Isnin, 24 Mei 2010

Kontraktor seleweng tak dibayar

RAUB - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) memberi amaran tidak akan menjelaskan bayaran kepada kontraktor yang gagal membina rumah di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) mengikut spesifikasi dan syarat yang ditetapkan.

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menegaskan, pihaknya memandang serius kontraktor yang menyeleweng dan mementingkan keuntungan semata-mata sehingga mengabaikan amanah serta tanggungjawab sosial.

Katanya, pihaknya tidak akan bertolak-ansur dan tidak akan membayar kos membina rumah berkenaan kecuali mereka mematuhi syarat yang ditetapkan.

"Contohnya, jika mereka (kontraktor) membina rumah PPRT sebuah bilik sahaja sedangkan mengikut spesifikasi asal rumah berkenaan perlu ada tiga bilik.

''Sehingga kini belum ada laporan kontraktor yang menyeleweng ," katanya kepada pemberita selepas melawat projek PPRT Kampung Lepar dekat sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Datuk Mohd. Sharkar Shamsudin, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Shahiruddin Ab. Moin, ADUN Batu Talam, Datuk Abdul Aziz Mat Kiram dan Pegawai Daerah Raub, Datuk Abdul Moin Abd. Hamid.

Mohd. Shafie menegaskan, kerajaan bersungguh-sungguh membina lebih banyak rumah kepada golongan miskin di seluruh negara supaya mereka dapat hidup lebih sempurna.

Katanya, kerajaan menyasarkan untuk membina 50,000 unit rumah PPRT di seluruh negara dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Sebelum akhir tahun ini, kita merancang membina 16,000 unit rumah PPRT di seluruh negara bagi membolehkan keluarga miskin dapat memiliki rumah tersebut.

"Pada tahun depan, 16,000 unit rumah yang sama akan dibina dengan kos RM33,000 seunit bagi rumah di Semenanjung dan RM43,000 seunit di Sabah dan Sarawak.

"Rumah tersebut mengandungi tiga bilik dan dilengkapi bekalan elektrik dan air," katanya.

Di samping membina rumah PPRT, menurut Mohd. Shafie, golongan tersebut akan dibantu dari aspek ekonomi dengan melibatkan mereka sebagai peserta projek pertanian, penternakan dan keusahawanan.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin setempat menyenaraikan nama golongan sasar dan miskin yang memerlukan pembelaan untuk diberikan bantuan.

Kerajaan ujarnya, mempunyai peruntukan untuk membantu golongan terbabit tetapi memerlukan maklumat tepat bagi membantu mereka.

"Kerajaan tidak 'memilih bulu' untuk membantu golongan tersebut malah semua kaum dan etnik akan diberikan bantuan yang sama," tegasnya.

5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kontraktor yang menyeleweng memang patut tidak mendapat bayaran sebagai balasan kepada perbuatan mereka. setiap kontraktor harus telus dalam melaksanakan projek mereka.

somboi berkata...

tindakan kerajan untuk tidak membanyar kepada kontraktor yang menyelewang akan dapat memberi pengejaran kepada para kontraktor. para kontraktor akan lebih bersungguh-sungguh dalam menjalankan kerja mereka..

tombolo berkata...

tindakan ini dapat mengelakkan daripada berlakunya penyelewangan dikalanngan kontraktor semasa menjalankan kerja mereka.. kontraktor juga akan menjalankan kerja mereka dengan lebih telus.. diharap projek PPRT akan berjaya..

2718 berkata...

saya amat bersetuju dengan tindakan kerajaan membela nasib golongan miskin di negara ini. diharapkan pemimpin2 setempat dapat berkerjasama dengan memberikan senarai yang tepat dan terperinci berkenaan latarbelakang individu yang patut diberikan bantuan.

polemic berkata...

tindakan yg baik dari kerajaan...bagi mengurangkan projek terbengkalai & pembinaan yg tidak mengikut spesifikasi...