Ahad, 14 April 2013

MB Selangor: Pilihan 2008 tepat, yakin pengundi kekal PR

SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN dan NURULFATIHA MUAH

MB Selangor: Pilihan 2008 tepat, yakin pengundi kekal PR
Simpanan Kerajaan Negeri Selangor 2009 - 2012
 
Abdul Khalid Ibrahim
Berdasarkan tanda aras dan pencapaian 2008-2013 Khalid mahu mandat Pakatan Rakyat Selangor dikekalkan. - Foto Sinar Harian oleh Foto AZMI ARYANTO
 
KEUPAYAAN beliau mengendalikan negeri Selangor dengan membawa pembaharuan drastik memberikan air percuma 20 meter padu kepada rakyat di negeri ini adalah satu rekod besar dalam sejarah kepimpinan negara.

Nama Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tentunya akan terus menjadi sebutan kerana kebijaksanaannya mengemudi tampuk pemerintahan sehingga Selangor berjaya mengumbul rizab tunai lebih RM2 bilion dan menyumbang lebih RM50 bilion pendapatan

Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara dalam tempoh lima tahun lalu. Malah jika diberi peluang meneruskan kepimpinan kerajaan negeri Selangor, pemimpin ini berjanji akan memastikan lebih banyak hasil mahsul negeri akan dikongsi dengan rakyat. Ikuti temu bual bersama Khalid yang dikendalikan oleh SALMIAH DRUHAMAD DRAHSIN dan NURULFATIHA MUAH bersama juruvideo MUHAMAD FAUZI MOHAMED dan jurufoto, AZMI ARYANTO di pejabat beliau baru-baru ini.

SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana 'feeling' Tan Sri memandangkan pilihan raya sudah semakin dekat?

TAN SRI KHALID IBRAHIM: Persediaan untuk pilihan raya, bagi saya, saya ambil Pakatan Rakyat sebagai indikator. Persediaan pilihan raya kita sudah bermula pada pertengahan tahun 2012 lagi. Adakalanya gosip berkenaan pilihan raya ini bermula sejak bulan Disember 2011 dan jangkaannya sehingga 20 Disember itu, seolah-olah pilihan raya betul-betul hendak jadi.
Tapi sekaranglah ia betul-betul akan jadi iaitu pada bulan April tahun 2013.

Saya ingat persediaan itu sudah mula bermula berlaku. Pada saya, ada baiknya ada buruknya. Baiknya ialah memberi peluang kepada rakyat untuk mengetahui pilihan raya dan apa yang akan berlaku dalam pilihan raya.

Tetapi dari segi tak baiknya ialah beberapa keputusan penting terutama dalam pelaburan dan juga dalam perancangan yang memerlukan hasil jangka pertengahan dan jangka panjang ditunggu oleh kerana ada kesan jika keputusan pilihan raya itu menyebabkan berlakunya perubahan.

Jadi, itu menyebabkan beberapa keputusan tidak dibuat. Dari segi ini, ia tidak memberi kesan kepada kerancakan ekonomi.

Pengalaman yang bagus ialah tarikh pilihan raya itu ditentukan dengan lebih tepat dan tertentu.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah patut ada tempoh khas pilihan raya?

TAN SRI KHALID IBRAHIM: Belajar daripada pengalaman ini menunjukkan ada baiknya walaupun boleh diubah, ada baiknya ditetapkan dengan lebih awal supaya tidak ada keadaan tertentu, menjadi tanda tanya dan keadaan yang tidak menentu.

SINAR HARIAN ONLINE: Lebih awal, berapa tempoh masa itu? (masa pengumuman pilihan raya).

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Saya rasa umpamanya selepas tiga tahun setengah Parlimen bersidang dan kita boleh tentukan, kita kata pilihan raya boleh jadi dalam enam bulan atau tujuh bulan akan datang.

SINAR HARIAN ONLINE: Maksudnya kedua-dua parti patut bincang?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Ya, pembangkang mesti bersetuju.


SINAR HARIAN ONLINE: Sepanjang lima tahun jadi menteri besar, adakah Tan Sri puas hati dengan prestasi pentadbiran?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Saya ingat, ya.  Satu daripada perkara yang baik untuk PR dan PKR yang tidak mempunyai rekod dari segi pentadbiran negeri Selangor.

Jadi jika kita berbincang pada Disember 2007 dan Januari, Februari 2008, kita cakap kita akan bertanding untuk memerintah Selangor, tapi rakyat tak mempunyai idea bagaimana PR boleh mentadbir negeri Selangor. Kita tak punyai 'track record 'yang  boleh kita terangkan. Alhamdullilah saya rasa sekarang,  rakyat Selangor boleh menilai dalam masa lima tahun apakah dilakukan oleh kerajaan di bawah pentadbiran PR berbanding dengan kerajaan ditadbir Umno–BN. Kita boleh nampak dan tunjukkan perbezaan itu.

Saya berani menyatakan kita telah menunjukkan keupayaan pemerintahan dengan keadaan yang lebih baik, lebih ternyata daripada Umno-BN.

Ada tiga sebab mengapa kita rasa kita telah dapat menunjukkan perkara itu dan boleh diukur hasilnya. Satu ialah kita menerima konsep ketelusan. Maknanya keputusan yang dibuat, hasil keputusan yang dibuat itu dihebahkan. Jadi maknanya penjawat awam, masyarakat semuanya dapat maklumat tentang apa yang kita lakukan.

Berbanding dengan sebelum 2008, maklumat itu dianggap terlalu rahsia, ada kalanya sehingga dua tahun baru orang tahu keputusannya dibuat secara begitu dan ada kalanya tak tahu.

Jadi dengan cara ketelusan itu, ini bererti pentadbir dan juga mereka yang bekerja dengan pentadbir, (penjawat awam) akan lebih sensitif tentang keputusan-keputusan yang dibuat kerana mereka akan dipersoalkan jika keputusan itu tidak munasabah dan tidak memihak kepada negeri atau rakyat.

Kedua kita menerima konsep akauntabiliti (kebertanggungjawaban). Jadi menteri besar tak boleh nak katakan bukan dia yang buat keputusan, tapi penjawat awam yang buat keputusan, tak boleh.

Untuk meyakinkan bahawa akauntabiliti itu diterima, proses dan prosedurnya mesti betul. Maknanya ada rekod mengapa keputusan dibuat begini, siapa yang mencadangkan? Jadi maknanya, apa yang saya dapati sebelum 2008, beberapa keputusan macam pembelian dan sebagainya dibuat hanya dengan cara menteri besar setuju... 'sila beli'.

Saya tak menerima perkara begitu, maknanya kenapa kita beli? Apa sebab kita beli? Berapa banyak yang kita beli? Mesti kita mesti rekodkan sebelum kita buat keputusan tersebut. Maksudnya kita ada rasa kebertanggungjawaban.

Ketiga, kita menerima hakikat bahawa pentadbiran yang baik, sentiasa memperbaiki cara kerja mereka, untuk memperbaiki dan meningkatkan kecekapan, kita mesti sentiasa memperbaiki cara tersebut. Itu sebab dalam pentadbiran tanah, kita terima hakikat bahawa pengalaman Information Computer Technology (ICT) mesti menerajui penambahbaikan kita dalam pentadbiran tanah.

Maknanya kita mesti menerima, kita bergerak daripada menyimpan fail kepada sistem menyimpan dalam pangkalan data. Kalau dalam bilik ini penuh dengan fail, ia akan diganti dengan kita ambil data dalam fail, masukkan dalam pangkalan data supaya akses lebih cepat dan tepat, jadi tak ada masalah fail hilang, tidak tahu di mana fail, rekod tak jelas, semuanya kita lakukan.

Kalau kita buat begitu, persoalan-persoalan mengenai pentadbiran dapat diperbetulkan melalui tiga konsep ini. Saya rasa itu sebabnya kita dalam keadaan yang boleh bersaing dari segi hasilnya dengan kerajaan di bawah pentadbiran Umno–BN di Selangor.

SINAR HARIAN ONLINE: Tan Sri ada 'report card' di Selangor. Boleh kongsikan dengan kita dan pembaca?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Kita keluarkan satu maklumat tentang apa yang telah kita lakukan dalam masa lima tahun. Maklumat daripada sumbangan kita kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), prestasi makro ekonomi, pelaburan yang dilakukan dalam negeri Selangor untuk lima tahun iaitu melebihi RM50 bilion, satu jumlah terbesar, berbanding dengan negeri lain.

Dalam masa lima tahun, Selangor mempunyai pelaburan domestik dan juga luar negara melebihi RM50 bilion berbanding dengan negeri lain umpamanya negeri kedua terbesar ialah Sarawak iaitu hampir RM42 bilion, RM8 bilion Selangor lebih dari segi jumlahnya.

Kita juga telah tunjukkan bagaimana pengurusan simpanan negeri. Salah satu indikator untuk menunjukkan sama ada negeri ini dapat mengurus kewangan dengan lebih baik ialah bagaimana dia dari segi pendapatan dan juga perbelajaan dan hasil. Walaupun pendapatan meningkat, perbelanjaan juga meningkat. Tetapi ia juga mesti meningkatkan simpanan negeri, jadi kita telah menunjukkan sejak 2009, daripada RM1.3 bilion kita punya rizab sekarang sudah meningkat sehingga hampir RM2.7 bilion. Ini semua menunjukkan kita tidak mengurangkan perbelanjaan. Kita juga memperhebatkan pendapatan hasil dan dengan cara itu, apa yang boleh kita katakan, pentadbiran kewangan negeri itu membesar, jadi kita telah tunjukkan bagaimana perbelanjaan itu dapat dilakukan.

Dan dari segi perbelanjaan untuk kebajikan, dalam lima tahun, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM700 juta berbanding saya cuba tengok dalam lima tahun daripada 2004 sampai 2007, 2008 yang sebelumnya, jumlah yang diagihkan dalam bentuk kebajikan kepada rakyat tidak lebih daripada RM250 juta.

Jadi bila kita bandingkan kita belanja banyak, simpanan kita pun banyak. Jadi maknanya dua-dua indikator kita itu menunjukkan kita lebih baik dari lima tahun sebelum ini... 10 tahun sebelum ini, ekonomi itu masih lagi tidak besar. Jadi bererti pemilihan rakyat untuk PR betul. Maknanya mereka mahu peningkatan pengurusan sumber negeri dan peningkatan dalam cara negeri itu dikendalikan, mereka dapat indikator-indikator yang ada sekarang ini. Jadi kita sudah memperkenalkan garis asas, jadi sesiapa yang akan datang mereka kena melepasinya.  Dulu tak ada. Dulu tiada, dulu bila saya masuk, saya tak ada angka-angka itu.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi itu satu penanda aras?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Ya, ia satu penanda aras. Kita sudah meletakkan penanda aras.

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah Tan Sri akan bersandarkan kepada 'report card' ini untuk kembali dapatkan mandat rakyat?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Oh ya... saya nak tunjukkan bahawa keputusan rakyat adalah betul.

Maknanya keputusan rakyat untuk mengubah kerajaan daripada Umno-BN kepada PKR, Pas dan DAP dan kemudiannya digabungkan jadi Pakatan rakyat keputusan yang betul, akhirnya rakyat mendapat manfaat yang lebih baik daripada keadaan sebelum ini. Kita juga akan merangka satu manifesto yang menunjukkan bahawa kecemerlangan ini mesti diteruskan, bukan kita pergi kepada rakyat, berdasarkan kepada rekod prestasi lima tahun, tapi kita kata, kita mesti teruskan kerana kecemerlangan adalah satu perjalanan, bukan satu destinasi.

SINAR HARIAN ONLINE: Jadi manifesto berasingan daripada manifesto PR pusat?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Yang dibentangkan Pakatan pusat adalah 'umbrella manifesto', tapi Selangor, kita mesti ada manifesto sendiri sebab kita sudah ada rekod prestasi.

SINAR HARIAN ONLINE:  Apa penekanan dalam manifesto yang akan dibentangkan ini?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Menunjukkan bahawa kita mesti memperincikan lagi kita punya pengurusan sumber. Maknanya dari segi kuasa utama kepada aset hartanah kepada usaha-usaha kebajikan, peningkatan pendidikan dan cara-cara pentadbiran yang telus dan juga mengutamakan tadbir urus korporat. Semua itu akan kita masukkan ke dalam manifesto. Dilancarkan tiga hari sebelum penamaan calon.

SINAR HARIAN ONLINE: Memandangkan di Selangor Tan Sri perkenalkan pemberian air percuma kepada rakyat, seolah-olah sudah jadi 'trademark' kepada Tan Sri. Selepas PRU13, jika Tan Sri diberi peluang sekali lagi memegang pemerintahan di Selangor,  bagaimana ia diuruskan? Isu Langat 2, adakah ia akan diteruskan?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Satu perkara yang jelas ialah dalam manifesto kita untuk PRU13, kita nak terjemahkan konsep bagaimana harta negeri dimiliki oleh rakyat.

Konsep pemberian air percuma 20 meter padu iaitu konsep supaya sumber negeri itu dapat diurus dengan baik supaya rakyat mendapat manfaat daripadanya, tapi kita nak terjemahkan bukan sahaja sumber itu mesti diurus dengan baik, tapi rakyat juga boleh memiliki sumber itu. Maknanya, katalah kita jalankan operasi air, syarikat yang menjalankan operasi air itu akan kenakan tarif kepada penggunanya.

Penggunaannya ialah rakyat Selangor, tapi kita boleh terjemahkan dalam bentuk mereka yang menggunakan dan membayar tarif air ini juga menjadi pemilik saham operasi tersebut. Jadi, kita akan menterjemahkan satu konsep iaitu saham air untuk rakyat Selangor. Ini satu konsep yang menyatakan rakyat tahu kalau syarikat itu mendapat untung lebih pun, untung itu diberi kepada rakyat. Kalau syarikat itu rugi, rakyat juga yang akan rugi.

Jadi maksudnya ada elemen semak dan imbang antara pentadbiran. Ini adalah satu jawapan yang lebih baik untuk mengatasi keadaan monopoli sebab air ini ialah monopoli (operasi air). Kita tak boleh pecah-pecahkan, kita urus sahaja. Jadi kalau monopoli ini biasanya dalam konsep ini, orang yang dapat kuasa monopoli ini akan menggunakan kuasa itu untuk mendapat keuntungan yang lebih sebab orang terpaksa kerana perlukan sumber ini.

Apa kita lakukan? Kita kata monopoli ini tak boleh disalahgunakan, kalau tak boleh salah guna, ia boleh diterjemahkan macam ia dimiliki oleh rakyat.

Maknanya kalau monopoli itu mengenakan harga tinggi kepada rakyat, rakyat akan beban. Tapi harga yang tinggi itu dilihat dari segi keuntungan dan keuntungan itu boleh disalurkan balik kepada rakyat. Kita ada keadaan keseimbangan dalam keadaan tersebut.

Air percuma diteruskan

SINAR HARIAN ONLINE: Adakah pemberian air percuma ini akan diteruskan.
TAN SRI KHALID IBRAHIM: Air percuma 20 meter padu akan diteruskan sebab itu adalah konsep asas. Kita terima konsep asas seperti kita terima pendidikan percuma, itu asas. Kita katakan kesihatan untuk semua dan pada saya, air ialah perkara asas dan kita tak boleh memberinya semua (percuma), tetapi 20 meter padu itu cukup untuk keluarga hidup dalam jumlah air yang disalurkan.

SINAR HARIAN ONLINE: Tak ada cadangan untuk tambah?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Tidak, sebab kita tak hendak pembaziran berlaku... sebab kita nak bahagikan sama rata untuk rakyat, tapi boleh jadi orang kaya, dia ada kolam renang. Jadi kalau air percuma sudah tentulah dia dapat lebih manfaat.

Tujuan kita mereka yang guna kolam renang, lebih banyak guna air daripada yang asas mereka terpaksa membayar lebih kepada penggunaan air tersebut dan boleh dimasukkan ke dalam keuntungan yang diagihkan sama rata kpd rakyat.

Kita ada mekanisme untuk mengimbangi. Langat 2 merupakan sebahagian daripada konsep ini. Sebab itu, saya beritahu kepada kerajaan persekutuan, Langat 2 tidak sepenting penyusunan semula industri air. Bila rakyat dapat semula industri air ini, Langat 2 ialah operasi saja, tak semestinya kita hanya bergantung kepada Langat 2.

SINAR HARIAN ONLINE: Jika kerajaan negeri dan Syabas tak mahu bekerjasama dalam isu Langat 2 ini, projek Langat 2 akan jadi projek gajah putih terbesar kerana terowong sudah dibuat?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Tidak... satu daripada kelemahan, itu sebab saya beritahu daripada awal tadi.  Satu daripada kelemahan dalam pentadbiran Umno-BN, mereka tak telus daripada segi keputusan. Keputusan untuk menebuk gunung itu tak telus.

Kenapa ia ditebuk? Kenapa dia tak cari opsyen-opsyen lain? Oleh sebab itu keputusan mereka  itu keputusan buat dulu, baru bincang. Tapi pada saya, ini kita dapat selsesaikan apabila penyusunan semula industri air dilakukan dan kita masukkan nilai itu ke dalam pengiraan nilai operasi. Nilai itu dan rakyat akan tahu berapa kos yang akan dibayar. Jadi ia akan jadi lebih telus, tak boleh lagi sorok-sorok. Kerajaan persekutuan takut ia jadi gajah putih. Boleh jadi dulunya dia sepatutnya sudah kira awal, kenapa buat belum apa-apa lagi dibuat? Jadi ia kena fikirkan dulu. Bererti ini satu pengajaran yang sangat baik untuk pentadbiran-pentadbiran yang akan datang.

 Sebab rakyat perlu kekalkan PR

SINAR HARIAN ONLINE: Pandangan Tan Sri kenapa rakyat mesti mengekalkan pemerintahan Pakatan Rakyat?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Sebab reformasi yang kita lakukan ini memberi perubahan kepada rakyat. Bayangkan kalau tak ada reformasi perubahan ini, adakah rakyat boleh dapat BR1M dan BR1M 2.0? Bayangkan reformasi yang dibawa oleh Pakatan Rakyat, adakah sekolah-sekolah agama rakyat diambil kira dalam perbelanjaan kerajaan?

Jawapannya sebelum ini, tak ada. Adakah sekolah Cina dianggap satu sekolah yang perlu diberikan pertolongan secara berterusan? Tak ada. Adakah sekolah Tamil dianggap satu usaha untuk membangunkan pendidikan rakyat semua bangsa dan kaum? Sebelum ini tak ada, sekarang oleh sebab reformasi ini, nampak manifesto BN juga mengadakan reformasi sendiri.

Reformasi di bawah (bekas Perdana Menteri, Tun Dr) Mahathir (Mohamad) mengamalkan konsep kapitalis, maknanya dari segi era kita dari segi membangunkan ekonomi, siapa yang berjaya, siapa yang tak berjaya, tak berjaya. Siapa yang berjaya akan membelanjakan duit dan hasilnya akan dirasai oleh rakyat keseluruhannya. Ini adalah kesan pertumbuhan ekonomi sekelip mata.

Konsep itu kita rasa kita tak dapat menerimanya kerana rakyat tertungu-tunggu begitu lama untuk dapatkannya. Malahan tadi orang yang menjalankan konsep ini ialah yang cuba difahami ialah Margaret Thatcher, tapi dia sudah meninggal semalam (8 Arpil). Dia adakan konsep 'free enterprise' dan meruntuhkan semua sistem kebajikan yang tak diperlukan. Ada baik dan buruknya.

Hasilnya terdapat satu jurang yang ketara berlaku di antara masyarakat di Britain. Maknanya yang miskin menghadapi masalah besar, yang kaya itu menguasai harta yang besar. Ada baik dan buruknya.
Jadi dengan adanya PR ini, kita seimbangkan keadaan tersebut, jadi pemikiran untuk mementingkan rakyat dan mempedulikan rakyat lebih rapat kepada PR berbanding dengan cara yang dibuat Umno dan BN 50 tahun yang lepas.

SINAR HARIAN ONLINE: Pada 2008, PR tiga parti dikatakan menang dengan ikut nasib. Tapi kali ini PRU paling mencabar, Tan Sri setuju tak?

TAN SRI KHALID IBRAHIM: Saya boleh setuju, tapi kalau nasib kita baik, kita dapat Putrajaya. (Sambil ketawa berseloroh). Itulah yang dikatakan nasib, apa yang saya ingin nyatakan, rakyat lebih kenal kita. Sebelum 2008, pasukan Pakatan Rakyat tidak dikenali oleh rakyat secara keseluruhannya dan kerjasama pasukan tidak ada di sana.

Sekarang ia ada, sudah tentulah Umno dan BN mesti memperkemaskan jenteranya untuk bertanding. Jadi, saya rasa itu sudah satu perkara yang sudah tak perlu diperbangkitkan kerana siapa nak menang mesti mendapat penerimaan rakyat.

SINAR HARIAN ONLINE: Keyakinan Tan Sri untuk menang?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
  Saya yakin daripada 2008 sebab pada 2008, PKR, saya, Setiausaha Agung PKR pada masa tersebut, hanya satu kerusi saja. Pada 2004, kita tinggal satu kerusi sahaja, masa saya bertanding pada 2008, PKR hanya ada satu kerusi Parlimen, jadi kalau kita menang tiga kerusi, kita dapat 300 peratus daripada itu. Tapi kita bukan menang tiga kerusi, kita menang 30 kerusi. Jadi maknanya peralihan itu meningkat dan lepas itu kita agak stabil.

Di Semenanjung Malaysia, undi popular PR lebih tinggi daripada Umno dan BN, tapi kita dapat kurang kerusi, itu sahaja. Dari segi undi popular kita dapat. Adakah kita boleh mengekalkan undi popular ini? Jawapannya ialah ya. Jadi bukan orang kata sekarang orang marah Pakatan Rakyat, tidak ada.

Janji manifesto

SINAR HARIAN ONLINE: Pesaing kata banyak perkara dalam manifesto tidak dapat ditunaikan. Boleh anda pertahankannya?

TAN SRI KHALID IBRAHIM: Itu satu perkara yang tohmahan sahaja kerana tahap kerajaan, orang mesti asingkan parti dan pentadbiran. Pentadbiran ini termasuk penjawat awam, semuanya. Tapi adakah di Selangor, manifesto yang diutarakan oleh kumpulan Pakatan Rakyat itu diberikan tumpuan oleh kerajaan negeri Selangor? Jawapannya, ya. Lebih daripada 20 program yg dibuat telah dilakukan dan program-program ini lebih baik daripada program sebelum 2008, maknanya kita sudah jalankan program-program tapi ada juga yang membuat tohmahan  bahawa kita tak lakukan.

Satu tohmahan yg paling penting ialah kita dibawa oleh peguam- peguam yang bergerak di bawah payung BN yang mengatakan 1,001 warga emas hendak meminta bayaran kerana manifesto Pakatan Rakyat pada 2008 mengatakan ada skim untuk warga emas. Jawapannya ada, sekarang pun ada skim untuk warga emas, tapi skim itu skim khairat kematian, maknanya orang yang 1,001 yang masuk mahkamah kata tak dapat skim itu, jawapannya betul. Dia hanya dapat dan keluarganya dapat skim itu apabila mereka meninggal dunia. Jadi tak salahlah? Boleh kita pergi mahkamah dan esok bolehlah mahkamah tahu  tentang apa yang mereka tak faham.

Saya telah tulis surat kepada mereka untuk mendaftar supaya kalau dia belum mendaftar untuk jadi ahli Skim Mesra Usia Emas (SMUE), tapi nak dapat duit, tunggu matilah.

Satu daripada cara umno-BN menunjukkan mereka, selepas Selangor di bawah Pakatan Rakyat, mereka cuba cari jalan bagaimana untuk menebuk-nebuk usaha yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat. Mereka cuba kata ini tak betul, itu tak betul. Tapi sebenarnya ia macam melihat orang, dia pakai baju, dia punya anting-anting tak betul.

Itu bukan isu teras, ia cuma sampingan. Kritikan ini bukan teras. Asasnya, isu dulunya Umno dan BN boleh beroperasi dengan telus tanpa rasuah? Jawapannya tak ada.

Baru hari ini saya terbaca bahawa (Datuk Seri) Najib Tun Razak baru kata kalau kita menang di Putrajaya, saya akan cuba hapuskan rasuah. Itu semua bukan teras, ini terasnya. Jadi warga emas yang tak dapat khairat kematian bawa ke mahkamah, kalau 1,001, esok dua atau tiga orang meninggal, dia dapatlah.

SINAR HARIAN ONLINE: Manifesto satu perkara, program rakyat pula satu lagi perkara. Adakah benda yang dilaksanakan di luar manifesto?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Ada. Bagi saham dan saya bagi tanah untuk rakyat Selangor, tak ada dalam manifesto untuk memberi tanah dengan bayaran premium yg paling rendah RM1,000. Itu telah kita lakukan.

Kita telah buat program Jom Shopping untuk rakyat. Kita telah banyak buat program-program memberdayakan wanita. Program program tambahan sebab kita ada lebih kurang 27 program yang dalam manifesto hanya 15 ke 16.

Macam Skim mikrokredit (yang kita ada), pusat tuisyen rakyat, TAWAS, tapi yang jelas ia ini ada ketelusan. Kita spesifik apa yang kita buat. (Bekas Menteri Besar Dr) Khir Toyo saya ingat duduk sini tak dapat tunjukkan macam ini. Ini bermaksud semua program ini terus kepada rakyat.

SINAR HARIAN ONLINE: Tan Sri sekarang ini bercakap dengan yakin berbanding dengan sebelum ini. Tiga tahun lepas, isteri pernah bagi tahu Tan Sri, kalau boleh jangan jadi menteri besar, sekarang bagaimana?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Dia masih konsisten, tapi saya cakap saya nak cuba teruskan usaha untuk meneruskan usaha kecemerlangan ini terutama dari segi pemberian air, saham air untuk rakyat Selangor. Saya nak terjemahkan konsep itu jadi pelaksanaan.

 Antara kekal MB atau ke pusat
SINAR HARIAN ONLINE: Ini bermakna Tan Sri minta rakyat bagi lagi peluang?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Ya, bagi peluang.

SINAR HARIAN ONLINE: Kalau Tan Sri diberi peluang, Tan Sri mahu dikekalkan sebagai menteri besar atau nak ke Pusat?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Saya bagi keutamaan, satu ialah bila saya sudah selesaikan masalah pemberian saham air untuk rakyat Selangor, saya rasa saya di mana-mana pun saya boleh.

SINAR HARIAN ONLINE: Maknanya, Tan Sri perlukan satu lagi penggal sebagai menteri besar, kalau boleh?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Kalau boleh... dan saya pun rasa (selepas itu) saya sudah cukup pun berbakti kepada rakyat dan bangsa.

SINAR HARIAN ONLINE: Lima tahun sebelum ini, apa cabaran besar bagi Tan Sri dalam mentadbir kerajaan negeri?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Menterjemahkan konsep ketelusan dan kesaksamaan, tak memberikan kebaikan kepada kroni atau kawan. Kita buat itu. Itu sangat sukar. Dalam politik, itu sangat sukar dilaksanakan.

SINAR HARIAN ONLINE: Memang orang katakan Tan Sri sangat baik dalam menguruskan kerajaan, tetapi kroni tidak dijaga?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Tak ada (bagi kawan dan kroni). Tapi itulah yang kita sebut sebagai reformasi.  Itu  susah nak dilakukan termasuk orang PKR kata begitu, Umno pun kata. Sebab itu yang rakyat hendak, kita pilih pemimpin, lepas itu pemimpin gunakan untuk rakyat umpamanya SMUE, kita bukan kira orang Umno atau MIC tak boleh dapat, semua rakyat dapat. Ini duit rakyat Selangor. Jika anda memerintah negeri, semua orang akan menjadi sebahagian daripada itu.

 Hubungan dengan Azmin Ali

SINAR HARIAN: Desas-desus mengatakan hubungan Tan Sri dan Azmin Ali agak renggang. Dan ada isu perebutan jawatan menteri besar, apa komen Tan Sri?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Tak ada… tak ada… itu memang desas-desus, dalam politik memang biasa. Desas-desus antara Najib dan (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) pun serupa, desas-desus antara menteri besar Kedah dan exconya juga ada. Jadi kita teruskanlah, itu memang saya faham, dipanggil asam garam politik, sebab itu teruskan sebab tujuan kita ialah Keadilan (PKR) dan Pakatan Rakyat mahukan reformasi dan kita teruskan usaha kita.

SINAR HARIAN ONLINE: Gelanggang PRU, negeri selangor paling ramai pengundi, 13 juta sebelum ini ada mengadu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pernah ada penemuan undi yang diragui, adakah Tan Sri turun dengan yakin dalam PRU?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Sama ada kita yakin atau tidak, inilah situasinya. Kita kena bertanding dalam keadaan itu dalam penuh berjaga-jaga. Walaupun saya rasa kalau kita menang Putrajaya, kita akan menyusun semula SPR supaya ia lebih terbuka, lebih menerima hakikat bahawa maklumat mengenai pengundi ini mesti disebar luas, mesti betul supaya pengundian itu akan menjamin pelaksanaan demokrasi yang terbaik

SINAR HARIAN ONLINE: Parti lawan diramal akan menggunakan dan persediaan PR untuk menghadapi isu manifesto yang kerajaan negeri tak dapat tunaikan?

TAN SRI KHALID IBRAHIM:
Tak apalah. Kita pula boleh tengok manifesto dia. Apa yang dia buat pula. Dan nampaknya manifesto payung Umno-BN sekarang sudah ditebuk dari segi kesahihan manifesto itu. Mereka dapati dan cuba pula menyesuaikan dengan manifesto yang dibuat oleh Pakatan Rakyat dari segi harga kereta, harga yang dipanggil harga minyak. Jadi kita terimalah.

Kita akan berbincanglah, tapi yang sebenarnya rakyat lebih tahu. Saya nak katakan di sini, pengalaman saya lima tahun sebagai menteri besar orang anggap rakyat ini tak mempunyai keupayaan berfikir, yang sebenarnya rakyat lebih pandai dan tahu walaupun kadang-kadang dia segan kepada pemimpin, dia tidak bercakap, tapi mereka agak faham.

Kalau orang lebih cakap, salahkan orang, dia tak akan pilih orang itu sebab esok dia menang pun dia salahkan orang lain. Rakyat lebih arif dari segi penilaian.

Tiada ulasan: