SETELAH tercetus isu pilihan raya kecil Kajang dan sebab utama mengapa Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Dun tersebut akhirnya semakin terdedah dan mulai difahami oleh rakyat, walaupun bukan semuanya.
Kenyataan dua ahli Parlimen daripada PAS dan KeADILan – Ir Khalid Samad dan Rafizi Ramli telah mendedahkan sebab-sebab Dun Kajang itu dikosongkan dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dun tersebut. Hal ini juga diperkatakan oleh beberapa pihak mengenai pentadbiran kerajaan Negeri Selangor dan masalah yang dihadapinya.
Tidaklah memeranjatkan bahawa sudah lama kedengaran pelbagai usaha Umno, khususnya melalui gerakan dalaman dalam pentabiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor untuk melumpuhkan kerajaan Pakatan Rakyat itu. Maka itu, Pakatan Rakyat, khususnya KeADIlan, mengambil langkah segera untuk menyelamatkan keadaan.
Kenyataan Khalid itu telah menjelaskan segalanya bahawa usaha berterusan Umno untuk menawan kembali Selangor telah disedari dan tidak boleh dibiarkan. Ini, katanya, menjadi punca KeADILan meletakkan Anwar sebagai Ketua Pembangkang untuk bertanding di kerusi Dun Kajang.
Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, ancaman dan sabotaj Umno untuk memastikan Pakatan perlu menang di Kajang Selangor tidak berada di bawah kuasa Pakatan Rakyat bagi penggal ketiga semakin jelas, sekaligus memerlukan campur tangan Ketua Umum KeADILan itu dalam pentadbiran kerajaan Selangor.
Ancaman Umno kini, katanya, pada tahap maksimum. Oleh itu tidak boleh dibenarkan Selangor dimenangi oleh BN dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Oleh itu, kata Khalid, dengan kemenangan Pakatan di Kajang nanti, insya-Allah, maka Anwar boleh campur tangan pentadbiran negeri jika jadi Adun dan boleh jumpa pegawai kerajaan untuk menghalang sabotaj.
Beliau berkata, Umno kini dipercayai sedang mengukuhkan usaha mereka dalam cubaan merampas Selangor melalui pelbagai cara. Ada projek kerajaan negeri yang tidak bergerak, ada projek tergendala, antaranya beberapa projek kerajaan negeri yang tidak bergerak walaupun bajet sudah diluluskan.
Kata Khalid, begitu juga dengan urusan tanah di Selangor dan sebagainya. “Ini semua kerja mereka yang sedang berlaku atas sebab tertentu untuk menghalang keberkesanan dan akhirnya rakyat jadi marah kepada kerajaan Selangor. Ini persoalan yang perlu ditangani,” katanya dalam sidang media di Pejabat Parlimen Shah Alam baru-baru ini.
Rafizi sebagai Pengarah Strategi KeADILan, senada dengan Khalid bahawa kerajaan Pakatan Rakyat perlu menguatkan kubunya di Selangor supaya boleh mempercepatkan pelaksanaan reformasi pro-rakyat dan pada masa yang sama mematahkan serangan politik dan adu domba Umno di Selangor.
Mengenai apakah MB sekarang, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim dikekalkan sebagai MB atau tidak, Rafizi menjawab, pada masa ini diperlukan dulu mengambil langkah politik untuk menyekat permainan politik Umno, terutamanya yang bersabit isu perkauman dan agama.
Usaha berterusan Umno, dengan pelbagai cara, untuk merampas kembali negeri Selangor yang disifatkan sebagai ‘permata mahkota’ itu sudah tidak menjadi rahsia lagi sebenarnya.
Maka itu perihal PRK Kajang ini di mana Pakatan meletakkan tokoh politik ‘heavy weight’, Anwar sebagai calon Pakatan di sana dianggap sebagai usaha besar dan sangat perlu bagi Pakatan untuk usaha mempertahankan Selangor.
Dalam hubungan ini, penjelasan sepenuhnya daripada Pakatan kepada rakyat sangat perlu justeru hingga kini masih ramai yang keliru dan bertanya apa perlunya diadakan PRK Kajang itu yang dianggap membazir pada ketika rakyat diseru berjimat di mana baru lapan bulan PRU diadakan.
Bagi penganalisis politik, ia melihat kedudukan Selangor adalah negeri paling istimewa di Malaysia ini. Penghasilannya, keadaannya yang moden, menjadi pusat ilmu dan komunikasi, serta pusat perdagangan dan perdagangangan menjadikannya menjadi negeri yang ‘sangat mahal’ harganya.
Oleh itu, walaupun begitu banyak negeri sudah berada di bawah pemerintahan Umno- BN, ia masih belum puas hati jika Selangor masih belum dikuasainya. Oleh itu, kata penganalisis itu lagi, dengan apa cara pun, Umno-BN terus berusaha menawan kembali negeri yang kaya dan ternama itu.
Oleh itu, menurut penganalisis, kepimpinan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mesti benarbenar kuat dari semua segi.
Menurut penganalisis politik itu lagi, imej Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar adalah baik. Beliau seorang yang amanah dan bersih. Oleh itu, katanya, Khalid mestilah dibantu oleh tokoh yang juga mesti kuat dari semua segi, khususnya, di bidang politik untuk menghadapi serangan Umno-BN.
Perlu diingat bahawa Umno masih menguasai zon utara Selangor, seperti Tanjong Karang, Sabak Bernam, Hulu Selangor dan kawasan Melayu di pedalaman lain. Dalam PRU yang lalu, kawasan utara ini masih dalam genggaman Umno.
Sementara itu, dalam masa yang sama sewajarnyalah KeADILan berusaha sungguhsungguh mengatasi masalah dalamannya kerana kiranya masalah dalamannya tidak selesai nescaya akan memberi kesan berat kepada imej dan prestasi Pakatan Rakyat seluruhnya, khususnya di Selangor.
Musuh Pakatan sentiasa mencari peluang dari krisis yang berlaku dalam KeADILan sendiri yang mana Anwar sangat arif akan hal ini. Oleh itu, ini bukan masanya untuk menjatuhkan atau menggantikan sesiapa, justeru Pakatan perlu kukuh menghadapi musuh bersama.
Bagi ahli PAS sendiri adalah sangat perlu mematuhi arahan pimpinan parti supaya samasama turun berkempen di PRK Kajang nanti untuk mempastikan kemenangan calon Pakatan, walaupun daripada KeADILan.
Kita memahami bahawa pada awalnya memang wujud kekeliruan, malah kecewa di kalangan ahli PAS bahawa dengan tiba-tiba pilihan raya kecil diadakan di Kajang itu tanpa diberitahu sebab sebenarnya.
Kerana itu jangan salahkan ahli PAS kerana keterkejutan itu, tetapi hari demi hari mereka mulai sedar keperluan mengadakan PRK Kajang itu di mana penerangan pun sudah mulai diberi oleh pimpinan Pakatan, khususnya oleh Anwar sendiri.
Tentu ada hikmahnya PRK Kajang ini, kerana itu Pakatan, dengan sokongan pengundi di Kajang diharapkan akan menang dalam pertarungan getir ini.
Dengan itu kerajaan Pakatan di Selangor akan lebih kukuh untuk meneruskan khidmat cemerlangnya kepada rakyat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan