300,000 rakyat Kelantan hidap diabetes Dr Ahmad Razin (kiri) ketika melawat gerai yang menyertai Pasaria tersebut.


KOTA BHARU - Kira-kira 300,000 penduduk di negeri ini termasuk kanak-kanak dikesan menghidap diabetes dan angka itu terus meningkat setiap tahun berikutan kegagalan mengamalkan gaya pemakanan sihat.

Pengarah Kesihatan Kelantan, Datuk Dr Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata, tahap kesihatan awam di negeri ini membimbangkan dan orang ramai disarankan mengurangkan gula dalam menu makanan harian, selain mengamalkan senaman.

Menurutnya, Kelantan berada di tangga keempat selepas Kedah, Perlis dan Negeri Sembilan dalam statistik penghidap diabetes seluruh negara.

“Jumlah semakin meningkat ini amat membimbangkan kerana bukan saja melibatkan warga emas dan dewasa, malah juga kanak-kanak.

“Ia tidak menghairankan kerana penduduk negeri ini sinonim dan sangat gemarkan makanan serta kuih muih manis. Tabiat ini perlu dielak supaya pesakit diabetes tidak terus meningkat,” katanya kepada media  selepas Program Larian Sihat Jambatan Kedua Sultan Yahya Petra di pekarangan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), di sini, semalam.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Perubatan Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Che Wil Awang dan Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Mohd Hassan.

Sementara itu, program tersebut melibatkan 2,000 kakitangan Jabatan Kesihatan negeri, dengan aktiviti kayuhan basikal dan larian sejauh 30 kilometer, bermula di stesen bas Langgar.

Ahmad Razin berkata, program itu bertujuan melahirkan masyarakat sihat, cergas dan berkualiti, selain menggalakkan senaman paling mudah dan efisien menerusi larian secara berkumpulan.

“Senaman paling mudah ialah larian, malah ia juga membuatkan individu lebih sihat dan tidak mudah dijangkiti penyakit kronik seperti darah tinggi, obesiti, kencing manis serta jantung.

“Jabatan Kesihatan Negeri akan bekerjasama dengan semua agensi termasuk Tourism Malaysia Kelantan dan Jabatan Penerangan Pelancongan Negeri Kelantan (TIC) supaya aktiviti ini dijadikan acara wajib tahunan,” katanya.