Ahad, 28 September 2008

Jadikan PAS wadah penyelamat kebobrokan Umno-BN
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR - Umat Islam digesa untuk sama-sama menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan Islam dan Melayu di negara ini.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu menegaskan ia sepatutnya menjadi misi setiap ahli PAS dalam mengajak rakyat Malaysia lain yang beragama Islam bagi menjadikan PAS sebagai platform perjuangan nasib mereka pada masa akan datang.

"Itulah saranan kita supaya orang Islam mesti bersama-sama dengan PAS.

"Ini kerana ia merupakan sebuah parti yang mempunyai matlamat dan dasar yang jelas membuktikan ianya patut didokongi oleh semua orang Islam," katanya kepada Harakah.

Minggu lalu, Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang menyarankan 'Mari bersama PAS' sebagai misi ahli-ahli dan semua peringkat parti untuk memperluaskan strategi dan pendekatan mengajak orang ramai menyertai PAS.

Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh saranan Presiden PAS yang mengajak orang ramai menyertai parti itu.

Ketuanya, Salahudin Ayub telah menyahut saranan tersebut dengan meningkatkan keupayaan Pemuda bagi menarik minat serta sokongan anak-anak muda.

"Pemuda sedang mempelbagaikan pendekatan terutamanya dalam aspek rekreasi, sukan, hiburan yang tidak melampau," katanya kepada Harakah.

Ditanya mengenai cadangan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat mengenai perhatian serius Pemuda dalam mendekati golongan belia sebagai dakwah kepada Islam dan PAS, beliau menyatakan bahawa pemuda telah mengambil tindakan.

"Dalam ucapan tema Ketua Pemuda PAS baru-baru ini, saya telah menyebutkan bahawa Pemuda PAS Wilayah Persekutuan telah menubuhkan Kelab Ramaja Ibukota.

"Ia adalah sebagai inisiatif bagi mempelbagaikan pendekatan kepada golongan belia dan remaja," ujarnya yang juga merupakan ahli Parlimen Kubang Krian

Tambahnya, Pemuda sememangnya telah lama memberikan fokus kepada aktiviti dalam aspek kebudayaan khususnya kepada remaja bukan Islam.

"Selain mengajak mereka mengenali Islam, ia turut berperanan dalam menerangkan intipati Islam kepada mereka," demikian ujarnya.

Bagi Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad pula menyifatkan saranan itu sangat sinonim dengan keperluan semasa dan bertepatan dengan keperluan hari ini.

"Sesuai dengan PAS yang membawa wadah Islam yang akan memberikan kesejahteraan pada kegawatan politik, ekonomi, kemasyarakatan dan kenegaraan di Malaysia," katanya kepada Harakah.

Tambahnya, dengan lain perkataan hanya Islam sahaja yang boleh menjadi penyelesaian kepada seluruh masalah sekarang ini.

Keadaan politik semasa telah membuktikan bahawa Umno kini sudah tidak relevan dalam membela survival Islam dan Melayu di negara ini, demikian ulas Setiausaha Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah al-Jundi.

Beliau berpendapat sudah sampai masanya rakyat bersama-sama perjuangan PAS setelah menjadi mangsa kelemahan pentadbiran kerajaan Umno-BN.

"Separuh abad di persada politik negara sebenarnya telah menguji PAS dalam kongkongan politik Umno khususnya dalam kemampuan mentadbir kerajaan negeri Kelantan hampir 20 tahun," ujarnya ketika dihubungi Harakah.

Jelasnya, umum boleh menilai sendiri bahawa tiada kemunduran rakyat di Kelantan sepanjang pentadbiran PAS.

"Malah mereka membangun berbanding rakyat di negeri lain dalam pencapaian pelbagai sektor. Kemungkinan ini adalah hasil didikan seimbang di negeri mereka yang memenuhi tuntutan fizikal dan spiritual," tambahnya.

Bagi Athirah, telah tiba untuk rakyat menukar wadah.

"Kita mempersoalkan Umno yang memomokkan bahawa negara kita dikuasai orang Cina, bangsa Melayu dan umat Islam telah semakin terpecah jika dibenarkan beralih kepada Pakatan Rakyat," tegasnya lagi.

Tambahnya lagi, jika rakyat meragui kesan penyertaan tersebut yang boleh menghakis ketuanan Melayu Islam, kini sudah tiba masanya untuk Umno berkorban meninggalkan parti yang hampir mati itu.- (tmj)_

Tiada ulasan: