Kenapa tidak nafikan laporan mesyuarat MT 18/9? – Ruhanie
Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR - Bekas Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Ruhanie Ahmad menyifatkan kenyataan Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib yang menuduh ada petualang jijik yang membocorkan apa yang dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) sebagai percubaan mengalihkan pandangan umum dari isu sebenar.
Kegelisahan di dalam dan di luar Umno kini tertumpu kepada isu kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang disifatkan tempang oleh Ruhanie.
"Sudahkah disiasat siapakah yang dilabelkannya sebagai petualang? Kalau belum mengapakah buat tuduhan yang semberono?
"Kenapa tidak dinafikan sama ada maklumat yang dibocorkan kepada media itu benar atau palsu? Kenapa alih pandangan umum kepada soal petualang?" Ruhanie mempersoalkan dalam blognya, kuda-kepang.blogspot.com
Beliau membangkitkan, tidakkah benar di era kepimpinan Abdullah memang sering berlaku "diversion" atau penyimpangan daripada masalah pokok kepada soal sampingan.
"Soal pokoknya, tidak benarkah BN (Barisan Nasional) kalah kerana kepimpinan Abdullah yang tempang?" soal bekas Setiausaha Politik Tun Musa Hitam yang kini dilihat sebagai penyokong kuat Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
"Sebab itulah terdapat orang Umno sendiri marah dan protes," katanya.
Mengulas lanjut tentang pembocoran perbincangan dalam mesyuarat MT 18 September lalu, Ruhanie mengasak pihak-pihak yang mengecam tindakan itu dengan mempersoalkan kenapa tidak nafi atau sahkan laporan-laporan tersebut.
Untuk maklumat Muhamad Taib, katanya, cuba kaji sendiri berapa banyakkah blog yang telah mengulas mesyuarat MT baru-baru ini.
Kajilah sendiri, katanya lagi, kalau sudah sekian banyak blog yang membuat laporan mengenai info yang sama, adakah ini satu kepalsuan atau pembohongan?
Ruhanie seterusnya mempersoalkan, berapa banyak lagikah pembohongan yang sudah dihalalkan oleh pucuk pimpinan tertinggi Umno selama ini?
"Contohnya kepada soal muqabalah dengan PAS baru-baru ini. Benarkah apa yang dinyatakan oleh Abdullah bahawa dalam muqabalah itu Umno telah diwakili oleh pihak-pihak tertinggi yang boleh buat keputusan.
"Tidak benarkah Umno hanya diwakili oleh Abdullah seorang diri dalam muqabalah berkenaan?
"Saya harap Muhamad Taib dapat jelaskan perkara ini sebelum ada pihak menuduh pemimpin tertinggi Umno ini sebagai pembohong!" katanya._
Tiada ulasan:
Catat Ulasan