Ahad, 23 Februari 2014

BR1M tak selesai masalah, bukti rakyat Malaysia susah

Azuan Ab Rahman


KUALA LUMPUR : Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat tidak dapat menyelesaikan masalah peningkatan kos hidup yang terpaksa ditanggung rakyat berpendapatan pertengahan dan rendah.

yahya-sahriPengerusi Biro Kepenggunaan KEADILAN, Yahya Sahri berkata, bantuan tersebut sekadar mengelabui mata rakyat supaya tidak begitu terasa dengan kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

” Dengan jumlah bantuan yang tidak seberapa itu, ia tidak boleh bertahan lama, sedangkan setiap hari rakyat perlu berhadapan dengan harga barangan yang meningkat,” jelasnya.

Menurutnya, pemberian BR1M yang bersifat one-off itu hanya membuktikan ketidaksungguhan kerajaan dalam membantu rakyat dari terus dibebani tekanan ekonomi.

“BR1M ini cuma tahan seminggu, ia tidak selesaikan apa-apa. Bila habis wang itu, maka rakyat sekali lagi akan berhadapan dengan tekanan, kerajaan tidak serius mahu bantu.

“Malah kita lihat bukan sedikit yang memohon, ini buktikan kerajaan Umno dan Barisan Nasional telah gagal tingkatkan ekonomi dan taraf hidup rakyat seperti yang mereka laungkan,” tegas Yahya.

Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah pada 15 Februari lalu mengumumkan seramai 7.9 juta rakyat Malaysia menerima bantuan BR1M yang dimasukkan menerusi akaun bank dan baucer.

Pemberian BR1M 2014 kepada isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah dinaikkan daripada RM500 kepada RM650. Manakala  individu bujang berumur 21 tahun dan ke atas berpendapatan tidak lebih RM2,000 sebulan, dinaikkan daripada RM250 kepada RM300.

Bagaimanapun, skim bantuan berkenaan dilihat tidak membantu golongan pertengahan dan berpendapatan sederhana yang turut merasai beban kenaikan harga.

Tiada ulasan: