Ahad, 14 April 2013

Tok Mun tetap tanding

Wartawan Sinar Harian

Tok Mun tetap tanding
Tok Mun melihat akhbar Sinar Harian yang melaporkan tentang dirinya yang mengunjungi SPR.
 
KUALA TERENGGANU – Calon bebas yang luar biasa dan menarik perhatian seluruh rakyat Malaysia, Maimun Yusuf, 94, atau lebih dikenali sebagai Tok Mun, tidak yakin akan mendapat lebih daripada 685 undi sekiranya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

“Walaupun tok dapat undian sebanyak 685 undi (pada PRU12) sebelum ini, belum tentu (pada PRU13) tok dapat undi (sebanyak itu) kali ini. Ramai orang ‘dacing’ dan juga (orang) Pas, penuh (orang ‘dacing’ dan Pas) di keliling rumah tok ini.

“Bukan dekat sini sahaja tapi semua tempat ada orang ‘dacing’ dan Pas, macam mana tok hendak menang. Tapi tok akan tetap bertanding pada pilihan raya ini,” katanya kepada Sinar Harian di kediamannya di Kampung Gong Gemia, di sini.

Malah, Maimun yang dijangka bertanding bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu sebagai calon bebas pada PRU13 masih menghadapi masalah mencari penyokong dan pencadang untuk melayakkan dirinya menjadi calon PRU13.

Ditanya mengenai modal untuk bertanding pada pilihan raya paling sengit dalam sejarah negara, Tok Mun berkata, dia tidak risau mengenai modal perlu dikeluarkan setiap calon kerana sudah ada pihak akan membantu.

“Duit, Insya-ALLAH tok boleh pinjam dengan saudara-mara, cuma belum bertemu lagi nama pencadang dan penyokong. Sebelum ini ada yang bersetuju tapi batalkan pula. Sekarang, tok sedang mencari siapa yang sanggup,” katanya.

Pada PRU12, Tok Mun menggunakan lambang kunci dan bertanding menentang Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail yang mewakili Barisan Nasional (BN) dan Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu.

Tok Mun pada PRU12 hanya mendapat 685 undi dan hilang wang pertaruhan.

Menurutnya, dia bertanding pada PRU12 atas dasar tanggungjawab untuk membela nasib rakyat seperti golongan miskin dan warga emas di Terengganu namun kali ini, sekiranya dia dipilih menjadi wakil rakyat, agenda utamanya adalah membanteras penyalahgunaan dadah.

“Ramai yang terlibat dengan dadah.  Muda, tua, lelaki dan perempuan semakin ramai yang terlibat dengan dadah.  Orang tua macam budak. Budak-budak ‘dok tahu kepala ekor’,” katanya yang turut menyalahkan pemimpin sedia ada kerana gagal menangani masalah itu.

Tok Mun juga berkata, kehadirannya pada PRU13 juga adalah untuk membela nasib orang Melayu yang dilihatnya sudah semakin jauh lari daripada perjuangan asal.

Bagi jiran terdekat, melihat kepada kesungguhan warga emas tersebut, ramai yang memuji namun tidak kurang juga yang melontarkan kejian, malah ada juga yang kasihan kerana beranggapan bahawa ada pihak tertentu sengaja mempergunakan Tok Mun.
Seorang penduduk yang mengenali Tok Mun namun enggan namanya didedahkan berkata, dia kesal jika Tok Mun bertanding disebabkan dipergunakan pihak berkepentingan.

“Saya puji semangat juang dan usaha gigih yang ditunjukkan oleh Tok Mun mencari rezeki. Dia seorang yang tidak duduk diam, dari pagi sampai ke petang dia akan keluar mencari rezeki. Bukan sahaja rajin tetapi dia juga seorang yang patriotik.

“Namun, saya risau melihat situasi sebegini berterusan apabila wartawan dan jurugambar terus mencarinya kerana nanti dia akan menaruh harapan tinggi, tetapi apa yang lebih mengecewakan saya sekiranya ada pihak yang sengaja mempergunakan Tok Mun,” katanya.

Tiada ulasan: