Ahad, 14 September 2008

Wartawan Sin Chew dibebas, cipta rekod paling singkat ditahan ISA
Oleh G. MANIMARAN, SA'ODAH ELIAS dan ZANARIAH ABD MUTALIB

(Dikemas kini)

PETALING JAYA: Wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, yang dibebaskan selepas ditahan hampir 18 jam di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) semalam, mencipta sejarah sebagai tahanan paling singkat negara ini.

Dia dibebaskan di IPK Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang semalam selepas ditahan di rumahnya di Taman Permai, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, malam kelmarin.

Pembebasan beliau turut disahkan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar pada sidang media di Bukit Aman, Kuala Lumpur .

Tan yang dibawa keluar dari IPK Pulau Pinang pada pukul 8.30 pagi tidak dibawa ke Bukit Aman sebagaimana dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya dia disiasat di IPK Perak dan dibebaskan di IPK Pulau Pinang.

Ketika ditemui di rumahnya di Bukit Mertajam, Tan berkata, dia berpuas hati dengan layanan pihak polis sepanjang tahanan.

Dia juga mempertahankan laporannya mengenai kenyataan bekas Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail.

Tan, 33, berkata, dia melaporkan ucapan Ahmad yang didakwa menimbulkan isu perkauman secara profesional dan menulis apa yang beliau dengar pada malam itu.

"Saya hanya tulis apa yang saya dengar," katanya kepada pemberita di rumahnya selepas dibebaskan kira-kira pukul 2.30 petang.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua orang termasuk polis kerana mereka layan saya dengan sangat baik dan profesional. Tak dapat tidur lena, tapi polis layan saya dengan baik, tiada masalah," katanya.

Tan berkata, kejadian itu tidak melemahkan semangatnya untuk meneruskan tugasnya.

Menurut Tan, dia telah disoal siasat berhubung laporannya yang berkaitan dengan ucapan Ahmad ketika pilihan raya kecil Permatang Pauh, yang melabelkan kaum Cina negara ini sebagai "penumpang".

Dalam pada itu, Syed Hamid menjelaskan, tahanan ke atas pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin dan Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok akan disambung - selama 60 hari yang dibolehkan oleh ISA.

Syed Hamid memberitahu, syor untuk menahan mereka datang daripada polis bukannya arahan beliau.

Beliau mengulangi bahawa Tan ditahan ekoran maklumat bahawa keselamatannya terancam dan pihak polis mahu mendapatkan maklumat mendalam.

Kata beliau, penahanan kali ini dibuat kerana pihak polis mempunyai asas kuat yang perbuatan mereka boleh membahayakan ketenteraman awam.

"Polis bertindak dengan kuasa mereka dan bukan di bawah arahannya," kata beliau.

Tiada ulasan: