Tiga panel Hakim yang mengadili kes berkenaan, Ketua Hakim Syarie, Datuk Daud Mohammad, Hakim Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman dan Hakim Wan Hassan Wan Mohamad memutuskan demikian setelah membuat semakan terhadap afidavit dan autoriti yang dikemukakan kedua-dua belah pihak.
Daud ketika membacakan keputusan penghakiman memberitahu, penangguhan atau KIV yang dibuat Mahkamah Tinggi terhadap kes ini adalah tidak wajar.
“Ia tidak sepatutnya berlaku memandangkan perintah tersebut dikeluarkan mahkamah kepada seorang isteri yang sah.
“Mahkamah hari ini (semalam) juga memerintahkan supaya Mahkamah Tinggi meneruskan perintah yang dikeluarkan kepada pemohon sebagai isteri untuk melawat suaminya seperti yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya.
Pada 4 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah di sini memutuskan untuk menggantung sementara perbicaraan kes hak lawatan kekal Elia Suhana bagi melawat suaminya 13 Jun depan.
Penangguhan itu dibuat bagi menunggu keputusan bagi kes bantahan awal pengesahan lafaz cerai Sultan Kelantan ke atas Elia Suhana pada 23 Mei ini.
Pada 4 Februari lalu, Mahkamah Tinggi yang sama membenarkan Elia Suhana melawat Sultan Kelantan bagi setiap hari Sabtu sehingga Isnin setiap minggu.
Bagaimanapun perintah tersebut gagal dilaksanakan kerana dihalang ketiga-tiga defendan iaitu Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid; Pengawal Peribadi, Mohd Shahrizan Zainal Abidin dan pekerja istana, Zaiton Hussein Merican.
Pada 21 Februari pula, mahkamah sama mengarahkan ketika-tiga defendan hadir tunjuk sebab kerana menghalang perintah yang dikeluarkan mahkamah itu.
Dalam prosiding yang berlangsung semalam, Elia Suhana diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hassan sementara Raja Perempuan Kelantan, diwakili peguam Zainul Rijal Abu Bakar dan Abdul Halim Bahari.
Fakhrul Azman ketika ditemui media memberitahu, Mahkamah Tinggi Rayuan menerima permohonan semakan pihaknya dengan mengarahkan Mahkamah Tinggi meneruskan perbicaraan kes tersebut dan bersetuju hak lawatan diteruskan.
“Kita boleh meneruskan hak lawatan seperti yang dibenarkan mahkamah sebelum ini.
“Anak guam saya, Cik Puan Elia dibenarkan melawat suaminya (Sultan Ismail Petra Sultan Yahya Petra) bermula jam 7 pagi setiap hari Sabtu sehingga jam 7 pagi hari Isnin,” katanya.
Sementara itu, Elia Suhana bersyukur dengan keputusan itu dan akan cuba melawat Tuanku Sabtu ini.
“Saya harap lawatan kali ini tidak mendapat tentangan mana-mana pihak,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan