Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Seorang blogger Umno mendakwa penipuan proses undi, permainan politik wang, insiden-insiden pergaduhan dan manipulasi perjalanan mesyuarat oleh pihak yang berkuasa Umno bahagian berlaku di kebanyakan tempat di mana menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin mendapat pencalonan sebagai Ketua Pemuda Umno.
A Voice (anotherbrickinwall.blogspot.com) juga mendakwa, Khairy tidak mempunyai sokongan akar umbi dan "nampaknya lebih mendapat sokongan dari bahagian yang mempunyai pertalian dengan ahli jemaah kabinet dan pihak berkuasa Umno negeri atau bahagian".
Di Johor Baru, katanya, mesyuarat Pemuda Umno bahagian berakhir dengan insiden pergaduhan berlaku apabila pihak penentang Khairy dilapor mendedahkan salahlaku kuncu-kuncu menantu Perdana Menteri di bahagian itu dalam ucapan penangguhan mesyuarat.
Sebagai contoh, beliau menyiarkan perjalanan mesyuarat Pemuda Umno Gelang Patah di mana para perwakilan enggan menerima keputusan pengundian tetapi pihak yang mengendalikan mesyuarat dan pengundian enggan menerima desakan majoriti perwakilan supaya undi dikira semula.
Dalam mesyuarat tersebut, sebaik sahaja Pengerusi Tetap mengumumkan keputusan pencalonan Ketua Pemuda Umno Malaysia yang dimenangi oleh Khairy yang didakwa memperolehi 61 undi, perwakilan telah mengejek keputusan tersebut malah ada yang bangun mempertikaikan cara pengiraan undi dijalankan.
Bagaimanapun, bantahan tersebut tidak dipedulikan dan Pengerusi Tetap terus mengumumkan keputusan pengundian pencalonan Naib Ketua yang dimenangi oleh Datuk Reezal Merican Naina Merican yang didakwa memperolehi 85 undi. Sekali lagi perwakilan telah mengejek keputusan tersebut.
Keadaan terus kecoh dan salah seorang perwakilan juga telah bangun meminta undi dikira semula dan disokong oleh majoriti perwakilan.
Tetapi sekali lagi, Pengerusi Tetap tidak mengendahkan permintaan dari perwakilan tersebut dan cuba untuk menangguhkan persidangan tetapi tidak dipersetujui oleh perwakilan dan terus meminta kertas undi dibentangkan dan dikira semula di hadapan semua perwakilan.
Kekecohan dan keadaan menjadi kelam kabut semakin buruk dan persidangan akhirnya ditangguhkan oleh Pengerusi Tetap walaupun dibantah majoriti perwakilan.
Selepas itu, kira-kira 80 peratus perwakilan menandatangani petisyen di luar dewan membantah keputusan mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Gelang Patah itu._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan