SAYA dimaklumkan tentang penganjuran Ekspo Makanan Halal Antarabangsa Kelantan 2014 yang akan berlangsung mulai esok 25 Rabiul Akhir 1435H bersamaan 25 Februari 2014 selama lima hari di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu.
Teringin sekali saya untuk turut sama meninjau dan melihat sendiri makanan halal yang dipamerkan di dalam ekspo ini tetapi kesihatan saya sedikit tidak mengizinkan. Bahkan mulai hari ini, saya dinasihatkan doktor untuk berehat beberapa hari dan menjalani rawatan rutin. Saya harapkan doa dari saudara-saudara agar Allah SWT memberikan saya kekuatan yang berpanjangan untuk terus berdiri menyampaikan dakwah melalui medan politik di tanah air ini.
Saya suka untuk menulis sedikit berkenaan Ekspo Makanan Halal Antarabangsa Kelantan 2014. Pertamanya, saya rakamkan tahniah kepada penganjur kerana mengambil inisiatif mengadakan ekspo sebegini. Ia satu langkah yang cukup baik dalam mengajak masyarakat khususnya umat Islam agar menyedari kepentingan halal haram di dalam pemakanan seharian.
Halal haram ini bukan ciptaan manusia. Ia hukum yang datang daripada Allah SWT. Nabi Muhammad SAW telah menegaskan bahawa perkara yang halal dan haram itu semuanya telah jelas tanpa sebarang syak wasangka. Di dalam pemakanan, sesuatu yang haram yang bersatu dengan darah daging akan membawa akibat yang buruk dan antaranya ialah memayahkan doa untuk dimakbulkan Allah SWT.
Ketika saya diamanahkan sebagai Menteri Besar Kelantan pada tahun 1990, aspek halal haram inilah yang kita ketengahkan di dalam pentadbiran. Ia bukannya hanya wujud di dalam pemakanan bahkan di dalam pengurusan ekonomi. Justeru, kita pindahkan wang kerajaan dari perbankan konservatif kepada perbankan Islam agar wang itu menjadi halal dan diuruskan dengan pengurusan yang tidak terlibat dengan ribawi.
Alhamdulillah, pengurusan kewangan berjalan dengan baik dan sempurna sekalipun tidak terlibat dengan riba. Jika makanan yang halal pun enak dimakan, demikian juga pengurusan ekonomi yang halal, tetap menguntungkan dan mendatangkan manfaat. Sesuatu yang halal itu bukanlah susah untuk dicari jika tidak ditutup oleh nafsu manusia yang enggan menerima kebenaran.
Di dalam politik juga begitu. Ada politik halal dan ada politik haram. Masyarakat perlu dididik agar merasa jijik untuk menyentuh politik yang haram sebagaimana mereka jijik untuk menyentuh makanan yang haram. Saya yakin dan pasti, orang Melayu khususnya terdidik agar tidak memakan binatang-binatang tertentu yang dianggap haram mutlak di sisi Islam. Ia dianggap jijik dan sangat hina. Namun sayangnya dalam masa yang sama, rasa jijik terhadap politik haram tidak setinggi rasa jijik terhadap politik yang haram.
Masyarakat wajib diajar bahawa politik menzalimi orang lain itu adalah politik yang haram. Politik menyekat hak kepada pihak yang berhak adalah politik haram, politik mengambil hak yang bukan sepatutnya ialah politik yang haram. Demikian juga politik yang mengambil kesempatan untuk menerima rasuah, salah guna kuasa dan khianat juga adalah politik yang haram. Jika kesedaran ini berjaya ditingkatkan dan masyarakat sedar sepenuhnya, saya yakin pihak yang berdiri di atas asas politik yang haram tidak akan wujud lagi di negara ini.
Kefahaman ini adalah akar tunjang di dalam berpolitik. Jika kefahaman ini berjaya disemai, pohon jahiliyyah yang sekian lama menaungi pastinya akan tumbang juga.
Selamat berekspo dan salam hormat.
DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Mursyidul Am Pas
Bekas Menteri Besar Kelantan
Tiada ulasan:
Catat Ulasan