| |
| Muhyiddin Yassin berbual dengan Nor Mohamed Yakcop (dua dari kanan) pada majlis perasmian Bengkel NKEA di Akademi MAS di Petaling Jaya, semalam. |
PETALING JAYA - Malaysia perlu mengkaji semula semua dasar lapuk yang tidak dapat menangani isu ekonomi semasa dan akan datang bagi membolehkannya menjadi negara berpendapatan tinggi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana Malaysia telah lama terperangkap dalam kepompong negara berpendapatan sederhana iaitu sejak 1992.
''Untuk bersaing di peringkat global, kita mesti menggubal inisiatif pembaharuan ekonomi yang berani dan sudah sampai masanya untuk kita mula melakukan sesuatu perkara dengan berbeza.
''Kita berharap Model Ekonomi Baru (MEB), Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Aktiviti Utama Ekonomi Negara (NKEA) akan menyediakan pemangkin bagi mencarta hala tuju baru kepada ekonomi Malaysia," katanya dalam ucaptama pada Bengkel NKEA di Akademi Latihan Malaysia Airlines di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu).
Hadir sama Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (MPEN), Tan Sri Amirsham A. Aziz; Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan kira-kira 900 pegawai kanan kerajaan, korporat dan media yang akan memberi input dalam penggubalan NKEA.
ETP dan NKEA yang menyamai Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di sektor awam bertujuan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan kepada sektor swasta dan mewujudkan rangka kerja pelaburan dalam industri utama yang akan menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi.
Sebanyak lapan NKEA telah dikenal pasti setakat ini iaitu elektrik dan elektronik, kelapa sawit, minyak dan gas, pelancongan, pertanian bernilai tinggi, teknologi hijau, perkhidmatan kewangan dan teknologi maklumat.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai MEB, Muhyiddin berkata, tumpuan dasar itu adalah untuk merapatkan jurang ketidaksamaan ekonomi yang telah lama menjadi sumber ketegangan sosial di Malaysia.
''Antara langkah MEB bagi menyelesaikan isu ini ialah dengan mencari keseimbangan adil antara keperluan bumiputera dan keperluan munasabah komuniti lain.
''Usaha kita mewujudkan masyarakat yang inklusif akan merapatkan ketidaksamaan dalam negara, membantu mereka yang memerlukan dan menggunakan secara lebih baik bakat semua rakyat dalam usaha kita membangunkan tenaga kerja kompetitif," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan