1. Perjuangan kita bukan agenda peribadi sebagaimana perjuangan bukan sebuah perjudian yang mempertaruhkan kepentingan awam untuk menggapai cita-cita kelompok. Sebaliknya perjuangan kita ialah mengangkat agenda ummah dan memartabatkan Islam sebagai cara hidup yang berdaulat di atas tanahair tercinta ini.
2. Jangan gadai apatah lagi menjual prinsip perjuangan suci yang kita dukung hanya semata-mata kerana kilauan harta dan dana berbilion ringgit yang tersaji di hadapan kita, justeru nilai perjuangan berlandaskan Islam dalam memburu mardhatillah adalah suatu yang sangat tinggi nilainya tanpa mampu ditukar dengan wang ringgit.
3. Perjuangan yang kita dukung ini tidak terhenti sekadar memburu kuasa dan harta tetapi jauh lebih besar dan tinggi nilai daripada segalanya iaitu mendaulatkan Islam lalu mentadbir urusan hidup ini sama ada sosial, ekonomi mahupun politik berdasarkan Islam. Apakah hasrat mendaulatkan Islam ini telah mula luntur dari jiwa kita atau kita telah mula terasa penat dan jemu merentasi jauhnya perjalanan dan panjangnya masa?
Lupakah kita kepada Firman Allah swt:
لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَّاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِن بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ وَسَيَحْلِفُونَ بِاللَّهِ لَوِ اسْتَطَعْنَا لَخَرَجْنَا مَعَكُمْ يُهْلِكُونَ أَنفُسَهُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ إِنَّهُمْ لَكَاذِبُونَ
Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu faedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. Dan mereka akan bersumpah dengan nama Allah dengan berkata: "Kalau kami sanggup, tentulah kami akan pergi bersama kamu". (Dengan sumpah dusta itu) mereka membinasakan diri mereka sendiri, sedang Allah mengetahui bahawa sesungguhnya mereka itu orang-orang yang berdusta (tentang tidak sanggupnya mengikutmu). (Surah At Taubah: 42)
4. Sejarah menunjukkan bahawa salah satu usaha licik musuh untuk mematikan gerak langkah dan setidak-tidaknya memperlahankan rentak perjuangan Islam ini ialah dengan menyajikan pelbagai rupa tawaran yang mempesonakan berupa material tetapi Nabi saw telah mendidik kita supaya menolaknya agar kita tidak menjadi pak turut mereka. Telah dirakamkan kisah sebagaimana yang dinukil dalam sirah Ibnu Hisyam bahawa Utbah bin Rabia'h mewakili Quraisy menemui Rasulullah saw dengan membawa tawaran istemewa kepada Nabi s.a w:
: يا ابن أخي ، إن كنت إنما تريد بما جئت به من هذا الأمر مالا جمعنا لك من أموالنا حتى تكون أكثرنا مالا ، وإن كنت تريد به شرفا سودناك علينا ، حتى لا نقطع أمرا دونك ، وإن كنت تريد به ملكا ملكناك علينا ؛
maksudnya: "wahai anak saudaraku ! jika sekiranya perjuangan yang engkau bawa ini adalah kerana mahukan harta nescaya kami sedia mengumpulkan harta kami sehingga engkau menjadi tokoh yang paling kaya di kalangan kami. Jika sekiranya perjuangan yang engkau bawa ini adalah kerana mahukan kemuliaan nescaya kami sedia melantik engkau menjadi pemimpin kami sehingga kami tidak akan memutuskan apa jua keputusan tanpamu. Jika sekiranya perjuangan yang engkau bawa ini adalah kerana engkau mahu menjadi raja, nescaya kami akan menabalkan engkau sebagai raja kami".
5. Semua tawaran itu ditolak oleh Nabi s.a.w. Bukankah semua tawaran itu bakal menjadi jambatan "road to Makkah and Madinah"? Kenapa Nabi saw tidak menerimanya? Apakah tahap perkiraan dan percaturan Nabi s.a.w. telalu dangkal dan rendah? Ya ... tiada siapa yang berani membuat tanggapan begitu kepada Nabi s.a.w. kerana Nabi s.a.w. adalah pengasas perjuangan ini. Nabi adalah pemimpin yang "fatanah" (bijaksana). Nabi s.a.w. tidak membuat percaturan untuk kepentingan diri tetapi mengangkat agenda perjuangan yang lebih besar iaitu Islam dan ummatnya.
6. Ingatlah teman! Erti perjuangan bukan pada harta, pengaruh dan kedudukan, sebaliknya erti perjuangan pada pengorbanan mendepani cabaran lalu menjulang agenda Islam dan ummah. Berjuanglah mencari redha Allah swt tanpa henti, sehinggalah Islam tegak berdaulat di atas tanah air kita atau kita mati kerananya. Awas! jangan tergoda dek pesona material dan pangkat. Terus bangkit dan mara memangkas dan memenggal penyelewengan, penipuan dan kebatilan.
Selamat Berjuang.
(*) Penulis ialah Timbalan Pengerusi 1 Lajnah Dakwah PAS Pusat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan