Rabu, 26 Februari 2014

Tanah Kubur Pengerang: NGO sedia berunding, kenapa hantar polis?


Kubur Cina - Pengerang

KULAIJAYA: Rakyat negeri Johor kesal dengan tindakan kerajaan negeri memperalatkan polis untuk membantu kontraktor yang diupah untuk membuat bancian kubur Cina sebelum kerja pemindahan dilakukan.

Bercakap pada sidang media, Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong mempertikai mengapa PDRM digunakan untuk kerja seperti itu memandangkan tugas PDRM sepatutnya lebih tertumpu kepada usaha memerangi jenayah, bukan bekerjasama dengan kontrakor untuk kerja sedemikian.

Soal keselamatan pihak kontraktor tidak timbul sama sekali memandangkan penduduk dan waris perkuburan Cina Sungai Kapal bukan mereka yang mengancam keselamatan pihak terbabit.

Pada 24 Februari lalu, satu pasukan polis kira-kira 100 orang anggota dihantar ke kawasan tanah perkuburan Cina di Sungai Kapal dipercayai bagi membantu kerja bancian kubur oleh sebuah syarikat kontraktor.

Kerja terbabit dipercayai berkaitan dengan proses pemindahan kubur berkenaan ke satu kawasan penempatan baru.

Menurut Naib Pengerusi gabungan NGO Pengerang, Chua Peng Sian atau lebih mesra dipanggil Ah Chai, waris tanah kubur di situ marah dan kecewa dengan kejadian itu.

Ketika diminta menjelaskan isu terbabit, beliau memberitahu bahawa tiada seorang pun pegawai polis terbabit menjelaskan mengapa mereka di situ dan membuat sekatan di tiga laluan masuk ke tanah perkuburan itu.

“Mereka tak maklumkan apa-apa, bila kami tanya, pegawai terbabit hanya menjawab ini arahan pihak atasan, mereka hanya jalankan tugas,” ujar Ah Chai.

Menurut Ah Chai yang sama-sama memperjuangkan nasib penduduk Pengerang sejak tiga tahun lalu, penduduk sudah dimaklumkan bahawa Menteri Besar sudah menetapkan tindakan lanjut hanya boleh dibuat selepas upacara sembahyang kubur (Chin Ming) pada 5 April ini.

Namun penduduk mendapati janji MB ini tidak dipatuhi kontraktor terbabit lantas mendatangkan kemarahan waris kubur.

“Kami dan waris tanah perkuburan di sini sudah capai kata sepakat yang kami sedia berunding dengan pihak kerajaan dan kontraktor, tetapi mengapa mereka bertindak demikian? Kami dah sedia nak berunding, mengapa susah sangat nak jumpa kami?” kata beliau merujuk kepada kerajaan negeri.

Menurut Gabungan NGO Pengerang lagi, kontraktor pernah memaklumkan kepada pihak waris bahawa semua proses kerja ini mendapat arahan Pegawai Daerah Kota Tinggi.

“Kami keliru kerana kerajaan negeri sudah arahkan agar hal ini ditangguh, tetapi pihak DO buat kerja lain dan tak sama dengan janji MB,” jelas Ah Chai lagi.

Wakil DAP yang berada di Pengerang bersama penduduk iaitu Tan Hong Pin turut kesal dengan kejadian itu.

“Ini tak sepatutnya berlaku di bawah pentadbiran Menteri Besar baru, Datuk Seri Khaled Nordin. Beliau patut lebih memahami situasi berbanding Menteri Besar sebelumnya,” kata beliau. – Roketkini.com

Tiada ulasan: