Dr Suhazeli Abdullah
TUGAS seorang pengamal perubatan sungguh mulia. Membantu menyelamatkan nyawa manusia dan menghilangkan kesakitan kepada pesakit (dengan tidak dinafikan bahawa segalanya adalah ketentuan dari Allah jua).
Sesiapa yang menceburi bidang ini, sama ada doktor, jururawat atau seumpamanya adalah khusus bagi menolong kehidupan manusia sejagat. Inilah kemahiran yang sukar diperoleh. Malah untuk menjadi seorang doktor, sela masa yang lebih lama di universiti berbanding dengan profesyen lain.
Oleh kerana keistimewaan inilah tugasan yang diberikan amat besar. Justeru, tugasan ini tidak boleh diberikan kepada orang yang tidak khusus belajar mengenai hal ehwal merawat pesakit. Lebih besar lagi taklifan yang diberikan kepada para pengamal perubatan ini apabila ada di antara mereka menceburi bidang yang lebih spesifik dalam ilmu dan dunia perubatan.
Sebagai contohnya pembedahan jantung oleh pakar Jantung, hal-hal khusus sakit puan oleh pakar sakit puan. Ada yang mengambil kepakaran sakit tulang, sakit kanak-kanak, sakit berkaitan darah dan sebagainya. Pendek kata bukan calang-calang orang sahaja yang mengambil bidang yang penting ini.
Ilmu Allah ini juga tidak tertakluk kepada lelaki mahupun wanita. Ianya bergantung kepada kecenderungan masing-masing dan minat yang mendalam dalam sesuatu disiplin ilmu spesifik itu.
Menjaga batas syariat
Tidak sihat seseorang itu boleh membawa kepada hidup tidak berkualiti. Kerja terganggu. Ibadah pun terbatas. Malah penyakit yang dialami boleh membawa maut jika tidak diurus dengan baik oleh perawat yang berkemahiran di dalam sesuatu bidang penyakit tersebut.
Namun disana timbul satu isu apabila kita sebagai seorang muslim, perlu menjaga batas syariat yang ditetapkan dalam agama seperti menjaga aurat sepanjang waktu. Aurat lelaki antara pusat dan lutut bagi masyarakat umum. Manakala aurat wanita adalah muka dan tapak tangan boleh didedahkan.
Batasan aurat ini boleh terangkat hukumnya jika berlaku darurat. Apa yang dimaksudkan darurat di sini sebagai contohnya jika wanita yang sudah sampai waktu bersalin, wajib hadir disisinya seorang pembantu yang mahir dalam selok belok kelahiran dan membantu proses berkaitan dengan kelahiran agar terjamin nyawa ibu dan anak.
Penjagaan batas aurat ini tidaklah termasuk dalam lima perkara penting tujuan diturunkan syariat (maqasid syar'iyyah); iaitu untuk menjaga agama, akal, nyawa, maruah dan harta.
Penggunaan hukum darurat bagi menjaga aurat semasa merawat ini tidak terpakai secara langsung. Cuma hukum darurat ini digunapakai secara tidak langsung apabila ketidakhadiran orang yang mahir (sama ada lelaki atau wanita) boleh mengakibatkan nyawa siibu atau sianak yang akan dilahirkan terancam.
Batasan hukum penjagaan aurat
Batasan hukum penjagaan aurat dalam bidang perubatan ini boleh diletakkan sebagai rukhsah. Rukhsah bermaksud keringanan yang dibenarkan syariat atas keadaan-keadaan tertentu.
Keringanan ini juga disebut sebagai 'takhfif' selain rukhsah. Ia adalah bentuk kemudahan yang diberikan oleh Islam bagi setiap hamba-Nya yang berada pada keadaan tertentu. Ibnu Nujaim menyebutkan bahwa rukhsah terdiri dari beberapa jenis:
Pertama: Menggugurkan (takhfif isqath), seperti pengguguran kewajiban solat Jumaat kepada orang yang sakit kronik.
Kedua: Mengurangkan (takhfif tanqish), seperti qasar solat empat rakaat menjadi dua ketika dalam keadaan musafir; dibolehkan solat sesuai dengan kemampuan bagi seseorang yang dalam keadaan sakit dan yang lainnya.
Ketiga: Menggantikan (takhfif ibdal). Misalnya mengganti wuduk air dengan tayamum menggunakan debu diakibatkan tidak adanya air yang digunakan untuk berwuduk.
Keempat: Mendahulukan (takhfif taqdim), seperti rukhsah jamak taqdim.
Kelima: Mengakhirkan (takhfif takhir). Ini termasuklah rukhsah jamak takhir, melewatkan solat Isyak dan lain-lain.
Keenam: Meringankan (takhfif tarkhish), seperti dibolehkan minum arak jika tercekik sesuatu apabila tiada minuman lain di sekelilingnya.
Ketujuh: Mengubah (takhfif taghyir). Misalnya perubahan bentuk perbuatan solat menjadi lebih ringan ketika terjadi peperangan. [Lihat Imam Musbikin, Qawa’id al-Fiqhiyah, Jakarta: PT. Raja Grafindo Persada, 2001]
Dalam konteks yang dibincangkan ini, kehadiran perawat untuk merawat pesakit diringankan hukum melihat auratnya kerana kemahiran yang ada bagi perawat dan kemaslahatan yang timbul atas pesakit.
Jika digabungkan jenis rukhsah, takhfif tarkhish akan diguna pakai. Dengan sendiri isu perawat lelaki tidak timbul. Kehadiran perawat yang berkemahiran amat dituntut demi menjaga kemashlahatan nyawa pesakit.
Jika tidak melibatkan nyawa sekalipun seperti dalam pemeriksaan biasa, sentuhan dari perawat amat penting bagi menjamin kesinambungan penjagaan kesihatan yang berterusan. Lebih-lebih lagi perawat itu adalah lelaki yang lebih berkemahiran. Kerana aurat kemaluan wanita bukan sahaja lelaki ajnabi yang haram melihatnya, wanita pun haram melihatnya tanpa sebab yang khusus seperti berubat.
Namun dari satu sudut yang lain sifat dan naluri seorang manusia tidak boleh lari dari malu mendedahkan anggota sulit mereka kepada sesiapa sahaja. Disinilah perlunya satu etika khusus dalam berubat dan merawat. Iaitu tidak sewenangnya mengambil ruang rukhsah tersebut dalam mangambil kesempatan melihat aurat diluar dari batas yang sepatutnya.
Dr Suhazeli Abdullah ialah Pakar Perubatan Keluarga
Tiada ulasan:
Catat Ulasan