Selasa, 23 September 2008

Raja Petra dihantar ke kem Kamunting
Malaysiakini


Raja Petra Kamaruddin dihantar ke Kem Tahanan Kamunting hari ini untuk menjalani tahanan selama dua tahun bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata peguamnya.

Menteri Dalam Negeri telah menandatangani perintah tahanannya malam tadi mengikut seksyen 8 akta tersebut, yang membolehkan beliau ditahan tanpa bicara.

Mengikut akta tersebut, perintah tahanan ke atas Raja Petra itu boleh disambung setiap dua tahun.

Menurut peguamnya, pihak polis telah memaklumkan kepada mereka pagi ini bahawa Raja Petra akan dibawa ke Kamunting.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan mendengar hari ini permohonan habeas corpus yang difailkan oleh peguam Raja Petra untuk membatalkan penahanan blogger tersebut.

Habeas corpus adalah permohonan untuk membawa tahanan ke mahkamah untuk menentukan sama ada berlaku kecacatan dalam perintah tahanan tersebut dan menjadikannya tidak sah.

Isteri Raja Petra, Marina Abdullah mengesahkan bahawa polis telah memaklumkan kepadanya bahawa KDN telah mengeluarkan perintah tahanan tersebut semalam.

Raja Petra, 58, yang ditahan bersama dua orang lagi minggu lalu, kini ditahan di lokasi yang tidak diketahui.

Dua orang lagi - wartawan kanan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng, 33, dan exco kerajaan Selangor, Teresa Kok, 43 - telah dibebaskan.

Tan dibebaskan 18 jam selepas dia ditahan, manakala Teresa dibebaskan tujuh hari kemudiannya.

Mengikut peguam J Chandra, Raja Petra ditahan kerana menyiarkan artikel dalam lamanwebnya yang mencemarkan kepimpinan negara dan menghina Islam.

Beliau sebelum ini telahpun dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan menghasut dan fitnah selepas mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isterinya, dengan kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu.

Tiada ulasan: