Muhyiddin Yassin  
 
Muhyiddin Yassin


PAGOH - Pemilihan Naib Presiden MCA Datin Paduka Chew Mei Fun sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Kajang menjadi pengukur kepada penerimaan rakyat terhadap kepimpinan baharu parti itu.

Berikutan itu, Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata peluang bertanding itu tidak harus dipersia-siakan meskipun ada pihak mencadangkan BN supaya tidak bertanding pada pilihan raya kecil Dun Kajang 23 Mac ini.

"Kalau tidak ada kesempatan ini diambil, maka lebih sukar untuk mengukur sejauh mana penerimaan masyarakat Cina ataupun rakyat terhadap kepimpinan baharu (MCA).

"Apapun keputusan itu nanti, akan dijadikan satu gambaran di mana mereka (MCA) berada, dan langkah-langkah pemulihan yang boleh diambil dan asas-asas perjuangan yang hendak diperjuangkan untuk masyarakat Cina mungkin dapat disampaikan pada pilihan raya seperti ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) di kawasan Parlimen Pagoh di sini, hari ini. - Bernama