Selasa, 25 Februari 2014

PRK, lalat khinzir dan masuk gereja



Oleh A Kadir Jasin


 CERITA masuk gereja dan babi dekat dengan hati saya. Jadi apabila penceramah Ridhuan Tee Abdullah dilaporkan mengecam perbuatan seorang bakal calon Melayu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kajang berucap di gereja, saya ingin tumpang sekali.aya katakan “bakal calon” kerana penamaan calon belum diadakan. Antara sekarang dan saat itu, apa pun boleh berlaku.

Menulis dalam akhbar Sinar Harian, Ridhuan mengkritik langkah bakal calon tersebut memasuki gereja Holy Family, Kajang dan berucap. Tee menyifatkan tindakan itu  sebagai “liberal dan keterlaluan”. Bakal calon yang dimaksudkan itu ialah Anwar Ibrahim.

Katanya: "Luar biasa! Dahulu orang Melayu usahkan nak masuk gereja atau kuil, lalu sahaja di luar pun kalau boleh, cuba elakkan. Sama seperti jika mereka ke pasar, kalau boleh elak melalui atau memandang daging atau penjual khinzir. Lebih dahsyat lagi, ketika di pasar, ada yang takut ‘lalat khinzir’ terbang kawasan ‘halal’ Islam. Begitulah berhati-hatinya orang Melayu terhadap cara hidup mereka.”

Saya katakan cerita masuk gereja dan babi dekat dengan hati saya kerana kedua-duanya adalah sebahagian daripada pendewasaan saya.

1. Ketika saya kanak-kanak,  di kampung saya babi peliharaan adalah perkara biasa. Jiran Cina yang berupa penduduk minoriti pelihara babi dan kadang kala babi mereka terlepas keluar kandang dan masuk kampung kami.

2. Babi masuk kampung perkara biasa waktu itu. Kita hambat keluar atau kita biarkan asal tidak merosakkan tanaman atau datang terlalu hampir dengan rumah. Malah nenek saya melakukan kegiatan tukar barang kerana babi. Penternak babi tuai keladi liar yang tumbuh dalam kampungnya untuk makanan haiwan itu. Sebagai ganti mereka memberikannya gula, kopi dan susu.

3. Kalau menunggang basikal dari Tanah Merah (Pendang) ke Kubur Panjang melalui Tobiar, kita akan  melintasi sebuah perkampungan orang Siam. Mereka pun pelihara babi dan babi mereka jinak. Bila kita lalu, babi akan ikut kita, apatah lagi kalau kita membawa buah-buahan atau sayur-sayuran.

4. Tapi orang Melayu jijik dengan daging babi dan sangat ambil berat makanan halal. Tapi ramai tidak peduli sangat kalau makanan halal diperoleh secara haram atau dibeli dengan pendapatan haram macam rasuah. Dua cerita daging babi dan makanan halal adalah:

(a) Seorang buta (tentunya tidak tahu rupa bentuk babi) terambil bungkusan mengandungi daging babi kepunyaan kawan Cinanya. Si isteri celik, tapi tidak pernah tengok dagang babi. Mereka masak dan makan. Tidak jadi apa-apa. Si kawan Cina berasa sangat bersalah dan pergi beritahu yang itu daging babi. Laki bini muntah sampai lembik. Begitulah jijiknya orang Melayu dengan babi.

(b) Seorang Melayu (tentunya Islam) “bergumbira” tiga hari dua malam di Haadyai dengan “temannya” berkurung dalam bilik hotel. Hari ketiga lapar dan turun cari makan. Pertanyaan pertamanya: “Halal ke ayam ni?” Maksudnya disembelih ikut cara Islam.

5. Mengenai masuk gereja pula, kalau itulah interpretasi Tee, saya lagi teruk daripada bakal calon yang Tee kritik itu kerana:

(a) Saya masuk gereja ketika bersekolah selama lapan tahun di Sekolah Rendah dan Menengah Saint Michael di Alor Setar. Bukan masuk gereja untuk sembahyang Kristian, tetapi berlindung daripada bahang panas musim kemarau. Saya juga masuk gereja untuk ziarah kenalan Kristian yang mati.

 (b) Ketika belajar kewartawanan di New Zealand, saya tinggal seminggu di rumah seorang paderi Gereja Anglican. Di rumah beliaulah saya belajar mengenai “grace” atau doa sebelum makan berbunyi: Bless, O Father, Thy gifts to our use and us to Thy service; for Christ’s sake. Amen.

Jadi apalah salahnya bakal calon masuk berucap dalam gereja atau melawat kuil. Perdana Menteri kita, Mohd Najib Abdul Razak pun buat masa perayaan agama-agama bukan Islam siap dengan pakaian sekali. Inilah 1Malaysia. Wallahuaklam.

NOTA KAKI: Hari ini, 25 Feb, 2013 genaplah lapan tahun usia blog kita. Terima kasih kepada pelawat, pembahas dan "followers". - http://kadirjasin.blogspot.com/

Tiada ulasan: