Jumaat, 28 Februari 2014

Selangor bantu Syabas tambah lori agih air

SALMIYAH HARUN 


CYBERJAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan membantu Syabas melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dan lain-lain agensi kerajaan dalam menambahkan lori-lori tangki atau lori kargo serta pemandu bagi tujuan penghantaran air.

Bukan itu sahaja, kerajaan Selangor juga akan membantu untuk menguruskan penggunaan khidmat Rela dalam membantu Syabas menghantar air melalui lori tangki.

Menurut wakil Unit Perancang Ekonomi Negeri Selangor Nor Azmie Diron pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Syabas semalam dan bersetuju dengan langkah catuan air peringkat kedua yang akan berjalan selama sebulan.

"Majlis Tindakan Ekonomi Selangor telah mengadakan perbincangan dengan Syabas semalam dan kerajaan negeri telah bersetuju dengan plan jadual catuan air ini,"katanya dalam sidang media di oejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Sehubungan itu, Pengerusi SPAN Datuk Ismail Kasim berkata, pihaknya telah memutuskan supaya pengagihan air berjadual akibat pelepasan dari empangan Selangor dan empangan Klang Gates akan dimulakan pada 2 Mac sehingga 31 Mac 2014.

Bagaimanapun katanya keputusan sama ada pengagihan air berjadual perlu diteruskan akan bergantung kepada paras air di kedua-dua empangan di akhir tempoh tersebut.

Dari tujuh empangan di Selangor dua empangan terbabit telah menyusut kepada paras yang membimbangkan dengan masing-masing mempunyai peratus simoanan sebanyak 47.5% dan 53.54%.

Selaku pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal selia dan memastikan air mentah mencukupi kerajaan negeri telah membuat keputusan supaya pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor dikurangkan sehingga 500 juta liter sehari secara berperingkat manakala pelepasa air dari Empangan Klang Gates dikurangkan sebanyak 30 juta liter sehari.

Antara polisi utama yang dipersetujui oleh SPAN iaitu Syabas akan menghantar air melalui lori tangki hanya kepada kawasan-kawasan yang tidak mendapat bekalan air sepanjang tempoh pengagihan air berjadual atas sebab lokasi atau kedudukan yang tinggi.

Selain Syabas perlu menubuhkan dan mengoperasikan bilik-bilik operasi dan pusat khidmat setempat yang cukup bagi menguruskan pertanyaan pengguna serta pengagihan air berjadual.

"SPAN merayu kepada semua pengguna di negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya untuk memberikan kerjasama kepada Syabas sewaktu operasi pengagihan," kata Ismail.

Beberapa kawasan dan premis dikecualikan daripada catuan air iaitu pusat bandar Kuala Lumpur, pusat pentadbiran Putrajaya, pusat petadbiran Kerajaan Negeri selangor Shah Alam, Pelabuhan Klang, KLIA dsn subang, hospital swasta dan kerajaan dan kawasan industri Free Trade Zone.

Tiada ulasan: