Selasa, 25 Februari 2014

Bagaimana kalau pengundi BN pulau PRK Kajang?


Oleh Subky Latif


Justeru marahnya pemimpin Barisan Nasional dari semua parti kepada apa yang dikatakan permainan politik peribadi Anwar Ibrahim dalam politik PRK Kajang, maka mungkin penyertaan mereka dalam PRK  dilihat sebagai orang yang dipermainkan oleh Anwar.

Penyertaan itu kira-kira mereka masuk dalam perangkap Anwar dan seperti dialatkan oleh Anwar.
   
Bagi mengelakkan supaya Anwar tidak menang percuma dan tidak mahu BN khususnya Umno dikira kalah sebelum bertanding, maka itulah mereka terpaksa letak calon.
  
Pemimpn BN tiada pilihan. Sekalipun mereka benci pada Anwar dan pura-pura benci dengan PRK sedemikian justeru membazir wang kerajaan yang juga wang rakyat, mereka terpaksa bertanding walaupun mereka tahu mereka diperolok oleh Anwar.
   
Tetapi penyokong dan pengundi tetap BN tidak semestinya ikut pemimpin-pemimpinnya yang diperangkap oleh apa yang dikatakan permainan politik peribadi Anwar itu. Para pemimpin terpaksa juga bertanding kerana tidak mahu malu dan tidak mahu dilihat malu.
   
Maka penyokongnya boleh bertindak lain dari yang dibuat oleh pemimpin dengan tidak turun mengundi. Jika mereka mengundi, mereka masuk perangkap Anwar sedang mereka bencikan Anwar serba serbi.
    
Jika betul tak mahu diperalat Anwar, biarkan saja dia berpolitik seorang diri. Mungkin yang tinggi marahnya kepada Anwar tidak mahu mengundi. Rafizi Ramli tidak menjangkakan ada yang macam itu dan  sudah meramalkan peratus yang memulaukan pengundian itu terlalu kecil.
   
BN pun ada kebimbangan dan ada yang berkepala angin lalu tidak mengundi, semata-mata kerana tidak mahu masuk dalam jebak Anwar.
   
Justeru TPM Muhyiddin Yassin kata, BN tidak beri laluan mudah kepada Anwar dan Dr Mahahtir pula mahu semuanya turun bagi mengalahkan Anwar.
   
Antara yang mereka marah sangat Anwar ialah kerana dia dan partinya memperolokkan demokrasi dan cemar demokrasi olehnya.
   
Jika mereka libatkan diri dan sertai PRK dengan mengundi, maka mereka jayakan politik Anwar. Sukalah Anwar. Apa yang menyukakan Anwar? Mereka tidak mengundi. Tiada apa rugi Anwar jika mereka tidak mengundi. Ia memudahkan lagi Anwar menang dan ia menambah pula majoriti PKR.
   
BN pun memang takut kepada pengikutnya yang berkepala angin itu. Jika mereka tidak mengundi malu besarlah BN. Seolah-olah ia membantu Anwar menang besar.
   
Dari baca politik payah bagi Anwar kalah. BN pun tahu. Memang ia payah menang. Apa yang BN harap dari PRK itu ialah menambah undinya dan mengurang majoriti Anwar. Maka kempen besar BN sekarang ialah menggesa supaya penokongnya jangan memulaukan pengundian.
   
Jika perlu mereka dihulur lebih, hulurlah lebih dari selalu kerana BN tidak mahu undinya merosot dan majoriti Anwar naik.
   
Sekalipun Anwar dirasakan akan menang, tetapi dia bukan tidak boleh dikalahkan. Harapan dia dikalahkan hanya dengan menjadikan Dr Mahathir sebagai calon. Itupun belum tentu menang, tetapi  dia saja yang ada harapan bagi mengalahkan Anwar.
   
Dr Mahathir tidak membentu BN sekadar membangkitkan kelemahan Anwar. Tiada banyak kesan. Tetapi dengan dia sendiri  terjun, barulah kesannya naik. Kalau Tun M hendak melihat Anwar kalah, turunlah sebagai calon BN. Tak usah malu.
  
Lainlah kalau dia takut kalah!

Tiada ulasan: