Selasa, 23 September 2008

Membaca Muslihat Terbaru Pak Lah
Hafizar


Salam untuk semua. Malaysia dikejutkan lagi. Terkini Pak Lah baru mengumumkan langkah drastiknya., menyerahkan potfolio yang dipegangnya sejak 2004 kepada Najib, Menteri Kewangan. Pak Lah pula mengambil alih Kementerian Pertahanan.

Bacaan yang tersurat ialah reaksinya terhadap serangan terbaru terhadap dirinya, pengasakkan oleh regu TDM-Najib-Muhyidin terhadap pelan 2010. Akibat asakan dan tikaman ini, Pak Lah mahu tidak mahu perlu bertindak. Beliau perlu memperlihatkan dirinya akur dan ikhlas, serta mengakui kelemahan dirinya dalam mengurus negara dan ekonomi.

Seterusnya, ekonomi khususnya pasaran saham sedang bergerak pantas ke arah merudum. Pasaran merupakan petunjuk akan kesihatan ekonomi. Apabila pasaran saham (Bursa KL) jatuh menandakan ekonomi Malaysia sedang tidak sihat. Siapa pengurusnya? Tentulah Pak Lah.

Bacaan selanjutnya ialah pelan 2010 seolah-olah dipercepatkan. Pak Lah menjelaskan bahawa beliau akan bersara lebih awal jika prestasi Najib dalam menguruskan ekonomi cemerlang. Ini trend sejak dahulu apabila seseorang PM ingin menyerahkan kuasanya, calon PM perlu menunjukkan kebolehan dalam pengurusan ekonomi. Ini signal bahawa Pak Lah sedia berundur lebih awal. Signal ini ditujukan kepada pengkritiknya bahawa beliau begitu taksub dengan kubu kuasanya. Akar umbi akan mendapat petunjuk bahawa Pak Lah telah sedia mengalah dan berundur. Sekurang-kurangnya akan merendahkan suhu penentangan akar umbi terhadap Pak Lah.

Namun tepatkah pertukaran potfolio ini dilakukan sekarang? Ekonomi dunia tidak terkecuali Malaysia sedang tidak sihat yang antara lain kerana kelembapan ekonomi dunia. Kejatuhan pasaran saham sedikit sebanyak diakibatkan daripada muflisnya bank keempat terbesar Amerika, Lehman Brothers. Dalam suasana kelembapan ini, mampukah Najib melonjakkan pasaran saham Malaysia, dan melonjakkan semula ekonomi Malaysia?

Yang tersirat ialah selain Pak Lah nampak ikhlas menjayakan pelan 2010, tetapi rasanya tindakan Pak Lah ini sebenarnya pelan penyelamatan dirinya. Pak Lah sedang terlibat dalam permainan yang penuh risiko. Kalau Najib berjaya, pelan 2010 akan kekal malah akan dipercepatkan, tetapi kalau Najib gagal menyerlah, apa agaknya nasib Najib. Kem Pak Lah dengan mudah memperoleh peluru meriam untuk membedil Najib. Bedilan ini mampu meranapkan kerjaya Najib.

Saya dapat rasakan bahawa Najib kepanasan kerana Kementerian Pertahanan, tempat permainan Najib kini berada di tangan Pak Lah. Pak Lah akan menguasai setiap organ dalam tentera. Tidak mustahil dalam masa terdekat maklumat-maklumat rahsia tentang aktiviti Najib di Kementerian Pertahanan atau maklumat risikan akan terpampang luas kepada Pak Lah. Ini sebenarnya senjata Pak Lah. Dan kita tidak tahu apakah tindakan Pak Lah dengan maklumat rahsia itu? Sekali lagi Najib akan terjerat. Politik adalah seni ketidak mustahilan!

Bukankah kemasukan semula TDM ke dalam UMNO sebenarnya dengan misi menjatuhkan Pak Lah dan menaikkan Najib, dan barang kali Muhyidin. Dengan memerangkap Najib maka Pak Lah akan dapat juga memerangkap TDM dan Muhyidin. Satu hal yang saya nak kongsi ialah adakah keptusan drastik Pak Lah tidak berkait langsung dengan agenda Anwar, 916 itu? SAPP telah mengisytiharkan keluar dari BN, dan mengekalkan status bebasnya tanpa menyertai Pakatan Rakyat. Zaid Ibrahim juga telah sah letak jawatan dan telah diterima Pak Lah. Anwar telah menjelaskan bahawa Pakatan Rakyat telah mempunyai majoriti mudah untuk mengambil alih Putrajaya. Yang tinggal ialah soal-soal teknikal dan undang-undang (Perlembagaan). Anwar sedang menanti Pak Lah bersedia untuk berjumpa dengan Pak Lah tentang peralihan ini. Jika Pak Lah tetap enggan, mereka, Pakatan Rakyat telah bersedia ke Istana Negara.

Mungkinkah Anwar akan diISAkan? Petunjuk ini telah Pak Lah berikan. Anwar dakwanya, adalah “penyebab kepada ketidakstabilan negara dan ekonomi”. Jika ISA dikenakan kepada Anwar, sedikit sebanyak meyimbahkan api kemarahan rakyat. Kesannya tidak dapat kita jangkakan! Jika ini berlaku, polis akan digunakan, begitu juga dengan tentera. Darurat dengan mudah dapat dikuatkuasakan! Momentum agenda 916 dapat diperlahankan.

Tindakan drastik Pak Lah ini memperlihatkan kecerdikannya.- menyediakan jerat terhadap Najib, dalam masa sama menyekat kemaraan Anwar. Namun, yang jelas, Pak Lah senang bermain dengan api. Mampukah Pak Lah memikulnya? Hal ini kerana, jika benar hipotesis ini, Pak Lah dilihat oleh rakyat telah menafikan sekali kehendak rakyat!

Tiada ulasan: