SUSULAN letupan gunung berapi Kelud, di Jawa Timur, Indonesia pada Jumaat, yang menyebabkan pemindahan penduduk dan penutupan lapangan terbang antarabangsa, beberapa penerbangan AirAsia dari Malaysia telah terjejas.
AirAsia dalam kenyataan hari ini berkata penerbangan ke dan dari Surabaya, Semarang dan Yogyakarta dibatalkan berikutan penutupan lapangan terbang.
"Debu akibat letusan gunung berapi menjejaskan kualiti udara kawasan persekitaran, menyebabkan jarak penglihatan terhad, sekali gus membahayakan keselamatan penumpang. Debu gunung berapi itu boleh mengancam keselamatan dan prestasi pesawat seperti menyebabkan kerosakan kekal pada enjin pesawat," kata kenyataan itu.
Menurut kenyataan itu, penerbangan AirAsia Malaysia yang terjejas ialah Kuala Lumpur ke Yogyakarta dan Kuala Lumpur ke Solo sementara penerbangan AirAsia Indonesia yang dibatalkan ialah Yogyakarta ke Jakarta; Yogyakarta ke Bali; Yogyakarta ke Kuala Lumpur; Yogyakarta ke Singapura dan Solo ke Kuala Lumpur.
Jumaat lepas, jurucakap Agensi Mitigasi Bencana Nasional Indonesia Sutopo Purwo Nugroho dilaporkan berkata bencana itu telah menyebabkan tiga terkorban dan kira-kira 200,000 penduduk diarahkan segera berpindah.
Direktor-Jenderal Perhubungan Udara Kementerian Pengangkutan Indonesia Herry Bakti dilaporkan sebagai berkata: "Semua penerbangan ke lapangan terbang berkenaan dibatalkan, dan penerbangan lain termasuk beberapa penerbangan antara Australia dan Indonesia, dilencong ke laluan lain".
Sementara itu, Malaysia Airlines (MAS) berkata insiden letupan gunung berapi itu tidak menjejaskan operasinya.
"Penerbangan Malaysia Airlines ke dan dari Indonesia serta dari Australia dan New Zealand tidak terjejas setakat ini. Semua operasi berjalan seperti biasa dan mengikut jadual.
"Kami sedang memantau dengan teliti perkembangan dan akan memaklumkan kepada penumpang jika mana-mana penerbangan berjadual perlu diubah," kata MAS dalam jawapan e-mel kepada Bernama.
MAS berkata pada masa ini, ia mengadakan penerbangan ke Jakarta, Denpasar dan Medan di Indonesia.
Usaha untuk menghubungi Malindo Air tidak berhasil buat masa ini. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan