Isnin, 24 Februari 2014

MB: Kedudukan kewangan Selangor kukuh, meningkat kepada RM2.8 bilion

Oleh: Norhayati Umor


SHAH ALAM : Kedudukan kewangan Selangor sehingga Januari 2014 terus mencatatkan peningkatan berbanding 2009 apabila Kumpulan Wang Disatukan sehingga 31 Januari 2014 memperolehi sebanyak RM2,872 juta.

Ia selepas mengambil kira Akaun Hasil Disatukan iaitu sebanyak RM1,073 juta dan Akaun Amanah Disatukan iaitu sebanyak RM1,798 juta.
Abdul Khalid MBPerkara itu diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam perhimpunan bulanan yang dikelolakan oleh Perbendaharaan Negeri Selangor (PNS).

Abdul Khalid berkata selain itu, kutipan hasil sebenar pada 2013 menunjukkan peningkatan sebanyak RM195 juta atau 9.98 peratus menjadikan hasil sebenar dikutip sebanyak RM2,149 juta berbanding kutipan hasil tahun 2012, iaitu RM1,954 juta.

Katanya, peningkatan hasil itu disebabkan peningkatan bayaran premium tanah yang dikenakan berdasarkan nilai pasaran semasa selain pelaksanaan kaedah bayaran premium nominal sebanyak RM1,000 atau potongan 30 peratus jika dibayar dalam tempoh enam bulan.

“Perbelanjaan 2013 mencatatkan peratusan berbelanja sebanyak 94 peratus iaitu RM2,240 juta berbanding anggaran perbelanjaan berjumlah RM2,392 juta.

05“Peningkatan utama jumlah perbelanjaan ini adalah kerana pengambil alihan Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB) oleh Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) pada pertengahan 2013.

“Bagaimanapun, KDEB dijangka akan membayar semula tahun ini,” katanya dalam ucapannya di perhimpunan bulan itu.

Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Nordin Sulaiman ; Speaker Dewan Undangan Negeri, Hannah Yeoh dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Khusrin Munawi.

Abdul Khalid menjangkakan bagi 2014, momentum ekonomi negeri Selangor dijangka tidak banyak berubah dengan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalan Negara Kasar (KDNK) pada kadar 6.1 peratus.

“Bagi meningkatkan KDNK itu, Kerajaan Negeri mahu mengamalkan disiplin fiskal yang tegas bagi memastikan pengurusan kewangan dilakukan dengan berhemat, berintegriti dan ‘value for money’,” katanya.

Sehubungan itu, Abdul Khalid menyeru kepada penjawat awam supaya menerapkan amalan sikap berbelanja secara berhemat sejajar dengan arahan dalam Pekeliling Belanja Berhemat PNS yang dikeluarkan.

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, dalam perakaunan negeri akan mula direkodkan secara terus yang mana semua aset yang direkod dapat dipantau.

“Setakat ini, Kerajaan Negeri berjaya mengumpulkan beribu ekar tanah milikan kerajaan yang mana sebelum ini kita tidak tahu ia milik kita,” katanya.EZY

Tiada ulasan: