Jumaat, 21 Mei 2010

SPRM: Ada info bekas CEO MIED mahu lari ke India

THE MALAYSIAN INSIDER

KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Pegawai Eksekutif MIED, P. Chithirakala yang menghadapi tuduhan menipu membabitkan RM4 juta perlu menunggu keputusan mahkamah sama ada beliau boleh ke luar negara atau tidak ketika perbicaraan sedang dijalankan.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menekankan, ia adalah prosedur biasa siasatan dan undang-undang yang dibenarkan.

Chithirakala telah dituduh di Mahkamah Sesyen Jenayah di sini pada 11 Mei lalu atas tiga pertuduhan di bawah seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Kata SPRM, pihaknya tidak membuat permohonan untuk menahan pasport atau dokumen perjalanan beliau ketika pertuduhan dibuat.

Bagaimanapun dua hari kemudian, kata SPRM pihaknya telah menerima maklumat daripada orang ramai mengatakan Chithirakala akan melarikan diri ke India bagi mengelakkan perbicaraan.

“Bertindak di atas maklumat yang diterima, pada 18 Mei 2010, SPRM telah membuat afidavit untuk memohon kepada mahkamah supaya Chithirakala menyerahkan pasport atau dokumen perjalanannya kepada mahkamah.

“Adalah difahamkan bahawa Chithirakala telah membuat afidavit balasan,” kata SPRM dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Mahkamah menetapkan perbicaraan bagi mendengar permohonan SPRM Selasa ini.

“Chithirakala walaupun sedia maklum terhadap tarikh perbicaraan untuk mendengar permohonan ini tetap ingin ke luar negara.

“SPRM berpendapat Chithirakala perlu menunggu keputusan mahkamah sama ada beliau boleh ke luar negara atau tidak,” katanya.

Petang semalam, Chitirakala dihalang dari meninggalkan KLIA untuk ke India.

Beliau mendakwa seorang ahli politik kanan komponen Barisan Nasional mendalangi tindakan SPRM yang menahannya daripada pergi ke luar negara.

Bekas ketua pegawai eksekutif wanita sayap pendidikan MIC itu sepatutnya dijadual berlepas ke India pukul 6.50 petang semalam, tetapi dihalang pegawai SPRM atas alasan yang tidak diketahui.

Chitirakala percaya ini adalah drama yang dibuat oleh pemimpin kanan itu untuk menjatuhkannya.

Katanya, apa yang mengejutkan ialah SPRM mendapat maklumat bahawa beliau ingin melarikan diri ke luar negara sedangkan sebelum ini kerap ke luar negara tetapi tiada masalah.

“Saya juga ada memaklumkan secara bertulis kepada SPRM pada 10 Mei tentang tarikh dan destinasi yang akan saya pergi sehari sebelum saya didakwa,” katanya yang merupakan bekas orang kepercayaan Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu.

Tiada ulasan: