Memaparkan catatan dengan label PRK - KAJANG. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - KAJANG. Papar semua catatan

Sabtu, 29 Mac 2014

Tiada pengundi hantu dalam PRK Kajang, kata pemantau

Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu. 

Kajang N25


PETALING JAYA: Badan bebas pemantau pilihan raya(Mafrel) mendakwa pengundi Kajang berpuas hati dengan penggunaan dakwat kekal dalam pilihan raya kecil 23 Mac lalu.

Mafrel juga mendakwa tidak menerima apa-apa laporan atau aduan mengenai pengundi hantu.
Setiausaha Mafrel Arphan Ahmad berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini berdasarkan laporan mengenai pilihan raya Kajang.

Mafrel mempunyai pengalaman luas dalam pemantauan pilihan raya di negara ini.

Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail mengalahkan Naib Presiden MCA, DAtuk Paduka Chew Mei Fun dengan majoriti 5,379  undi.

Arphan berkata, 11 sukarelawan Mafrel telah menjalankan tugas-tugas memerhati proses pembuangan undi pada 23 Mac dan mereka dibahagikan kepada tiga  pasukan.

“Dalam pemerhatian Mafrel isu dakwat kekal tidak timbul kerana pengundi puas hati dengan dakwat yang digunakan.

“Insiden pengundi hantu juga tidak timbul, atau sekurang-kurangnya tiada apa-apa laporan atau aduan yang dapat dikesan atau diterima oleh pemerhati Mafrel.

“Pondok panas juga tidak kelihatan di kebanyakan pusat mengundi,   sebaliknya parti-parti bertanding banyak menggunakan rumah-rumah kedai, warung, rumah-rumah kediaman dan payung pacak sebagai pusat-pusat operasi mereka.

“Petugas Mafrel bagaimanapun telah melaporkan satu insiden di mana pekerja parti telah ditahan oleh anggota PDRM kerana enggan menurunkan khemah yang didirikan sebagai pondok panas dalam kawasan larangan,” katanya.

Kelakuan penyokong

Arphan menambah, kelakuan penyokong-penyokong parti bolehlah dikatakan sebagai terkawal walau pun terdapat juga kata-kata kasar dan agak lucah yang dituturkan, serta perbuatan lucah yang dipamerkan.

Bagaimanapun, insiden-insiden tersebut tidaklah sebegitu hebat seperti mana yang pernah berlaku di pilihan-pilihan raya kecil atau pilihan raya umum sebelum ini.

Sebagai contoh, di pusat mengundi Sekolah Rendah Agama Batu 10 Cheras, pihak PDRM di atas nasihat petugas Mafrel telah memisahkan penyokong kedua parti yang bertanding dan ini telah melegakan dan meredakan suasana yang agak tegang sebelum itu.

Beliau berkata, jumlah pegawai keselamatan (PDRM) yang bertugas jelas kurang dari PRK-PRK yang lalu.

Begitu juga penampilan  penempatan mereka tidak begitu kelihatan, mungkin kerana berdekatan dengan markas sedia ada seperti Markas Pasukan Gerakan Am di Cheras.

Namun katanya, kehadiran pasukan unit simpanan persekutuan (FRU) dan Light Strike Force (LSF) dalam jumlah yang besar boleh mencetuskan perasaan takut atau intimidasi kepada pengundi-pengundi.

“Ini berlaku di Pusat-pusat Mengundi di kawasan Sungai Chua yang majoritinya adalah pengundi Cina.  Walau bagaimana pun sekiranya difikirkan perlu oleh pihak berkuasa untuk mengawal keselamatan maka mereka harus ditempatkan dengan jumlah yang bersesuaian tanpa mengganggu-gugat pengundi,” katanya lagi.

7.    Arphan berkata, penyokong parti masih lagi menggunakan kanak-kanak untuk berkempen seperti di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Sungai Sekamat terdapat sekumpulan kanak-kanak yang menunggang basikal membawa bendera parti.

Juga ada laporan dari petugas Mafrel berkaitan dengan kanak-kanak tersebut bertanyakan di mana mereka harus pergi untuk mendapatkan bayaran `wang minyak’ yang dijanjikan.

Krew tv masuk kawasan larangan

“Petugas Mafrel juga menerima aduan dari seorang pekerja parti mengenai tindakan petugas SPR yang dirasakan tidak adil apabila membenarkan krew dari Stesyen TV3 memasuki kawasan larangan pusat mengundi dan membuat liputan dan penggambaran dalam kawasan tersebut.

“Malangnya petugas Mafrel tidak dapat menghubungi ketua tempat mengundi atau pegawai PDRM yang bertugas di pusat tersebut untuk menyampaikan aduan/bantahan tersebut,” katanya lagi.

Arphan menambah, kemudahan untuk warga emas dan pengundi-pengundi OKU seperti kerusi roda, walau pun disediakan, tidak begitu efektif dan tidak dapat dimanfaatkan oleh mereka yang disasarkan.

Katanya, petugas Mafrel juga melaporkan bahwa kawalan keluar masuk ke kawasan larangan (zon 50 meter) di SK Sungai Sekamat sangat lemah.

Petugas dapat lihat kenderaan-kenderaan jabatan-jabatan kerajaan, kenderaan TNB dan juga individu keluar masuk tanpa diperiksa.  Ini mengundang syak wasangka mungkinkah kenderaan-kenderaan tersebut membawa pengundi hantu.

Cadangan Mafrel

Berikutan itu, Mafrel mencadangkan, jumlah petugas keselamatan perlu dikurangkan dan penampilan mereka dari segi senjata dan kelengkapan perlu berkadar dengan suasana untuk mewujudkan suasana terbuka di mana tiada perasaan takut dan curiga di kalangan pengundi-pengundi.

2.    Pegawai keselamatan akan lebih efektif sekiranya ditempatkan untuk mengawal penyokong-penyokong parti.

Pada kali ini disebabkan ketiadaan petugas-petugas dari Unit Amal daripada PAS kelihatan di setengah tempat suasana agak tegang, walau pun terkawal.

“Di pusat mengundi SK Sungai Sekamat telah berlaku sedikit kekacauan (scuffle) melibatkan seorang menteri pusat dan penyokong parti-parti bertanding.

“Pihak keselamatan perlu membuat perancangan untuk memisahkan penyokong-penyokong parti.  Pengalaman telah menunjukkan bahawa membiarkan mereka berhadapan akan mengundang masalah dan kekacauan.

“Pihak Keselamatan juga perlu merancang untuk mempastikan perjalanan dan aliran trafik adalah baik dan tidak mengganggu pengundi-pengundi dan penduduk tempatan.  Di Sungai Sekamat, penduduk tempatan berang apabila kereta mereka tidak dibenarkan masuk ke jalan menghala ke rumah mereka.

4.    Tempoh bertenang seharusnya dihormati (walaupun satu hari sahaja pada hari mengundi) di mana tiada lagi kempen dan meraih undi boleh berlaku. Ini supaya pemilih boleh keluar mengundi dengan tenang tanpa desakan, tekanan dan kesusahan,” kata Arphan lagi.

Khamis, 27 Mac 2014

Manifesto anak muda tumpuan pertama Wan Azizah di Kajang

Wawi Kajang

Oleh Basyar Abd Kadir


KAJANG : Setelah memenangi kerusi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tanpa berlengah terus memfokuskan mengenai pembangunan belia bagi melaksanakan manifesto untuk anak muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

Menurutnya, perkara itu sedia digerakkan dalam waktu terdekat memandangkan peruntukan untuk pelaksanaannya sudah tersedia.

“Peruntukan sememangnya sudah disediakan oleh PeBT (Penggerak Belia Tempatan) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

“Berkenaan pembangunan anak muda, PeBT sudah ada peruntukan setiap zon, jadi perkara tersebut boleh digerakkan sekarang secepat mungkin,” kata Adun Kajang itu pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan Ahli Majlis dan Yang Dipertua (YDP) MPKj, di Menara MPKj, di sini hari ini.

Sementara itu, YDP MPKj, Datuk Hassan Nawawi menjelaskan, pihaknya sedia menyalurkan sumbangan kepada setiap zon untuk tujuan pembangunan belia.

“Di bawah PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) ada 24 zon, setiapnya diberi RM5,000 setahun.

“Kalau hendak memohon kena buat kertas kerja dahulu, peruntukan memang ada,” katanya.

Pertemuan kali pertama ini selepas Wan Azizah menjadi Adun kawasan itu pada Ahad lalu bertujuan bagi membincang dan mengutarakan beberapa idea penambahbaikan di Kajang.

Antara hasil perbincangan tersebut adalah mengenai pemantauan bagi memastikan keberkesanan komunikasi antara penduduk dengan wakil rakyat dan beberapa isu tempatan yang lain.

Sebelum ini, Wan Azizah dalam manifesto PRK Kajang menyentuh empat teras utama meliputi pembangunan anak muda dan usahawan kecil, banteras jenayah dan tingkatkan keselamatan, pembangunan penyelenggaraan perbandaran dan kesesakan lalu lintas.

Rabu, 26 Mac 2014

PRK Kajang: PKR hampir sapu bersih undi anak muda

 

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Kemenangan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang bukan sahaja menandakan peningkatan sokongan masyarakat Melayu terhadap Pakatan Rakyat malah tinjauan awal mendapati saluran mengundi anak muda hampir disapu bersih oleh calon PKR.

Pengarah PRK Dun Kajang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Pakatan Rakyat bukan sahaja  berjaya meningkatkan sokongan pengundi Melayu dengan mengurangkan majoriti kekalahan di beberapa daerah mengundi majoriti Melayu Muslim seperti Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras, malah berjaya menawan dua kubu kuat Umno-BN iaitu Sungai Sekamat dan Taman Delima.

"Saya mengucapkan sekalung tahniah kepada Dato’ Seri Dr Wan Azizah atas kemenangan di PRK N25 Kajang. Syabas juga diucapkan kepada pengundi Kajang kerana membuat pilihan yang bijak dengan sekali lagi memilih Pakatan Rakyat untuk menjadi suara mereka di Dewan Negeri Selangor.

"Jelas di sini bahawa rakyat menolak kempen agresif dan provokatif yang penuh dengan unsur keganasan dan bibit-bibit perpecahan," tegas beliau.

Menteri Besar Selangor itu juga berkata, penurunan peratus keluar mengundi kepada 72.1% daripada 88.4% pada PRU13 adalah perkara biasa dalam sebarang pilihan raya kecil yang secara tidak langsung mengakibatkan penurunan majoriti.

Kemenangan calon PKR ini juga, tambah beliau membuktikan bahawa rakyat Selangor yakin dengan prinsip pentadbiran yang telus, bertanggungjawab dan penuh integriti kerajaan Pakatan Rakyat negeri.

"Sebagai bukti Pakatan Rakyat berjaya meningkatkan undi popular di Kajang kepada 60% pada PRK ini berbanding 58% pada PRU13 pada 5 Mei 2013," ujarnya.

Meskipun keputusan PRK Dun Kajang tidak mengubah struktur dan mekanisme pentadbiran, beliau yakin mandat yang diberikan penduduk Kajang akan menjadi pemangkin kepada kerajaan Pakatan Rakyat untuk terus bekerja dengan lebih gigih tanpa mengenal penat lelah dan jemu demi kebajikan rakyat.

"Kemenangan ini seolah-olah memberi restu kepada Kerajaan Selangor untuk terus komited dengan agenda reformasi dalam pentadbiran serta segala aspek sosio-ekonomi dan politik yang didokong oleh Pakatan Rakyat.

"Sekali lagi, selaku Pengarah Pilihanraya N25 Kajang, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap petugas pilihan raya daripada semua parti komponen Pakatan Rakyat yang telah bertungkus-lumus bagi memastikan proses demokrasi ini berjalan lancar dan seterusnya kemenangan yang sememangnya wajar berpihak kepada Pakatan Rakyat," kata Abdul Khalid.

PRK Kajang: Saya puas hati, kata Presiden PAS



NAZRI ABDULLAH 


KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sangat berpuas hati dengan komitmen yang ditunjukkan jentera PAS ketika membantu PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang, 23 Mac lalu.

Bercakap kepada Harakahdaily, Ustaz Abdul Hadi turut mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada jentera PAS khususnya PAS Selangor dan PAS Hulu  Langat, yang menurutnya telah berkerja dengan baik.

"Saya puas hati dengan jentera PAS. Mereka buat kerja dengan baik. Semua turun membantu.

"Kita tunjukkan bahawa PAS konsisten bantu rakan-rakan Pakatan Rakyat dan kali ini PKR," kata beliau ketika ditemui Harakahdaily di Parlimen semalam.

Pada pilihan PRK Kajang 23 Mac lalu, calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menang dengan majoriti 5,379 undi setelah memperoleh 16,741 undi manakala calon BN mendapat 11,362.

Biarpun peratusan keluar mengundi merosot kepada 72.1 peratus atau 28,314 pengundi berbanding 88.4 peratus atau 34,290 pada PRU13 lalu, namun Pakatan Rakyat menang undi Melayu pada PRK kali ini.

Turut meningkat, peratusan undi popular terhadap PKR yang hampir mencecah 60 peratus.

Pada PRK Kajang lalu, PAS turun sebagai jentera pembantu kempen PKR yang diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Abd Samad.

Mereka dipertanggungjawab untuk menjaga kesemua 16 Unit Peti Undi (UPU) yang terlibat dalam pilihan raya itu.

Presiden PAS sendiri dua kali turun ke Kajang bagi membantu kempen, manakala pimpinan PAS yang lain ada yang berkampung di sana sepanjang tempoh kempen.

4 individu serang pengundi dicari


 4 individu serang pengundi dicari Pengundi beratur menunggu giliran untuk mengundi PRK Dun Kajang di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat, Ahad lalu. -Foto Bernama


SHAH ALAM - Satu daripada dua kertas siasatan yang dibuka berkaitan insiden yang berlaku ketika proses pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang Ahad lalu, akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) dalam tempoh terdekat.

Timbalan Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata, kertas siasatan yang akan dihantar adalah berhubung kes seorang lelaki yang cuba menghalang polis merobohkan barong panas di persimpangan Jalan Taman Delima, Kajang.

Beliau berkata, sebelum ini, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang memarahi anggota polis dengan kata-kata lucah serta menghalang polis menurunkan khemah di lokasi itu seperti yang diminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Keterangan lelaki itu sudah direkodkan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

“Kertas siasatan sudah dilengkapkan untuk dimajukan kepada DPP selewat-lewatnya pagi esok (hari ini). Kita menunggu arahan selanjutnya,” katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Polis ke-207 peringkat Kontinjen Selangor, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, semalam.

Dalam kes berasingan, Abdul Rahim berkata, polis sedang mengesan empat individu yang dipercayai terlibat menyerang dan mencederakan seorang lelaki berusia 27 tahun yang keluar mengundi di Sekolah Kebangsaan Kajang.

Menurutnya, polis sudah mengenal pasti kesemua individu terbabit dan dalam proses untuk membuat tangkapan.

Katanya, kesemua individu berkenaan adalah orang tempatan dan setakat ini, masih belum dapat dipastikan motif sebenar serangan dilakukan.

Ketika mengulas sama ada, keempa-tempat individu itu adalah penyokong dari parti-parti tertentu, beliau berkata, pihaknya tidak mahu membuat andaian sehingga tangkapan dibuat.

“Dalam pilihan raya macam-macam boleh berlaku dan kita tak boleh cakap mereka penyokong siapa kerana mereka boleh menyamar untuk timbulkan provokasi atau tujuan meraih simpati, Biar kita siasat dulu,” katanya.

Abdul Rahim berkata, PRK Dun Kajang kali ini juga berjalan lancar kecuali dua insiden terbabit, selain menolak dakwaan bahawa kemerosotan kehadiran pengundi ada kaitan dengan isu keselamatan atau masalah trafik.

Menurutnya, keanggotaan polis yang ditugaskan sepanjang tempoh tersebut mencukupi dan tiada masalah trafik.

Selasa, 25 Mac 2014

PRK Kajang: Undi Melayu kini bersama Pakatan Rakyat


lks pensel merah demo



KUALA LUMPUR: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, kelmarin membuktikan Pakatan Rakyat semakin mendapat sokongan orang Melayu dan pada masa sama mengekalkan undi masyarakat Cina.

“Ucapan tahniah perlu dikalungkan kepada Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kerana keputusan cemerlang yang dicapai itu.

“Walaupun peratusan keluar mengundi merosot kepada 72.1 peratus, namun beliau mencatat dua keputusan penting – MCA masih hancur dan sokongan orang Melayu kepada UMNO pula merosot,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Keputusan PRK Kajang menunjukkan Dr Wan Azizah menang dengan majoriti 5,379 undi apabila mendapat 16,741 undi, manakala calon Barisan Nasional (BN), Datin Paduka Chew Mei Fun hanya 11,362.

Peratusan keluar mengundi pula merosot sebanyak 16.3 peratus, berbanding 88.4 peratus pada Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, Pakatan Rakyat pasti mampu memperoleh majoriti lebih besar jika peratusan keluar mengundi Cina tidak merosot sebanyak 20 peratus iaitu 3,000 pengundi.

“Apatah lagi jika diambil kira kejayaan Dr Wan Azizah meningkatkan sokongan pengundi Melayu iaitu daripada 35 peratus pada PRU-13 lalu kepada 44 peratus pada PRK Kajang, kelmarin,” katanya lagi.

Peratusan undi Melayu kepada Pakatan Rakyat meningkat apabila menang dua daripada empat kawasan mengundi Melayu, iaitu Sungat Sekamat dan Taman Delima, di samping mengurangkan majoriti di Sungai Kantan dan Batu 10 Cheras.

Manakala keputusan undi Cina kepada MCA naik sedikit kepada 25 peratus, berbanding 18 peratus pada PRU-13.

Mengulas hal itu, beliau menyangkal dakwaan bahawa 25 peratus pengundi Cina yang memilih MCA menunjukkan peningkatan sokongan kepada parti itu.

“Jika pencapaian 25 peratus undi Cina tidak membuktikan MCA masih ‘hancur’, maka kita tidak tahu apa lagi bukti yang diperlukan,” katanya sinis. -Roketkini.com

Isnin, 24 Mac 2014

Wan Azizah: “Kerja tunaikan Manifesto Kajang sudah bermula”

Oleh : NAZLI IBRAHIM


KAJANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang yang baru, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sudah mengadakan perjumpaan dengan beberapa pihak bagi menyelesaikan masalah utama penduduk kawasan berkenaan seperti terkandung dalam Manifesto Kajang.

Dr Wan Azizah berkata, perjumpaan itu diadakan sejak beberapa hari lalu membabitkan beberapa pihak termasuk yang bertanggungjawab dalam isu tertentu.

“Memang saya ada buat perjumpaan dan merangka pelan seperti dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) untuk Kajang.

Untitled

“Kita berbincang bagaimana untuk memberbaiki semua yang kita rancang untuk Kajang,” katanya pada sidang media selepas diumumkan menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang.

Keputusan itu diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Datuk Hassan Nawawi di Pusat Pengiraan Undi di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), di sini, malam tadi.

Manifesto Kajang yang dilancarkan sehari selepas penamaan calon meletakkan empat teras utama yang bakal dilaksanakan jika PR menang dalam PRK Kajang.

DSC_6964Empat teras itu adalah membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, menangani masalah kesesakan lalu lintas, pembangunan dan penyelenggaraan perbandaran serta pembangunan anak muda dan usahawan kecil.

Terdahulu, Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong berkata, Dr Wan Azizah walaupun belum bergelar ADUN ketika itu tetapi sudah berjaya menyelesaikan isu pungutan sampah di beberapa lokasi sekitar Kajang.-NFN-

Azizah angkat sumpah Adun, 7 April depan


Azizah


KAJANG - Calon PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang memenangi PRK N25 Kajang akan mengangkat sumpah sebagai Adun Kajang baharu pada 7 April depan.

Speaker Dun Selangor, Hannah Yeoh berkata dengan pelantikan Wan Azizah itu, jumlah Adun dalam kalangan wanita juga turut meningkat kepada 15 orang.

"Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang diumumkan menang hari ini akan mengangkat sumpah sebagai Adun Kajang baharu pada 7 April depan.

"Hal ini sekaligus akan menambah jumlah Adun Wanita di Selangor menjadi 15 orang," katanya pada sidang media selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan keputusan PRK N25 Kajang di Stadium MPKJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut keputusan pilihan raya itu yang dimenangi oleh isteri ketua pembangkang pada proses pengundian yang tamat pada jam 5 petang tadi.

Wan Azizah mengalahkan lawannya, Datin Paduka Chew Mei Fun apabila meraihkan majoriti 5,379 undi.

Kak Wan: 'Langkah Kajang' kini terbukti

MALAYSIAKINI



 


Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyifatkan kejayaannya mengekalkan kerusi DUN Kajang sebagai bukti keberkesanan strategi 'Langkah Kajang'.

Menurutnya, kemenangannya hari ini "lebih manis" kerana majoriti kemenangan disumbangkan oleh pengundi dari muda daripada saluran 5, 6 dan 7.

"Sudah tentu ia (Langkah Kajang) berkesan kerana kita lihat pengundi muda telah memberikan kita keyakinan yang menjadikan 'Langkah Kajang' berjaya.

"Saya bersyukur kerana kemenangan ini begitu manis sekali," kata Wan Azizah pada sidang media di pusat pengiraan undi, malam ini.

'Langkah Kajang' itu merujuk kepada strategi PKR untuk membolehkan pilihan raya tersebut diadakan dan seterusnya bagi menawan Putrajaya.

Wan Azizah juga berkata, jenteranya mendapati sokongan meningkat di kalangan pengundi muda Melayu, yang menurutnya menunjukkan trend positif.

Faktor itu juga menyumbang kepada kemenangan PKR di peti undi Sungai Sekamat dan Taman Delima yang sebelum ini dikuasai merupakan kubu kuat Umno, katanya.

Mengulas perkara sama, ketua pembangkang Datuk Sri Anwar pula berkata kemenangan itu menyaksikan golongan Melayu yang menyokong BN pada pilihan raya umum lalu telah kembali kepada Pakatan Rakyat.

"Kelazatan kemenangan ini juga mempertahankan sokongan kaum lain dan mendapat majoriti Melayu di kawasan ini.

"Majoriti Melayu sekarang memilih bersama Pakatan Rakyat," kata Anwar yang pada asalnya dinamakan PKR untuk bertanding di Kajang.

Wan Azizah yang mewakili PKR menang pilihan raya kecil Kajang dengan majoriti 5,379 undi.

PKR mendapat 16,741 undi manakala BN pula mendapat 11,362 undi.

Seramai 28,314 atau 72 peratus keluar mengundi pada pilihan raya hari ini.

Ahad, 23 Mac 2014

Tak rasmi: PKR kekal Kajang, majoriti kurang

MALAYSIAKINI


 


Peti undi mula dibawa masuk ke pusat penjumlahan di Kompleks Sukan Bandar Baru Bangi, yang dikawal ketat oleh pasukan keselamatan.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya, keputusan bagi pilihan raya kecil DUN Kajang dijangka akan dapat diketahui seawal jam 9 malam.

Jumlah keseluruhan yang keluar mengundi hari ini adalah 72 peratus, lebih rendah dari angka 87 peratus yang direkodkan dalam pilihan raya umum 5 Mei tahun lalu.

LAPORAN LANGSUNG

7:35pm Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil umum PKR menang di dua kawasan majoriti Melayu - Sekamat dan Taman Delima. PKR tewas di kedua-dua kwasan tersebut dalam pilihan raya umum ke-13.

7.30pm Tak rasmi:

PKR - 15,055
BN - 9,628
Majority - 5,427

Kira-kira 88 peratus undi telah dikira.

PKR nampaknya mengekalkan kerusi DUN Kajang dengan majoriti berkurangan sebanyak kira-kira 1,000 undi.

7.14pm Tak rasmi dari sumber MCA:

PKR - 13,414
BN - 8,226

Ini adalah jumlah dari sekurang-kurangnya 80 peratus undi.

7.13pm Tak rasmi - Sumber PKR menunjukkan undi dari 55 telah dikira

PKR - 10,187
BN - 6,494

7.10pm Penyokong dan petugas parti kini masih ternanti-nanti dengan keputusan pilihan raya DUN Kajang. Mereka sedang mengira tally di Pejabat Umno Hulu Langat di Pekan Kajang.

Antara pemimpin yang hadir di sini ialah Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adanan Tengku Mansor, SUK Umno Datuk Rauf Yusoh dan Ketua Bhagian Umno Datuk Johan Abdul Aziz.

7.05pm Tak rasmi - Jumlah undi setakat dari 53 saluran:

PKR - 10,070 BN
BN - 6,145
Majoriti - 5,075

6.56pm Tak rasmi - Jumlah undi dari 52 saluran diperolehi

PKR - 9,892
BN - 6,075
Majoriti - 3,817

6.53pm Tak rasmi - Jumlah undi dari 48 saluran diperolehi:

PKR - 9,257
BN - 5,448
Majoriti - 3,809

6.42pm Tak rasmi - Sumber PKR memberi angka menunjukkan parti itu semakin mendahului berdasarkan undi dari 45 saluran.

PKR - 8,847
BN - 5,260
Majoriti - 3,587

6.35pm Tak rasmi dari sumber PKR - Keputusan dari 39 saluran:

BN - 4,361
PKR - 7,514

6:30pm Tak rasmi - Keputusan dari 31 saluran diperolehi

PKR - 5,242
BN - 3,429

6.15pm Tak rasmi - Pengarah komunikasi PKR Fahmi Fadzil umum parti itu menguasai pilihan raya kecil DUN Kajang, berdasarkan pengiraan awal:

PKR - 4,239 undi
BN - 1,617
Majoriti - 2,622

Keputusan itu berdasarkan 26 dari 88 saluran pengundian, atau 33 peratus dari jumlah undi.

PRK Kajang: Jam terakhir, fokus kepada pengundi elak termakan provokasi BN

 FRU chua

Oleh: Mohd Ezli Mashut


KAJANG  Jentera Pakatan Rakyat di PRK DUN Kajang diperingatkan agar menumpukan usaha membawa pengundi ke pusat pengundian dan tidak termakan dengan provokasi BN di pusingan jam terakhir pengundian

“Jangan terperangkan dengan provokasi Umno-BN, fokuskan kepada untuk membawa pengundi agar memilih PKR,” tulis twitter Keadilan Untuk Semua.

pukulSementara itu, Barisan Nasional didakwa menggunakan samseng apabila memukul seorang anggota AMK Johor, Mohd Ramli dengan senjata tumpul di Daerah Mengundi Bandar Kajang, tulis twitter Adun Batu Caves, Amirudin Shari.

Menurut twiter Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil “Di IPD Kajang, sdr Zulfikar ditahan kerana pertahankan khemah KEADILAN di DM Taman Mesra. Tiga peguam hadir untuk bantu,”

Dilaporkan enam buah trak Polis Simpanan Persekutuan (FRU) memasuki Kampung Baru Sg Chua.EZY

Pusat mengundi SK Sungai Kantan kecoh



SALMIYAH HARUN & ANIS NAZRI 


KAJANG: Suasana pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kantan kecoh apabila sekumpulan anak muda penyokong BN cuba membuat provokasi dengan memerah minyak motorsikal.

Lebih 20 biji motosikal yang ditunggangi penyokong BN memerah minyak dan berhenti di tengah-tangah jalan menyebabkan suasana bingit.

Keadaan ini membuatkan para penyokong PKR tidak berpuas hati kerana bunyi bingit dengan asap motorsikal berkepul-kepul mencemarkan udara.

Keadaan ini menimbulkan ketegangan sehingga memaksa kira-kira 10 anggota FRU masuk campur dan menenangkan suasana.

Penyokong PKR yang mendengar arahan daripada pihak polis segera meminta penyokongnya berundur daripada mendekati penyokong BN.

Dalam beberapa minit selepas itu gerombolan penyokong BN dilihat melakukan provokasi lagi dengan bertindak mengetuk kereta penyokong PKR yang melalui jalan di hadapan mereka.

Sehingga kini keadaan masih lagi riuh dengan gelagat kedua-dua penyokong PKR dan BN yang berdiri bersebelahan menyebabkan suasana sukar sikawal.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi dan Datuk Kamarudin Jaffar serta Adun Hulu Kelang, Saari Sungib turut berada di pusat pengundian ini.

Syed Azman menasihatkan penyokong Pakatan Rakyat tidak melayan provokasi yang dimainkan BN.

"Kita tidak mahu menang provokasi tetapi kita mahu menang undi. Kita sudah lalui banyak pilihan raya sudah biasa dengan keadaan ini. Jadi kita yakin dapat kawal ahli-ahli kita,"katanya.

Katanya, walaupun kawasan ini kawasan BN tindakan provokasi itu menunjukkan rasa tergugatnya BN terhadap kedudukan mereka sebelum ini. 



PRK Kajang: Peratusan keluar undi mampu capai 80%

PRK Kajang


KAJANG - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangkakan peratusan keluar mengundi bagi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri Kajang hari ini mampu mencapai sehingga 80 peratus.
 
Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata sehingga 11 pagi, 12,288 atau 32.29 peratus daripada 38,055 pengundi telah keluar menunaikan hak masing-masing.
 
Pemerhatian SPR sejak pusat mengundi dibuka pada 8 pagi mendapati pengundi dan penyokong kedua-dua parti memberi kerjasama dan patuh kepada arahan yang dikeluarkan, katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat di sini hari ini.
 
Sebanyak 15 pusat mengundi dibuka untuk PRK Kajang dan akan ditutup pada pukul 5 petang.
  
Pilihan raya kecil ini menyaksikan pertembungan antara calon Barisan Nasional (BN) Datin Paduka Chew Mei Fun dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), dan keputusan dijangka diumumkan pada pukul 9 malam.

Dalam pada itu, Abdul Aziz meminta pemimpin politik menasihatkan penyokong dan jentera parti yang hadir ke pusat-pusat pengundian supaya sentiasa berhemah, sopan dan mematuhi arahan bagi memastikan kelancaran proses pengundian selesai.
 
Beliau juga menasihatkan penyokong parti politik tidak menimbulkan provokasi yang boleh mengganggu proses pengundian dan ketenteraman awam.
 
"Tempoh berkempen sudah tamat pada 12 tengah malam tadi. Hari ini pengundi hadir bagi membuat keputusan siapa yang patut dipilih, dan mereka tidak harus diganggu lagi," katanya.  - Bernama

Aksi kangkung, bomoh jadi tumpuan

MALAYSIAKINI



 


Walaupun tempoh rasmi kempen hanya 12 hari, dengan kedua pihak yang bertanding telahpun memulakan kempen 'tidak rasmi' mereka sebaik kerusi DUN Kajang dikosongkan 27 Januari lalu; ini mungkin kempen PRK paling lama dalam sejarah.

Seramai 38,055 pengundi bakal mengundi hari ini setelah 1,197 pengundi awal menunaikan tanggungjawab mereka Rabu lalu.

Fokus PRK yang dipanggil 'langkah Kajang' ini dikatakan Pakatan Rakyat sebagai referendum menentang ketidakadilan, kepincangan sistem kehakiman dan gerakan pelampau agama.

Perkara itu akan tergambar daripada keputusan hari ini. Soalnya, adakah Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mampu menambah majoriti hampir 7000 undi pada 2013 atau sebaliknya.

Calon BN Chew Mei Fun pula dilihat mahu memperbaiki sokongan kaum Cina yang hanya di takat 40 peratus pada pilihan raya umum lalu, sekali gus membuktikan partinya MCA masih relevan.

Pengiraan undi dari 18 daerah mengindi Kajang akan dilakukan di Stadium Majlis Perbandaran Kajang dengan keputusan dijangka diketahui secara berperingkat tidak lama selepas pengundian ditutup jam 5 petang ini.

Apa pilihan penduduk Kajang?

LAPORAN LANGSUNG

2pm Jumlah keluar mengundi 53.71 peratus setakat ini. Jumlah keluar mengundi yang lebih rendah berbanding 2013 (87 peratus) dijangka akan memberi kesan kepada penguasaan PKR di kerusi DUN ini.

Anwar menyiarkan rayuan di Twitter agar pengundi menggunakan masa untuk keluar mengundi sebelum pusat pengundian ditutup pada jam 5 petang.

1:30pm Sg Kantan - Kunjungan dari presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN, Chew Mei Fun menyemarakkan semula semangat penyokong parti untuk bersorak-sorai.

Suasana itu kembali hingar apabila seorang penyokong Pakatan melaungkan "Kangkung! Kangkung!".

Penyokong BN membalas semula dengan aksi menggoyangkan punggung mereka ke ara penyokonga Pakatan, dengan diawasi pasukan polis.

Sorakan itu kemudiannya surut semula selepas pemimpin MCA dan PKR, seperti MP Subang R Sivarasa beredar dari kawasan tersebut,

12pm Seramai 15,529 (40.81 peratus) keluar mengundi setakat tengahari.

11.30am SK Kantan Permai - seorang pengundi yang menuntut di Universiti Islam Antarabangsa.

"Saya membesar dengan Pakatan. Saya mahu Pakatan Rakyat menang. Mahasiswa juga banyak menggerak massa. Saya dengar ada undi kesian daripada atas pagar, dia kata undi Kak Wan," katanya.

11.16am Kajang - Satu kumpulan penyokong BN bermotosikal diketuai pemimpin Pemuda Umno Armand Azha Abu Hanifah membunyikan enjin jentera merea ketika melalui beberapa pusat pengundian.

Mereka memulas pendikit minyak untuk membuatkan enjin motosikal menderu kuat sehingga menenggelamkan laungan penyokongan lawan.

Kumpulan berkenaan berbuat demikian selama kira-kira 10 minit sebelum meninggalkan kawasan tersebut dalam keadaan kelam akibat kepulan asap motosikal.

Sementara itu seramai 20 orang penunggang basikal, termasuk seorang warga emas yang memakai baju dengan tulisan 'Power of Rakyat' dan 'Rakyat Is Not A Fool' turut mengunjungi kawasan-kawasn pengundian untuk menunjukkan sokongan.

Seorang daripadanya berang apabila disorak oleh sorang penyokong BN di SK Convent di Kajang, dan menjerkah kembali: "Hei bodoh!"

Beliau kemudiannya ditenang oleh penyokong PKR yang memberikannya minuman.

11.15am SK Kantan Permai - Penyokong Pakatan Rakyat semakin bertambah.

Beberapa orang penyokong PKR dilihat mengejek penyokong lawan dengan membuat aksi 'bomoh teropong'.

Seorang daripadnyaa menggunakan batang paip kecil berwarna hitam sebagai teropong, seorang lagi memegang dua biji kelapa tua dan seorang lagi memegang batang penyapu.

Ia bagi mengajuk upacara perbomohan seorang pengamal perubatan alternatif Ibrahim Mat Zin di KLIA bagi mencari pesawat MH370.

Kumpulan penyokong Pakatan turut melaungkan ejekan "Kangkung" kepada penyokong BN.

11.00am SK Kantan Permai - Bercakap kepada media, calon PKR Datuk Seri Wan Azizah berkata beliau telah mengunjungi beberapa pusat pengundian dan mendapati sokongan terhadapnya "memberangsangkan".

Bagaimanapun, dari kunjungannya itu, beliau mendakwa ada suasana tegang tercetus khususnya dari penyokong BN.

"Saya berharap pilihan raya berjalan dengan aman," katanya.

Ditanya mengenai peluangnya untuk menang, Presiden PKR itu berkata: "Saya tidak boleh ramal kemenangan, tapi saya rasa (syukur) Alhamdulillah, sekarang," katanya.

Wan Azizah juga kesal kerana tempat mengundi untuk warga emas di sebuah pusat pengundian - yang pernah dirasmikan oleh Anwar sewaktu menjadi menteri pelajaran - dibuat di tingkat satu.

"Sepatutnya (SPR) merancang supaya (suasana pilihan raya) mesra pengundi, kata Wan Azizah.

Beliau berkata akan meneruskan kunjungannya di pusat pengundiannya yang lain sebelum berhenti rehat dan menyambungnya semula selepas itu.

Dalam sidang media yang sama juga, Anwar berkata beliau yakin PKR akan mencapai kemenangan dalam pilihan raya kecil itu.

Beliau juga berharap baki pengundian hari ini berjalan lancar, dan mahu penyokong PKR tidak termakan dengan provokasi lawan.

"Mereka menggunakan istilah lucah, saya minta penyokong tenang, kalau nak kata, 'kangkung' tak mengapa," katanya.

10.27am SK Kantan Permai - Calon PKR Dr Wan Azizah Sampai Wan Ismail sampai di pondok panas PKR yang terletak kira-kira 150 meter daripada pusat mengundi.

Beliau sempat bergambar dengan penyokong yang melaungkan "Reformasi".

Manakala penyokong BN pula melaungkan "Tolak Kak Wan" dan "Tolak PKR" sewaktu Wan Azizah bersalaman dengan penyokong Pakatan dan kenderaan lalu lalang di situ.

Kedengaran juga seorang penyokong Tiong Hua yang bersalaman dengan beliau berkata: "Kita sudah menang".

Wan Azizah menyambutnya dengan senyuman. Beliau kemudiannya terus menuju ke pusat pengundian SK Kantan Permai.

10.15am SK Kantan Permai - Anwar Ibrahim tiba di pondok panas PKR sampai bersalaman penyokong Pakatan yang berada di situ termasuk kenderaan yang berhenti.

Penyokong Pakatan yang berada di situ mengambil kesempatan untuk bergambar dengannya bersama-sama bekas pesuruhjaya PAS Melaka Abdyl Ghani Abdul Rahman dan Datuk Lajim Ukin.

Bagaimanapun ketua pembangkang itu tidak melalui kawasan yang dipenuhi dengan penyokong BN.

Penyokong BN tidak melaungkan apa-apa sewaktu kehadiran Anwar kerana tenggelam dengan laungan penyokong PKR yang melaungkan "Tolak BN" dan "Reformasi".

10.15am Sg Kantan - Kesesakan lalu lintas menyebabkan pemimpin politik membonceng motor untuk meninjau kawasan pengundian.

Antara yang dilihat ialah Ketua Wanita PKR Zuraidah Kamaruddin dan Naib President Umno Datuk Shafie Apdal.

Suasana di hadapan Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan meriah dengan kedua-dua penyokong dipisahkan sebatang jalan dan berlawan sorak di hadapan lawan masing-masing.

10.10am SK Kantai Permai -Ahli parlimen Kuala Selangor Datuk Irmohizam Ibrahim yang bersama-sama penyokong BN amat berharap BN dapat memenangi pilihan raya kecil DUN Kajang.

"Saya lihat (ada kecenderungan) pertambahan (orang keluar) mengundi yang begitu meningkat. Saya yakin kita mencapai kejayaan luar biasa.

"Dalam proses demokrasi, kita menghormati (sama ada menang atau kalah), persaingan tetap ada. Suasana dengan penuh keamanan. Saya harap ia menjadi transformasi pasca PRU-13," katanya.

10.00am Sungai Chua – Seorang lelaki menarik perharian apabila mengandar kangkung di kawasan penyokong Pakatan.

Lelaki 64 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad itu berkata, beliau memandu dari Pahang untuk bersama-sama di Kajang pada hari ini.

“Saya mahu ingatkan pengundi di sini, (Datuk Seri) Najib (Razak)  menyebabkan harga gula naik, tetapi tidak masuk akal bila kata harga kangkung turun.

“Kita sudah tak boleh tahan!” katanya yang melaungkan “kangkung turun tapi harga gula naik” kepada orang ramai.

10.00am SK Kantai Permai - Dipisahkan hanya satu lorong ke Sekolah Kebangsaan Kantan Permai, penyokong BN dan PKR meraih undi kepada pengundi yang menuju ke pusat pengundian itu.

Penyokong BN yang kelihatan lebih ramai daripada penyokong PKR melaungkan " Hidup BN", "Hancur Anwar", "Tolak Anwar" dan "Tolak Kak Wan" beberapa kali sambil mengibar bendera dan poster Chew Mei Fun.

Manakala penyokong Pakatan hanya melaung reformasi. Pondok panas mereka hampir bertentangan satu sama lain.

Berlaku sedikit kekecohan apabila seorang pemandu kereta - tidak dapat dipastikan penyokong BN atau PKR - telah melanggar belakang sebuah motosikal di hadapan kedua-dua penyokong menyebabkan penyokong BN marah.

Bagaimanapun, kekecohan itu dapat ditenangkan oleh anggota polis.

9.55am Kajang - Polis minta pekerja parti, kecuali yang membantu warga emas, beralih daripada pusat pengundian di SK Convent Kajang.

Perayu undi MCA dilihat merekodkan jumlah pengundi yang tiba mengikut bangsa. Mereka juga dilihat mendekati pengundi Cina dengan berkata "Chew Mei Fun" dan "hua ren".

Ditanya sama ada dibenarkan berbuat demikian, dia menjawab: “Siapa kamu? Wartawan? Saya juga  boleh jadi wartawan. Saya tidak pakai mana-mana logo parti.”

“Kamu tidak cakap bahasa kami jadi kamu tidak tahu apa saya kata. Kamu tak perlu wawancara saya.

“Saya tidak takut, saya tidak sembunyikan apa-apa atau buat salah. Jika saya macam itu polis boleh tangkap,” kata lelaki bergelar “Datuk” itu yang enggan mendedahkan identitinya.

9:30am Sg Kantan - Kehadiran calon PKR Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail menyebabkan beberapa pengundi mengambil kesempatan bergambar dengan beliau.

Bagaimanapun beliau hanya menghabiskan kira-kira 10 minit sebelum bergerak ke tempat lain.

Sorakan reformasi tiba-tiba kedengaran ketika Wan Azizah meninggalkan kawasan pengundian di Sekolah Kebangsaan Sungai Kantan dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir bersama para penyokong beliau.

9.00am SK Sg Kantan - Suasana pilihan raya DUN ini semakin 'panas' apabila semakin ramai penyokong BN membanjiri pusat pengundian ini.

Malah, mereka yang berdiri di kiri dan kanan jalan menyanyikan lagu 'Inilah Barisan kita' beramai-ramai sambil diperhatikan oleh penyokong PKR dan Pakatan.

Suasana lebih meriah, apabila seorang penyokong Puteri Umno mengetuai lebih 200 penyokong BN yang berhimpun di luar pusat mengundi, bersorak" Hidup BN" beberapa kali.

9.00am Taman Mesra - Perlawanan sorak antara kedua belah penyokong berlangsung rancak di hadapan pusat pengundian utama Taman Mesra yang terletak di Sekolah Menengah Agama Persekutuan Kajang.

Masing-masing saling sindir menyindir.

8.45am SK Sg Kantan - Kira-kira 35 anak muda penyokong BN menunggang motosikal sambil memulas minyak sehingga menimbulkan bunyi bising dan mengeluar asap sambil mengibarkan bendera sekaligus mengganggu penyokong yang merayu di luar kawasan mengundi.

Salah seorang perayu undi PKR berteriak beberapa kali kepada mereka: "Baguslah, baguslah, buat macam ini."

8.40am Dewan Orang Ramai Sungai Chua - Calon BN, Chew Mei Fun hadir untuk meninjau proses pembuangan undi di sini.

Ditanya sebab beliau memakai baju berwarna merah, dan bukannya baju berwarna biru atau putih yang biasanya dikaitkan sebagai warna BN, Chew menjawab seperti berikut:

"Ini blaus yang saya juga pernah pakai sewaktu berkempen.

"Dan ada juga orang menasihatkan saya agar memakai warna merah hari ini," katanya sambil tersenyum penuh makna.

8.36am SK Sg Kantan - Penyokong BN lebih mendominasi penyokong PKR untuk meraih sokongan pengundi yang masuk ke sekolah ini. Lebih 100 orang penyokong BN mengibar bendera dan payung sambil melaungkan "Hidup BN, Undilah" BN.

Manakala kira-kira 35 penyokong PKR pula memegang poster Wan Azizah dan bendera PKR sambil menunjukkannya kepada pengguna jalan raya yang lain.

Terdapat juga kenderaan yang membunyikan hon sebagai tanda sokongan kepada calon BN, menyebabkan penyokong parti bersorak.

8.30am Dewan Orang Ramai Sungai Chua - Penyokong BN dan PKR kelihatan berdiri bersebelahan di tepi jalan masuk ke Dewan Orang Ramai Sungai Chua.

Penyokong BN memakai topi dan vest berlambang BN sementara penyokong PKR memegang poster wajah Datuk Seri Wan Azizah bertulisan 'Dari Kajang ke Putrajaya'.

Turut kelihatan adalah kira-kira 10 orang anggota Unit Tindakan Ringan yang berkawal berhampiran tempat penyokong-penyokong tersebut berdiri.

Pada masa sama, aliran keluar masuk pengundi ke Dewan Orang Ramai untuk membuang undi kelihatan berjalan lancar tanpa masalah.

8.20am Sungai Chua – Chew memulakan harinya di Persatuan  Jing Miao Buddhist sebelum melawat beberapa pusat pengundian. Beliau dijadual melawat  SRJK (C) Sungai Chua pada-pada jam 9 pagi.

8.18am Kajang Beberapa pengundi dilihat mengalami masalah tersalah pusat pengundian.

“Kamu mengundi di BukitKajang, kawasan sebelah di Bangi,” kata seorang agen pengundian pada pemilih.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menolak dakwaan seorang pengundi yang mendakwa, di Internet, dipindahkan keluar daripada Kajang tanpa persetujuan.

Kajang meliputi kawasan antara Batu 10 Cheras hingga Seksyen 14 Bangi.

8:15am Sungai Sekamat -  Sedikit kekecohan berlaku apabila sekumpulan polis meminta penyokong PKR dan BN tidak berdiri sebelah menyebelah bagi mengelakkan pergaduhan.

Pergeseran itu dikatakan berpunca lantaran kesesakan jalan raya di hadapan  Jalan Sekamat 1 semakin teruk memaksa penyokong kedua belah pihak berhenti jauh di pinggir jalan.

Tindakan campur tangan polis mengawal keadaan dan trafik meredakan keadaan dengan kedua pihak  nampak masih tidak berminat berprovokasi antara satu sama lain.

Sebuah ambulans turut terperangkap dalam kesesakan itu.

8.05am SK Saujana Impian - Keadaan di sini aman, pengundi mula memasuki pusat pengundian. Kira-kira 30 anggota polis mengawal keselamatan dan lalulintas di SK Saujana Impian.

8.00am  Sungai Sekamat - Keadaan jalan agak sesak di hadapan Sekolah Kebangsaan Seri Sekamat.

Namun ia bukan kerana pengundi berpusu-pusu membuang undi sebaliknya kerana Pasar pagi yang lazim diadakan di Jalan Sekamat 1 setiap hari Ahad.

Bagaimanapun pusat pembuangan undi ini agak aktif dengan penduduk tempatan mengambil peluang memilih ADUN baru mereka.

7.55am SK Saujana Impian - Kira-kira 25 orang pengundi bagi saluran 1 dan 2 telah memasuki kawasan sekolah dan beratur untuk mengundi.

Sebanyak lima saluran dibuka di pusat mengundi ini.

Tidak kelihatan penyokong daripada kedua-dua parti berhimpun di sekitar kawasan sekolah untuk meraih sokongan pengundi yang hadir.

Seramai 2014 pengundi berdaftar di SK Saujana Impian.

Sabtu, 22 Mac 2014

10,000 banjiri himpunan mega Pakatan

MALAYSIAKINI




PHOTO GALLERY

HARI 11
KAJANG Apa yang berlaku dalam kempen pilihan raya kecil DUN Kajang? Petikan, program yang dijalankan sereta insiden yang tidak dirancang berlaku.

11.40pm: Pengarah perhimpunan Reformasi 2.0, Tian Chua menjemput naik ke pentas dan memperkenalkan 'ikon untuk perubahan dan semangat berjuang', iaitu Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar naik ke petas diiringi dengan tepukan gemuruh hadirin, membuktikan beliau masih merupakan satu kuasa yang disegani.

Anwar hari ini juga menyalahkan BN kerana memberi taklimat kepada media asing termasuk tabloid UK Daily Mail yang menyiarkan berita yang mengaitkan beliau dengan krisis kehilangan pesawat MH370.

Berucap kepada hadirin di Stadium Kajang, Anwar berkata beliau tahu siapa yang diberi taklimat kepada Daily Mail dan media UK.

Menurutnya, apabila artikel itu disiarkan, semua blog Umno dan cybertroopers mula menyerangnya.

Anwar menamatkan ucapannya 20 minit itu, dengan berkata beliau tetap mempertahankan 'Kajang Move' kerana ia akan membuka jalan untuk Pakatan mengambil alih Putrajaya tidak kira apa yang berlaku kepadanya.

Beliau kemudian melaungkan 'Reformasi', sebelum hadirin bersurai.

11.30pm: Lim Kit Siang naik ke pentas dengan Gobind Singh Deo.

Lim berkata satu undi untuk Wan Azizah bukan sahaja undi untuk ADUN Kajang yang baru, tetapi juga undi untuk perdana menteri wanita Malaysia yang pertama.

Gobind yang mewakili bapanya Karpal Singh, memberi amaran kepada pentadbiran Najib bahawa mereka tidak boleh lagi menggunakan undang-undang zalim untuk menghukum orang lain.

11.20pm:  Tepat jam 11.22 malam, juruacara, Badrul Hisham Shaharin meminta lampu dipadamkan dan memainkan lagu Nasyid bertajuk 'Teman Sejati'.

Suasana gelap itu mengingatkan rakyat terhadap kempen 'blackout' oleh Pakatan sebagai membantah keputusan PRU13, dan diterangi dengan nyalaan lampu ribuan telefon bimbit.

Wan Azizah naik pentas dan menggesa penduduk Kajang mengundi beliau dan memberi keadilan kepada suaminya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

11.15pm: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng bersetuju dengan penilaian TPM Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa pemimpin BN mempunyai beratus-ratus tahun pengalaman berbanding dengan pemimpin Pakatan Rakyat.

Berucap kepada kira-kira 10,000 hadirin di Stadium Kajang, Lim, serta dua Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Husam Musa menyeru rakyat bangkit menentang ketidakadilan kerajaan BN dan memastikan Wan Azizah menang pilihan raya kecil itu.

11pm: Anwar telah sampai dan duduk di bersama pemimpin Pakatan yang lain.

Jumlah hadirin meningkat kepada 10,000 orang.

11pm: Kira-kira satu perempat daripada 150 meja di majlis makan malam MCA kini kosong walaupun Timbalan Presiden Wee Ka Siong masih berucap.

10.30pm: Sekumpulan kira-kira 7,000 orang berada dalam stadium Kajang ketika lebih ramai pemimpin berucap di atas pentas.

Memandangkan hanya diberi masa tiga hingga lima minit tiap seorang, beberapa pemimpin Pakatan bercakap tentang keadilan, reformasi dan sabitan ke atas Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, penceramah kedua belas, menggesa rakyat untuk 'mengkuburkan' Datin Paduka Chew Mei Fun dalam pilihan raya kecil Ahad ini sehingga BN hilang deposit.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar naik ke pentas bersama sasterawan negara Datuk A Samad Said yang kemudiannya mendeklamasikan puisi.

Nurul Izzah pula menggesa orang ramai supaya mengikuti jejak Pak Samad yang turun ke jalanan untuk memerangi rasuah dan amalan yang tidak adil BN.

9.45 malam: Terdapat sekurang-kurangnya 1,500 yang menghadiri majlis makan malam mega yang dianjurkan oleh MCA di Kampung Bukit Angkat.

Hadirin yang yang kebanyakannya masyarakat Cina yang pelbagai peringkat umur dihiburkan oleh artis tempatan semasa menikmati jamuan.

Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai berucap dan mendapat tepukan gemuruh hadirin.

Di belakangnya di atas pentas terdapat pelbagai hadiah cabutan bertuah untuk dimenangi, termasuk mesin basuh, televisyen, pembersih vakum dan periuk.

SPR jangka lebih 80% keluar mengundi esok

MALAYSIAKINI


Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjangka lebih 80 peratus daripada 38,055 pemilih berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang akan keluar mengundi esok.
  
Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh berkata jangkaan berdasarkan trend pengundian dan peratusan keluar mengundi di DUN itu pada pilihan raya terdahulu.
  
Bercakap dalam sidang media di Kajang hari ini, Abdul Ghani tidak menolak kemungkinan peratusan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil ini melebihi 88.4 peratus yang dicatat semasa pilihan raya umum ke-13.
  
Pada masa sama beliau turut menasihatkan pengundi agar datang awal dan secara berperingkat bagi mengelakkan kesesakan di pusat mengundi.
  
Rabu lepas, 88.39 peratus atau 1,050 daripada 1,197 pengundi awal di DUN itu melaksanakan tanggungjawab mereka.

Ditanya mengenai perjalanan keseluruhan pilihan raya kecil itu termasuk tempoh berkempen yang akan berakhir pukul 12 tengah malam ini, Abdul Ghani berkata SPR berpuas hati dan menyifatkan semua berjalan lancar.
  
Beliau bagaimanapun mengingatkan parti politik terlibat agar mematuhi peraturan yang termaktub dalam Akta Pilihan Raya dan Akta Kesalahan Pilihan Raya semasa hari pengundian.
  
Antaranya larangan merayu atau meraih undi, katanya.
  
Pilihan raya kecil DUN itu diadakan selepas penyandangnya Lee Chin Cheh daripada PKR meletak jawatan pada 27 Jan lepas.
  
Esok, pengundi di DUN itu akan memilih sama ada Datin Paduka Chew Mei Fun daripada Barisan Nasional atau calon PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai wakil rakyat yang baharu.   
-Bernama

PKR dakwa bilik gerakan dilontar bom petrol

MALAYSIAKINI



 


ADUN Seri Andalas Dr Xavier Jayakumar mendakwa bilik gerakan PKR di Taman Kajang Baru dilontar bom petrol antara jam 3 hingga ke 6 pagi tadi.

Menurutnya, satu botol dipercayai berisi minyak tanah itu dengan sumbu terbakar itu dijumpai di atas tanah di luar bilik gerakan itu oleh seorang petugas parti pagi tadi.

Dr Xavier berkata beliau percaya ia dilontar di antara jam 3 hingga ke 6 pagi kerana bilik gerakan tersebut ditutup di antara jam 2.30 sehingga jam 3 pagi tadi.

Satu laporan polis tentangnya telah dibuat, tengahari tadi, kata Dr Xavier dalam sidang medianya petang ini.

"(Tindakan) ini satu taktik menakut-nakutkan kita yang dibuat pihak lawan dan kita tidak mengalu-alukan perbuatan ini," kata Xavier.

Dalam laporan polis itu, petugas PKR Nor Azlan Mohammad berkata beliau menemui botol berisi minyak tanah itu sekitar jam 9.20 pagi tadi.

Dakwanya, kesan balingan dikesan pada satu kain rentang dan satu kerusi berhampiran juga terbalik dipercayai akibat dibaling bom itu.

Pengundi Kajang adu lokaliti dipindah secara senyap

KEADILAN DAILY


KAJANG: KEADILAN mengesahkan ada menerima aduan berhubung perpindahan pengundi di N25 Kajang secara tidak sah.

Menurut Ketua Penerangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Shuhaimi Shafie, sehingga semalam pihaknya menerima aduan daripada seorang pengundi berbangsa Cina yang dipindahkan lokalitinya dari Kajang ke Bangi.

ShuhaimiJelas Shuhaimi, pada Pilihan Raya Umum ke-13 dan sebelum itu, pengundi terbabit tidak pernah mengundi di lokaliti selain Kajang.

“Apabila beliau pergi semak namanya di daftar pemilih SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) khas untuk PRK Kajang, namanya tidak ada. Tetapi apabila semak di web SPR namanya di Semenyih sedangkan dia tidak pernah ubah tempat mengundi bahkan sudah empat kali pengundi itu mengundi di Kajang,” katanya, lapor Harakah Daily.

Beliau yang juga Ketua Bilik Operasi 11 KEADILAN tidak menolak akan ada lagi kes seperti itu khususnya membabitkan pengundi Cina kerana ia bukan kes terpencil.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sri Muda itu, kebiasaannya pengundi-pengundi akan mendapat slip maklumat mengundi termasuk saluran dan lokaliti mengundi.

“Jika pengundi tidak sedar mereka dipindahkan secara senyap ianya akan menyusahkan pengundi pada hari membuang undi. Kalau kita keluar mengundi jam 4 petang tiba-tiba tiada nama, sudah tentu kelam kabut dan tidak mustahil pengundi tidak jadi tunaikan tanggungjawab mereka,” katanya.

Justeru, KEADILAN menggesa para pengundi Kajang agar membuat semakan awal di mana lokaliti mereka melalui semakan online SPR.

“Buat semakan awal, jika ada berlaku masalah ini, sila maklumkan kepada Bilik Gerakan Utama KEADILAN. Insyallah kita boleh bantu,” kata Shuhaimi.

Anwar: PM Australia bentang isu MH370 di Parlimen, Malaysia?

KEADILAN DAILY


KUALA LUMPUR: Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar pihak yang menuduh beliau cuba mempolitikkan isu kehilangan pesawat MH370.

Beliau malah membidas kepimpinan kerajaan BN dalam menangani isu kehilangan pesawat berkenaan.

 Berucap pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang, Anwar berkata, media asing kini beratur untuk menemuramahnya kerana kecewa cara pengurusan Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Najib Razak dan kabinet yang didakwa gagal memberi jawapan dan maklumat kepada media mengenai perkara ini.

“Mereka (BN) marah bila saya ditemuramah. (Mereka kata) Anwar ini siapa?. Tetapi semua orang mahu maklumat.

“Di Australia, PM Tony Abbot dapat maklumat terus bentang di Parlimen. Berbeza dengan PM Malaysia,” kata Anwar di Taman Mewah, Kajang semalam.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merujuk keengganan Parlimen membahas isu pesawat dan sesi taklimat yang hanya melibatkan Ahli Parlimen BN kelmarin.

Dalam temuramah bersama CNN semalam, Anwar berkata, radar Malaysia sepatutnya berkemampuan mengesan pesawat MH370 yang hilang.

Bekas Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan itu berkata, pada masanya Malaysia telah membeli sistem radar Marconi yang merupakan antara paling berkesan di dunia untuk kawasan Utara Malaysia.

“Saya Menteri Kewangan (ketika itu) saya bayar (untuk kerajaan)…Saya tahu radar di Utara dan Pantai Timur boleh tengok kapal terbang yang lalu siang, malam, pagi, petang,” kata Anwar kepada kira-kira 200 hadirin malam tadi, lapor Malaysiakini.

Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Boeing 777-200ER hilang secara misteri pada awal pagi 8 Mac, dan operasi mencari dan menyelamat dianggap terbesar dalam sejarah penerbangan.

Jumaat, 21 Mac 2014

DAP saran UMNO-BN cermin dulu diri sendiri sebelum fitnah Kak Wan


_DSC7028

KAJANG: UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan mencermin dulu diri sendiri sebelum dengan membuta tuli memfitnah calon Pakatan Rakyat (PR) DUN Kajang, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, kata Ahli Parlimen DAP Batu Kawan, Kasthuri Patto.

“Saya sangat marah dan kesal dengan beberapa pemimpin UMNO termasuk Ketua Pemudanya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang melabelkan Kak Wan (Dr Wan Azizah) dengan pelbagai perkara, antaranya sebagai boneka.

“Mereka juga mempersoalkan kemampuan Kak Wan jika dilantik sebagai ADUN. Hari ini saya mahu nyatakan, kamu (BN) jangan buli wanita.

“Sebelum fitnah dan serang Kak Wan tanya dulu diri sendiri apa yang telah kamu lakukan selama lebih 50 tahun memerintah negara ini?

“Inilah budaya mereka, kalau tak buli, tipu orang, rompak, curi dan fitnah, itu bukan BN,” tegasnya ketika berceramah di Taman Damai Mewah, Kajang, semalam.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Dr Wan Azizah adalah calon terbaik untuk memimpin Selangor kerana imejnya yang bersih dan tidak pernah melakukan perbuatan terkutuk seperti mana menjadi amalan pemimpin UMNO-BN.

“Saya boleh beri jaminan kepada penduduk Kajang, Kak Wan adalah individu terbaik kerana beliau tidak mengamalkan rasuah, tidak curi duit dan tipu rakyat,” ujarnya.

Pada masa sama, Kasthuri berbesarkan hati mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr Wan Azizah kerana banyak membantu berkempen pada PRU ke-13 lalu sehingga membolehkan beliau menang sebagai Ahli Parlimen.

“Di kawasan saya, Batu Kawan, ada tiga DUN. Masa PRU-13 lalu, Kak Wan datang tolong saya di Bukit Tengah.

“Hasil pertolongan Kak Wan saya menang dengan majoriti lebih 25,000. Hari ini saya datang dari Pulau Pinang ke Kajang untuk membalas budi dan berkempen supaya Kak Wan pula memperoleh kemenangan, seterusnya menjadi ADUN di sini.

“Saya berharap semua penduduk Kajang membuat pilihan tepat dengan memberi undi kepada Kak Wan, Ahad ini kerana kita bukan sekadar mahukan kemenangan tetapi menghantar mesej kuat dan keras kepada BN bahawa kamu sudah ditolak sepenuhnya,” katanya. -Roketkini.com