Khamis, 27 Februari 2014

Krisis air: ADUN DAP Balakong kecam tindakan menteri lepas tangan


eddie



SERDANG: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Balakong, Ng Tien Chee kesal dengan tindakan pemimpin kerajaan yang langsung tidak memberi sebarang respon berhubung krisis air di Balakong.

Beliau berkata, amalan lepas tangan itu bukan saja mengabaikan kepentingan awam malah dianggap tindakan yang sangat tidak bertanggungjawab.

“Penduduk mengakui dan berterima kasih dengan bantuan tiga lori Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein. Tapi yang menjadi persoalannya mengapa ia lambat disalurkan?

“Seperkara lagi yang turut mengecewakan adalah tidak ada respon langsung daripada menteri berkaitan iaitu Datuk Dr Maximus Ongkili sejak mula berlakunya krisis hingga sekarang.

“Ini amat mendukacitakan kerana sebagai Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air beliau seharus segera mengemukakan pelan tindakan, bantuan dan sebagainya, agar masalah penduduk dapat diselesaikan bukannya berdiam diri,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor.

Menurut Tien Chee, krisis air bermula pada 28 Januari lalu, namun ketika itu kebanyakkan penduduk tidak berada di Balakong kerana pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Tahun Baru Cina.

Krisis itu menjadi kecoh pada 4 Februari, berikutan itu Tien Chee bersama anggota DAP Balakong dengan segera menubuhkan Unit Tindakan Khas (UTK) Krisis Air untuk menyalurkan bantuan di segenap pelusuk kawasan terjejas.

Pada 12 Februari lalu, beliau bersama Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming juga mengambil langkah pantas dengan segera bersemuka Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong untuk mengenal pasti masalah gangguan air itu.

Berdasarkan jawapan yang diterima, ia berpunca daripada cuaca panas dan kering yang luar biasa di sekitar kawasan tadahan air Sungai Langat beberapa minggu lalu hingga menyebabkan paras air turun.

“Penurunan paras air sungai mengakibatkan kadar pencairan (dilution) berkurangan di dalam sungai dan meningkat kadar kepekatan ammonia.

“Disebabkan kenaikan paras ammonia, loji pemprosesan air LPA Batu 11 Cheras dan LPA Bukit Tampoi terpaksa menghentikan operasi sementara waktu demi merawat bekalan air,” ujarnya memetik jawapan yang diterima.

Beliau turut menyambut baik langkah proaktif Kerajaan Negeri Selangor yang mengurangkan pelepasan air mentah ke beberapa kawasan termasuk Balakong bagi menangani masalah gangguan itu.

Tambahnya, pasukan UTK Krisis Air DAP Balakong akan menghentikan pengagihan bantuan air berikutan program pencatuan bermula hari ini.

“Selangor telah memulakan program pencatuan di Balakong, ia dijalankan mengikut jadual dan semua pemegang meter akan menerima air selama dua hari dan menghadapi masalah gangguan bekalan dua hari mengikut zon.

“Saya berharap semua penduduk berjimat cermat semasa menggunakan air dan berganding bahu dengan mereka yang tinggal di kawasan gangguan bekalan.

“Ini merupakan langkah penyelesaian jangka pendek dan pihak kerajaan negeri masih berusaha mencari jalan membasminya bersama pihak berwajib,” katanya. -Roketkini.com

Tiada ulasan: