| |
| Anggota Jabatan Pertahanan Awam dan penduduk menunjukkan ular sawa batik sepanjang enam meter yang kekenyangan setelah menelan seekor babi hutan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - Utusan/Abdul Razak Latif |
MELAKA - Pelbagai persoalan timbul apabila ternakan ayam sering hilang dan keadaan itu membingungkan penduduk Kampung Kemengkang, Kesang Tua, dekat sini.
Walaupun pelbagai usaha dilakukan termasuk mengadakan kawalan untuk menangkap 'individu yang tidak bertanggungjawab' itu, ayam yang dibela tetap hilang dan kes itu seperti tiada noktah.
Bagaimanapun, segala kegelisahan dan persoalan yang kerap bersarang di fikiran penduduk terjawab apabila seekor ular sawa batik sepanjang enam meter ditemui di sebuah ladang di kampung berkenaan hari ini.
Ketika ditemui, ular tersebut tidak dapat bergerak kerana dipercayai masih terlalu kenyang selepas menelan seekor babi hutan.
Seorang penduduk, Abd. Manan Abu Bakar, 56, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 10 pagi itu, dia bersama dua lagi penduduk sedang memerhati kerja-kerja membersihkan ladang untuk projek penanaman semula getah.
"Bagaimanapun, kami terkejut dengan jeritan pemandu jentolak yang sedang menolak salah satu rumpun semak.
"Dia memberitahu ada ular sawa dan kami bergegas ke kawasan semak tersebut dan sangat terkejut apabila mendapati seekor ular sedang melingkar dan tidak dapat bergerak kerana kekenyangan di situ," katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya, mereka tidak berani menangkap ular itu dan mengambil keputusan menghubungi Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
"Kami percaya terdapat seekor ular sawa lagi di sini kerana ular sawa yang ditangkap merupakan ular sawa betina," katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi JPAM, Zaini Hamzah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai penemuan ular sawa itu pada pukul 10.15 pagi.
Katanya, sebaik menerima panggilan itu, beliau dan dua lagi anggota JPAM Ayer Keroh di sini bergegas ke tempat itu.
"Ular ini mudah ditangkap kerana ia sukar untuk bergerak akibat terlalu kenyang," katanya,.
Menurutnya, ular sawa itu akan diserahkan kepada Zoo Melaka.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan