KEADILAN DAILY
Isnin 24 Februari 2014 merupakan tarikh bersejarah bagi Pakatan Rakyat Johor dengan kehadiran ketiga tiga pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat ke Kulai. Sesungguhnya kehadiran YB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, YB Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan YB Tuan Lim Kit Siang bertemu dengan kepimpinan Pakatan Rakyat Johor dan bertemu rakyat pada sambutan Tahun Baru Cina Pakatan Rakyat Johor memberikan sinar baru kepada perjuangan rakyat.
Dalam pertemuan tertutup yang diadakan hari ini para pimpinan tertinggi sebulat suara bersetuju bahawa perubahan politik di Johor mampu menjadi penentu kepada landskap politik tanah air.
Untuk itu, Pakatan Rakyat Johor akan menyusun strategi bersama sebagai suatu entiti dalam memastikan keyakinan yang telah diberikan oleh rakyat selama ini dapat dimaksimakan kepada perubahan di peringkat nasional.
Sebagai simbolik kesediaan kami, Johor dengan ini menawarkan diri untuk menjadi tuan rumah Konvensyen Pakatan Rakyat peringkat Kebangsaan pada 2015. Kami percaya Konvesyen tersebut bakal menyemarakkan lagi semangat para aktivis dan rakyat untuk merealisasikan impian bersama.
Para pimpinan hari ini telah memberikan arahan dan penekanan mengenai keperluan aktivis negeri di pelbagai peringkat bersatu hati dalam menjalankan aktiviti dan perkhidmatan kepada rakyat. Pakatan Rakyat sangat terharu dengan kepercayaan dan dokongan yang telah diberikan oleh rakyat Johor dan berjanji untuk memberikan khidmat terbaik kepada rakyat.
Sambutan yang telah diberikan rakyat dalam segala aktiviti kami memberikan keyakinan baru kepada kami bahawa Johor kini tidak boleh lagi dianggap deposit tetap kepada Barisan Nasional dan Umno. Kami yakin Johor mampu menjadi pemangkin kepada Malaysia yang lebih baik.
Sidang Media Pakatan Rakyat Johor
Pesuruhjaya PAS Johor YB Aminulhuda Hassan
Pengerusi DAP Johor YB Liew Chin Tong
Timbalan Setiausaha Agung KEADILAN Steven Choong
Tiada ulasan:
Catat Ulasan