Ahad, 23 Februari 2014

Mengapa hidupkan antihadis yang dah lama mati?

HARAKAHDAILY


KAJANG: Tindakan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan sokongan kepada pelopor gerakan antihadis di negara ini, Dr Kassim Ahmad menghairankan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gerakan tersebut telah lama mati.

Di Putrajaya di bawah naungan Yayasan Kepimpinan Perdana ada perbincangan untuk ketengahkan (idea) Kassim Ahmad, pelopor (pemikiran) antihadis. Apa dah jadi ni”soal Anwar.

Anwar yang bakal bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang turut mempersoalkan keperluan menghidupkan gerakan antihadis yang telah lama berkubur.
 Di mana ulama Umno?” soal beliau.

Menurut beliau, hadis adalah sumber kedua terpenting dalam Islam dan antara peranannya adalah untuk menjelaskan kandungan Al-Quran.

“Perkara ini berkaitan dengan akidah,” jelas beliau ketika berucap dalam satu majlis ceramah, dekat sini.

Pada seminar “Pemikiran Kassim Ahmad: Satu Penilaian Semula” anjuran Yayasan Kepimpinan Perdana, Kassim (gambar) mempersoalkan peranan hadis sebagai sumber hukum, memperlekehkan ulama dan mempertikaikan kewajipan menutup aurat bagi perempuan muslim.

Anwar yang bakal mewakili PKR pada PRK Kajang 23 Mac ini bakal menghadapi pertandingan pelbagai penjuru.

BN menamakan Naib Presiden MCA, Chew Mei Fun Jumaat lalu manakala beberapa individu seperti Zaid Ibrahim dan penyanyi Herman Tino turut menyatakan hasrat untuk bertanding.

Dun Kajang mempunyai 39,728 pengundi berdaftar dengan 48% Melayu, China (41%), India (10%) dan lain-lain kaum (1%).

Tiada ulasan: