Selasa, 25 Februari 2014

MB Selangor: Syabas gagal bentang jadual agihan air dalam 4 mesyuarat

THE MALAYSIAN INSIDER



























Kenyataan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) yang mendakwa telah menyediakan pelan penjadualan semula bekalan air adalah tidak benar kerana syarikat konsesi air itu gagal membentangkannya dalam empat mesyuarat berasingan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (gambar).

Menteri Besar Selangor mendakwa perbincangan mengenai cadangan pelaksanaan penjadualan pengagihan air telah dibincangkan bersama wakil Syabas dalam mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Bekalan Air Selangor sejak 18 Februari 2014.

“Jawatankuasa berkenaan meminta Syabas membentangkan pelan tersebut dalam mesyuarat pada 20 Februari tetapi Syabas hanya membentangkan kertas cadangan catuan bekalan air.

“Kerajaan Selangor sekali lagi mengarahkan Syabas menyediakan pelan penjadualan pengagihan air untuk dibentangkan pada 21 Februari tetapi Syabas masih gagal dan pada 24 Februari sekali lagi Syabas gagal berbuat demikian,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Syabas dalam satu sidang media hari ini mendakwa pelan penjadualan semula bekalan air disediakan sebaik sahaja Khalid mengeluarkan arahan tindakan kecemasan bagi kawasan yang terjejas Jumaat lalu.

Pengarah Eksekutif Teknikal Konsesi Air Syabas V. Subramaniam berkata, bagaimanapun ia hanya diluluskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negeri (SPAN) semalam.

Khalid berkata menjadikan SPAN sebagai alasan amat tidak masuk akal, mengarut dan tidak boleh diterima kerana perkara ini mustahak dan melibatkan kepentingan rakyat.

Katanya, persetujuan untuk Syabas melaksanakan pelan penjadualan pengagihan air sekiranya pelepasan air mentah daripada empangan dilaksanakan telah pun diberikan oleh kerajaan negeri.

“Kerajaan Negeri terpaksa melaksanakan pengurangan pelepasan air daripada empangan untuk memastikan pengguna tetap menerima bekalan air walaupun berselang seli sehingga akhir Mac ini.

“Kami tegaskan bahawa keadaan pada ketika ini berbeza dengan apa yang berlaku pada Julai 2012 apabila Syabas mengumumkan catuan air di Lembah Klang tanpa mendapat persetujuan kerajaan negeri dan ahli lembaga pengarah Syabas,” katanya.

Semalam, Khalid membidas Syabas kerana gagal menyediakan pelan kecemasan berikutan kekurangan air kerana musim kemarau.

Katanya, ekoran kegagalan Syabas menyediakan pelan kecemasan menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan jadual catuan sendiri di mana ia hanya diumumkan pada semalam.

Khalid berkata, langkah catuan air membolehkan bekalan air dapat bertahan selama beberapa hari lagi.

Sementara itu, Syabas berkata, catuan air hanya melibatkan kawasan tertentu seperti di Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang di mana kawasan tersebut dibahagikan kepada dua zon.

Pengarah Eksekutif Operasi Syabas, Yusof Saraji, berkata catuan air akan bermula 27 Februari dan akan berterusan sehingga akhir Mac.

Tiada ulasan: