Khamis, 27 Februari 2014

PRK Kajang: Nallakarupan Masih Belum Buat Keputusan Tanding Atau Tarik Diri


S.Nallakarupan.


 
 
PETALING JAYA: Presiden Parti India Bersatu Malaysia (MUIP), Senator Datuk S. Nallakarupan masih lagi berbelah bahagi sama ada untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang.

Walaupun beliau menaruh harapan untuk bersaing dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 23 Mac depan, beliau sedar rancangan tersebut akan menjejaskan Barisan Nasional (BN).

Nallakaruppan berkata, beliau ada berbincang dengan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor mengenai perkara itu.

"Berdasarkan persetujuan dan semangat BN, saya telah diminta untuk menarik diri daripada bertanding di Kajang supaya parti itu boleh memberi tumpuan kepada hanya seorang calon.

"Saya memahami dan menghormati semangat BN tetapi saya memerlukan masa untuk membuat keputusan sama ada meneruskan rancangan saya atau menarik diri," katanya kepada The Star.

Nallakarupan yang juga bekas rakan baik Anwar, menawarkan diri untuk bertanding di bawah tiket MUIP kerana beliau mengetahui segala rahsia Ketua Pembangkang itu.

"Saya merupakan rakan karib dan amat kenal dengan Anwar. Adalah lebih baik jika saya bertanding menentangnya supaya rakyat tahu siapa diri Anwar yang sebenar," katanya.

Kerusi DUN Kajang kosong berikutan peletakan jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari lalu.

Anwar bertanding atas tiket PKR manakala BN memilih Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun yang juga bekas Timbalan Menteri Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat sebagai calon.

Beberapa individu turut menyatakan hasrat untuk bertanding sebagai calon Bebas.

Antaranya bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim, penyanyi Herman Tino dan bekas pembantu kepada peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Yuktes Vijay dalam kes liwat.
Hari penamaan calon ditetapkan pada 11 Mac depan.

Yuktes berkata beliau tiada sebarang perancangan untuk menarik diri daripada bertanding

Tiada ulasan: