Ahad, 23 Februari 2014

Darah ayam tak boleh angkat maruah Melayu



Oleh ZULKIFLI YAHAYA


MENTERI Besar Terengganu, Dato’ Ahmad Said menambahkan satu lagi catatan jenaka tanah air apabila mengerahkan para pemain bola sepak negeri itu bersumpah di hadapan al-Quran bagi membuktikan mereka tidak terbabit dengan satu kontroversi bola sepak yang agak menggemparkan negara.

Al-Quran adalah kalam Allah yang sangat mulia. Justeru ramai golongan jahil yang tidak begitu mendalami Islam percaya apa yang dilakukan oleh Ahmad Said itu adalah Islamik.

Orang Melayu lebih-lebih lagi yang sangat percaya hukuman sumpah, tulah dan daulat – yakin bahawa jika ada yang melanggar sumpah, apatah lagi bersumpah di hadapan al-Quran, jika memungkirinya maka akan menerima padah dengan segera di atas dunia.

Di kalangan orang Arab hampir setiap ayat yang bertujuan untuk meyakinkan orang lain akan disudahi dengan “Wallahi”. Saya bertanya rakan yang pernah menuntut di Mesir bertahun-tahun lamanya, adakah sumpah mereka itu benar? Dia berkata, perkataan “Wallahi” tu kadangkala menjadi topeng untuk berbohong. Katanya, bersumpah sekalipun dengan nama Allah di kalangan orang Arab bukan perkara besar. Tidak pula terdengar, mana-mana orang yang berbohong atau melanggar  sumpah itu mati dipanah petir serta-merta.

Demikian di tanah air kita. Kalaulah dengan bersumpah di hadapan al-Quran menjadi penyaksian paling sahih terhadap sesuatu insiden, maka peguam dan saksi sudah tidak berguna.

Mahkamah boleh selesaikan berpuluh-puluh kes dalam sehari. Duit yang digunakan untuk perbelanjaan mahkamah boleh dijimatkan dengan banyak.

Bolehlah duit itu ‘disedekahkan’ kepada kerajaan negeri Kedah untuk menganjurkan program raja lawak bagi menghiburkan rakyat Malaysia yang sedang berdukacita dengan kenaikan harga barang. Malangnya penyelesaian terhadap isu keadilan tidak semudah itu.

Adakah kaedah menggunakan unsur yang dianggap Islamik atau menggunakan nama Islam itu sendiri sudah menjadi ‘trend’ dalam strategi mereka menghalalkan agenda tertentu?

Negara dikecohkan dengan tindakan sekumpulan manusia yang menamakan mereka Majlis Jemaah NGO Islam Malaysia.

Kononnya perjuangan mereka demi maruah Islam dan Melayu.

Mereka berhimpun kerana marahkan seorang pemimpin DAP, Teresa Kok kerana kononnya menghina Melayu, Islam, raja serta kedaulatan negara.

Empat ekor ayam disembelih dengan tujuan menyimbah darahnya ke atas gambar para pemimpin Cina yang mereka anggap rasis. Dalam Islam hanya penyembelihan binatang halal dimakan yang dibuat kerana Allah serta mengikut kaedahnya yang dibenarkan. Menyembelih kerana marah atau ego, apatah lagi kerana mahu menggunakan darah untuk menyimbah ala-ala upacara jahiliah adalah haram.

Ayam yang disembelih itu menjadi bangkai dan berdosa pula hukumnya membunuh binatang dengan sia-sia.

Sepatutnya para mufti dan ulama yang tahu hukum hakam menegur perbuatan yang bukannya daripada amalan Islam itu. Namun ada ulama yang lebih takut menjadi bughoh terhadap Umno daripada menjadi bughoh terhadap Islam – mereka tidak berani menegur.

Islam adalah agama yang berpandukan akal fikiran. Marah, bukan tidak dibenarkan tetapi biarlah tahu hujung pangkalnya.

Mereka marahkan Teresa Kok yang menyindir Rosmah Mansor dan Ng Yen Yen. Teresa mengkritik Rosmah melalui satira bukan kerana dia Melayu tetapi kerana boros. Ng Yen Yen adalah pemimpin Cina pun dikritik juga.

Jika tindakan Teresa mengkritik melalui satira itu perbuatan biadap maka biadap lagi pemimpin yang membazirkan duit rakyat untuk kepuasan diri sendiri sedangkan masih ramai rakyat yang kelaparan. Mengapa jadikan ‘Melayu’ sebagai perisai untuk mempertahankan seorang pemimpin yang menyalahgunakan kedudukan?

Walhal orang yang dituduh rasis itu langsung tidak memainkan sentimen rasisme dalam isu ini.
Mungkin ada yang berfatwa, sembelihan dan darah ayam cuma simbolik untuk pamer kekuatan supaya lain kali pihak musuh takut terhadap kita. Efisien sangatkah darah ayam untuk menakutkan musuh di zaman ini? Ini bukan zaman batu atau sekurang-kurangnya zaman Hang Tuah di mana daulat terletak di hujung keris.

Kalau berkesan darah ayam maka eloklah sembelih ayam banyak-banyak. Lumurkan pada gambar Barack Obama, nescaya kecut habis rakyat Amerika. Senario dunia hari ini tidak sekartun pemikiran para rasis Melayu itu.

Mereka yang kononnya memperjuangkan maruah Melayu dan Islam itu sepatutnya perjuangkan agar orang Melayu faham Islam dan mengamalkan perintah Allah, berakhlak, berpendidikan, maju dalam semua bidang yang positif, berjaya dalam ekonomi serta menguasainya. Bukannya Melayu yang sensitif tidak menentu, kepala angin tidak bertempat, rasis tanpa keruan, samseng, kaki pukul dan kaki gaduh.

Walhal orang Melayu ketinggalan juga dalam segala bidang di negara sendiri, menjadi kucing kurap di bidang ekonomi sehingga ekuiti Melayu di tangan tidak sampai 16 peratus, ketinggalan bidang teknokrat berbanding bangsa yang gambar mereka dipijakpijak.

Kalau jadi juara pun ia juara penghuni pusat serenti, maksiat, buang anak, gaduh pasal bola, entah 1001 lagi masalah yang melanda Melayu.

Sepatutnya para pejuang Melayu yang menggunakan nama Islam itu malu dengan senario sosio ekonomi dalam negara; berbangga hanya dengan darah ayam sedangkan pihak yang dimusuhi menggunakan pendidikan dan ekonomi untuk menguasai negara. Kalau orang Cina hentikan pengeluaran bahan makanan dalam negara untuk seminggu habis susah orang Melayu, termasuk para rasis Melayu yang mengupah orang menampar Teresa Kok. Ini bukan pernyataan rasis tapi realiti.

Cukup-cukuplah para pemuka rasis Melayu yang berjuang menggunakan selera nafsu, sekali-sekala gunakan akal fikiran yang Allah SWT anugerahkan untuk bertindak supaya Islam dan Melayu tidak dimalukan.

Tiada ulasan: