Isnin, 29 September 2008

K'jaan S'gor kesal ugutan terhadap Teresa
MALAYSIAKINI


Kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat kesal terhadap perbuatan membaling bom petrol ke rumah keluarga ahli parlimen Seputeh, Teresa Kok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kerajaan negeri menganggapnya sebagai satu tindakan jenayah yang serius yang boleh menimbulkan pelbagai spekulasi, termasuk spekulasi politik.

"Oleh itu, kerajaan negeri juga berharap agar pihak polis dapat menyegerakan proses siasatan dan membawa mereka yang bersalah kemuka pengadilan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam kejadian itu Sabtu lalu, kediaman ibu bapa Teresa di Jalan Ipoh di ibunegara dilontar bom petrol pada awal pagi ini.

Bagaimanapun, tiada penghuni rumah itu yang cedera dalam kejadian itu kerana bom petrol itu tidak meletup.

Teresa dibebaskan daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 19 September lalu setelah ditahan selama tujuh hari.

Sekeping kertas turut ditemui di tempat kejadian yang mengandungi mesej ugutan terhadap Teresa.

Teresa, yang juga ahli exco kanan kerajaan Selangor menjadi sasaran kecaman beberapa pihak selepas mendakwa beliau diberi makanan seperti makanan anjing ketika ditahan di bawah ISA.

Tiada diskriminasi kaum, agama

Teresa, 43, ditangkap di bawah ISA pada 12 September kerana didakwa membangkitkan isu-isu mengenai agama Islam, dan dibebaskan seminggu kemudiannya.

Semasa dalam tahanan, Teresa juga telah membuat laporan polis terhadap akhbar milik Umno, Utusan Malaysia, editor kanannya, Zaini Hassan dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo kerana menuduhnya terbabit dalam isu tersebut

Menurut Khalid lagi, kerajaan negeri juga sedar bahawa tuduhan-tuduhan liar telah dilemparkan terhadap Teresa.

Bagaimanapun, menteri besar Selangor itu menegaskan bahawa tuduhan-tuduhan tersebut adalah tidak berasas.

"Kerajaan negeri melihat Teresa yang memegang portfolo pelaburan, perindustrian dan perdagangan, sentiasa melihat isu sosial secara menyeluruh dan bukan dari sudut perkauman ataupun politik.

"Teresa adalah seorang pemimpin yang bertanggugjawab dan mempunyai tatacara dan pelakuan yang sesuai dengan masyarakat majmuk di Malaysia yang aman damai," tambahnya.

Khalid berkata, Teresa juga menyokong konsep 'Merakyatkan Ekonomi Selangor" dan mengambil kira semua pengagihan bantuan dan pembangunan utnuk semua rakyat, terutama mereka yang memerlukan tanpa mengira isu perkauman atau agama.

Beliau juga menegaskan bahawa konsep diskriminasi berdasarkan perkauman atau agama, tidak ada dalam kerajaan Selangor pimpinan Pakatan Rakyat yang melaksanakan pentadbiran dengan jujur dan telus untuk semua.

Tiada ulasan: