perasmian Jambatan ke-2 Pulau Pinang, Adun ‘Kangkung’ PKR tuntut mansuh tol, GST

OLEH MOHD FARHAN DARWIS


Bersempena dengan perasmian Jambatan Kedua Pulau Pinang esok oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Machang Bubuk daripada PKR yang terkenal dengan "demonstrasi kangkung" menuntut beliau memansuhkan tol dan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

Lee Khai Loon (gambar) berkata, pengumuman Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan penangguhan kenaikan kadar tol disebabkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac.

"Tetapi kerajaan juga terpaksa membayar pampasan sebanyak RM400 juta kepada syarikat-syarikat konsesi lebuh raya," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara kerajaan berusaha membangunkan ekonomi negara seperti mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi, Lee turut berkata, kerajaan juga perlu berimbang dengan tahap kebahagiaan rakyat

"Projek Jambatan Kedua Pulau Pinang memang dapat mengeratkan lagi hubungan rakyat khasnya di pulau bagi menerajui pembangunan ekonomi di Pulau Pinang.

"Kerajaan mempunyai tanggungjawab meningkatkan taraf hidup rakyat serta memastikan dasar-dasar yang bakal dilaksanakan perlu mendapat sokongan daripada rakyat.

"Suara rakyat suara keramat. Kesejahteraan dan kesihatan mental rakyat juga tidak boleh diabaikan, terutamanya apabila kos sara hidup dan tekanan hidup yang kian hari kian meningkat telah menyebabkan pelbagai masalah sosial berlaku," katanya.

Lee sebelum ini enggan membuat permohonan maaf kepada Najib meskipun Penasihat DAP, Lim Kit Siang menggesa beliau berbuat demikian.

Lee semasa mengadakan demonstrasi Lee semasa mengadakan demonstrasi 

Lee berkata, demonstrasi yang dianjurkannya bukan bertujuan menghina perdana menteri tersebut, sebaliknya hanyalah manifestasi suara rakyat terhadap bebanan kos sara hidup yang meningkat.

Tahun lalu Putrajaya mengumumkan penarikan beberapa subsidi termasuk gula dan bahan api sebagai sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi yang menyaksikan harga beberapa barangan dan produk pengguna meningkat.

"Sempena perdana menteri akan merasmikan Jambatan Kedua Pulau Pinang pada hari Sabtu ini, saya ingin mengucapkan selamat datang perdana menteri serta menyeru beliau agar menghapuskan tol dan GST yang akan membebankan rakyat," kata Lee.

"Rakyat akan bersatu dan menggembleng tenaga menentang pelaksanaan GST dan mendesak kerajaan menyelesaikan masalah kos sara hidup yang meningkat secara mendadak akibat siri harga barang naik," katanya.

Disebabkan itu, Lee berkata, banyak demonstrasi diadakan di seluruh Malaysia untuk memprotes kenaikan harga yang membebankan rakyat.

"Saya mendesak perdana menteri dan semua pemimpin Barisan Nasional (BN) supaya mendengar suara bantahan rakyat serta mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya.

Tiada ulasan: