Isnin, 15 September 2008

Kerajaan digesa segera selamatkan nyawa 80 krew MISC
Azamin Amin


KUALA LUMPUR -Dalam keributan negara menghadapi krisis politik yang tidak menentu, kerajaan sewajarnya mengutamakan isu yang paling menggusarkan ramai iaitu nasib dan nyawa 80 anak kapal Malaysia International Shipping Corporation (MISC) Berhad yang ditahan dan dijadikan tebusan lanun di Teluk Aden hampir sebulan lalu.

Daripada jumlah itu, 65 daripadanya adalah warga Malaysia.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata PAS mahu kerajaan Malaysia bertindak lebih agresif bagi membantu menyelamatkan nyawa mereka dan tidak mengambil tempoh yang terlalu sehingga membahayakan keselamatan dan mendatangkan kebimbangan serius kepada kamu keluarga mangsa.

"PAS juga membantu dan berusaha secara diplomatik dan menggunakan saluran tidak rasmi dalam usaha untuk membebaskan rakyat malah gerak kerja sudah dari awal, sejak hari pertama kapal dirampas. Kita sudah menghubungi rakan-rakan di Timur Tengah namun tidak boleh maklumkan secara terperinci atas sudut keselamatan.

"Sebolehnya konflik ini kita mahu diselesaikan sebelum umat Islam menyambut Syawal," katanya ketika dihubungi Harakah.

Beliau tidak menafikan urusan dan rundingan di pihak MISC dengan perampas kapal terbabit menjadi begitu rumit memandangkan berlaku ketegangan di Somalia yang terlibat dengan perang saudara.

"Mereka ini dikatakan sangat agresif, profesional dan mempunyai kelengkapan senjata yang lengkap dan boleh bertindak ke tahap yang mengancam nyawa. Kita telahpun minta penjelasan daripada Wisma Putra dua minggu lalu, dan harap kerajaan dapat bertindak dengan kadar segera.

"Kita mahu kerajaan dan masyarakat antarabangsa juga memberi tekanan-tekanan poltik dan sebagainya konflik ini dapat diselesaikan dengan cepat dan selamat," katanya.

PAS juga turut meminta supaya kaum keluarga mangsa bersabar menghadapi ujian yang getir ini tambahan pula di saat menyambut bulan Ramadan dan Syawal yang akan menjelang tidak lama lagi, katanya.

Untuk rekod Kapal dagang MT Bunga Melati Dua milik MISC telah dirampas lanun di perairan Teluk Aden, antara Somalia dan Yemen pada 19 Ogos 2008 jam 10.09 malam di mana terdapat 29 warga Malaysia dan 10 warga Filipina dalam kapal itu semasa kejadian.

Kapal tangki itu membawa minyak kelapa sawit belayar dari Dumai, Sumatera, Indonesia ke Rotterdam , Belanda. Pasukan lanun itu dilaporkan menggunakan senjata moden seperti AK-47 dan pelancar granade dan memanjat dinding vesel dengan galah. Kapal itu seberat 32,169 tan dibina pada 1997 dan mampu dipintas oleh bot laju lanun.

Manakala kapal MT Bunga Melati Lima telah dirampas oleh lanun di Teluk Aden, Somalia - Yemen jam 9.50 malam , 29 Ogos 2008, 10 hari selepas kejadian pertama 19 Ogos 2008 .
Kapal itu dikendalikan oleh 41 anak kapal termasuk 36 warga Malaysia dan krew penyelenggaraan sementara warga Filipina.

Kapal itu membawa 30,000 MT bahan petrokimia dari Yanbu, Arab Saudi ke pelabuhan Singapura.- tajdid

Tiada ulasan: