Rabu, 12 Disember 2012

Warga emas mohon BR1M 'meninggal dunia' 38 tahun lalu

SITI NUR MAS ERAH AMRAN

Warga emas mohon BR1M 'meninggal dunia' 38 tahun lalu
Cheong Heng (kiri) bersama Ah Nya, Siang Joo (kiri) dan Teik Chye ketika ditemui di Jabatan Pendaftaran Negara, semalam.
 
BUKIT MERTAJAM - Seorang warga emas yang ingin memohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) terkejut apabila dimaklumkan yang dia telah 'meninggal dunia' ketika membuat semakan rekod dibuat di pejabat MCA Bukit Mertajam 20 November lalu.

Anak sulungnya, Cheng Siang Joo, 45 berkata, ibunya Ong Ah Nya, 72, yang terperanjat memintanya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat semakan kedua dan jawapan yang sama diberikan oleh agensi itu.

"Selepas menjelaskan situasi sebenar, saya diminta untuk mengisi borang berkaitan bagi membolehkan siasatan dijalankan.

"Saya kemudiannya ke pejabat pos untuk memeriksa status ibu sebagai pengundi melalui data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) namun rekod menyatakan yang dia telah meninggal dunia.

"Justeru, masalah ini diadukan kepada Adun Padang Lalang, Michael Tan Cheong Heng agar ia dapat diselesaikan segera," katanya.

Siang Joo yang merupakan penyelia kilang mendakwa, ibunya tidak dapat mengundi pada tahun 2008 kerana namanya tidak tersenarai sebagai pemilih berdaftar.

"Pendaftaran semula ada dibuat walaupun selepas itu kami tidak membuat sebarang semakan susulan.

"Walau bagaimanapun, kami berasa pelik kerana ibu bukan sahaja memiliki pasport, malah telah ke China dua tahun lalu untuk melancong tanpa sebarang masalah.

"Masalah ini hanya disedari ketika ibu ingin memohon imbuhan (BR1M) RM500 yang disalurkan Kerajaan Pusat dan mujurlah, ia dapat diselesaikan dalam masa singkat," katanya.

Ah Nya yang turut hadir menyatakan kegembiraannya berikutan masalah yang menghantui telah pun selesai.

"Harapan saya cuma satu iaitu semoga saya sempat mengundi sempena pilihan raya yang akan berlangsung pada tahun depan," katanya.

Cheong Heng berkata, rekod semakan JPN mendapati Ah Nya telah meninggal 38 tahun lalu.

"Pihak JPN memaklumkan terdapat kesilapan teknikal dan meminta saya untuk membawa Ah Nya ke pejabat untuk mengemas kini maklumat peribadi yang diperlukan.

"Selain itu, kad pengenalan baru turut dibuat secara percuma bagi membolehkan beliau mendaftar sebagai pengundi.

"Walau bagaimanapun, pemprosesan data SPR dijangkakan bakal mengambil masa sekurang-kurangnya empat bulan dan ini bermakna kemungkinan beliau tidak dapat menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi pada tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di perkarangan JPN Bandar Perda semalam.

Dalam pada itu, beliau turut menasihati masyarakat supaya mengemas kini maklumat pengundi dari semasa ke semasa untuk mengelakkan kesulitan.

"Ini adalah kerana kemungkinan sistem maklumat antara agensi kerajaan tidak diselaraskan menyebabkan Ah Nya dapat ke luar negara tanpa sebarang masalah.

"Kesilapan data boleh berlaku kepada sesiapa sahaja dan kita perlu berhati-hati untuk memastikan masalah seumpama ini tidak berulang lagi," katanya.

Tiada ulasan: