Kurikulum prasekolah, sekolah rendah dikaji semula
Oleh Hayati Ibrahim
PUTRAJAYA: Kurikulum pendidikan pra sekolah dan sekolah rendah akan dikaji semula bagi memastikan imbangan antara kurikulum yang holistik supaya tidak terlalu akademik dan membebankan.
Projek perintis kurikulum yang akan dilaksanakan secara berperingkat mulai bulan ini adalah antara kejayaan yang dilaporkan dalam kad laporan ketiga Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006-2010 yang diumumkan semalam.
Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata kurikulum baru itu akan dicadangkan untuk menggantikan Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) yang sedang digunapakai ketika ini.
"Antara implikasi kurikulum baru itu termasuk perubahan jadual waktu dan khusus pengajian sekolah, latihan guru yang lebih bersifat 'multispecialist' dan penggantian sukatan pelajaran serta dokumen standard kurikulum.
"Selaras dengan perubahan itu, kementerian sudah membangunkan sistem penaksiran pendidikan kebangsaan (SPPK) bagi menilai aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi secara bersepadu," katanya pada sidang media selepas membentangkan laporan ketiga PIPP mesyuarat pasca kabinet di kementeriannya, di sini, hari ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan