Rabu, 17 September 2008

Anwar terus berdalih dengan empat syarat baru
BERITA HARIAN ONLINE


PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim terus berdolak-dalik berhubung hasrat Pakatan Rakyat membentuk kerajaan baru dengan mengemukakan pula empat syarat kononnya bagi memastikan peralihan kuasa itu berlaku secara damai.

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu mendakwa, syarat berkenaan juga bertujuan memastikan Barisan Nasional (BN) tidak mensabotaj keinginan rakyat dengan mencetuskan ketegangan kaum.

Empat syarat itu ialah:

• Kerajaan BN memberi jaminan tidak akan menghindar atau menghalang Ahli Parlimennya untuk bertindak bebas mengikut hak Perlembagaan dan kesedaran masing-masing;

• Kerajaan BN tidak boleh menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menahan Ahli Parlimen BN menyertai Pakatan Rakyat atau mana-mana 82 Ahli Parlimen Pakatan Rakyat sedia ada;

• Kerajaan BN tidak akan mengisytiharkan darurat atau menggunakan kuasa polis atau menggantung Perlembagaan atau membubarkan Parlimen sebagai maklum balas terhadap hasrat Pakatan Rakyat untuk menubuhkan kerajaan baru; dan

Kerajaan BN tidak akan melakukan sekatan jalan raya bagi menghalang Ahli Parlimen memasuki Parlimen atau institusi kerajaan lain.

Syarat itu terkandung dalam surat Pakatan Rakyat kepada Abdullah yang dihantar tiga Ahli Parlimen pembangkang - Dr Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai), Johari Abdul(PKR-Kubang Pasu) dan Anthony Loke Siew Fook (DAP-Rasah) ke Pejabat Perdana Menteri, kelmarin.

Pada sidang media di ibu pejabat PKR di sini, semalam, Anwar mendakwa lebih 31 Ahli Parlimen BN sudah memberi jaminan secara bertulis atau lisan untuk menyertai Pakatan Rakyat. Mereka terdiri daripada berbilang bangsa dengan nisbah kaum yang sama rata tanpa membelakangkan kepentingan orang Melayu.

"Kita sudah boleh menubuhkan kerajaan, ini bukan omong-omong kosong atau luahan politik. Saya bertanggungjawab atas apa yang dikata. Malah pagi ini pun saya menerima nota yang ditandatangani seorang Ahli Parlimen BN untuk bersama Pakatan Rakyat dan jumlahnya bertambah setiap jam.

"Kita sudah mengirim surat untuk bertemu Perdana Menteri dan berharap pertemuan itu dapat diadakan dalam masa terdekat bagi membolehkan peralihan kuasa dilakukan secara damai.

"Bagaimanapun, kesabaran kami ada hadnya, jika selepas beberapa hari Perdana Menteri masih tidak memberi sebarang maklum balas, pucuk pimpinan Pakatan Rakyat akan bermesyuarat untuk menentukan tindakan lanjut," katanya.

Ketua Pembangkang itu memberi alasan Pakatan Rakyat menangguhkan penubuhan kerajaan baru itu selama beberapa hari untuk membolehkan Abdullah menyelesaikan masalah dalaman Umno serta memastikan peralihan kuasa tidak menjejaskan keamanan negara dan ketenteraman awam.

Ditanya kenapa pembangkang perlu bertemu Perdana Menteri untuk berbincang soal peralihan kuasa, Anwar berkata: "Buat masa sekarang kita perlu hormati Perdana Menteri selaku pemimpin negara."

Beliau berkata, Pakatan Rakyat memilih pendekatan lembut untuk mendengar pandangan serta kebimbangan Perdana Menteri berhubung perkara ini sebelum menghadap Yang di-Pertuan Agong dan seterusnya ke Parlimen.

Mengenai Ahli Parlimen yang didakwa menyokong Pakatan Rakyat, Anwar berkata belum

sampai masanya untuk mendedahkan senarai itu kerana khuatir mereka akan diganggu dan berhadapan dengan pelbagai masalah.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak menolak kemungkinan ada jemaah menteri, timbalan menteri, ketua menteri, menteri besar serta timbalan menteri besar dalam senarai berkenaan.

Anwar juga memaklumkan bahawa Pakatan Rakyat sudah merangka Kabinet tidak rasmi bagi memastikan dasar penting diberi keutamaan sebaik mendapat mandat menerajui negara.

Tiada ulasan: