Sabtu, 20 September 2008

Menyokong Pembangkang 4 Ahli UMNO Dipecat
BERNAMA


KUALA LUMPUR: Empat anggota Umno dipecat setelah didapati menyokong dan menyertai parti pembangkang semasa pilihan raya umum Mac lepas.

Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, Jawatankuasa Pengurusan Umno telah mengesahkan mereka yang terlibat itu terdiri daripada seorang anggota bahagian Beluran dan tiga lagi daripada bahagian Beaufort di Sabah.

“Surat akan dihantar kepada anggota berkenaan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini hari ini.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat MT Umno itu berkata, keempat-empat mereka itu telah dikenal pasti bertanding menentang anggota Barisan Nasional (BN) di Sabah pada pilihan raya umum 8 Mac lepas.

“Keempat-empat mereka akan dipecat kerana bertanding menentang anggota BN semasa pilihan raya ke-12,” katanya.

Abdullah berkata mesyuarat MT Umno hari ini turut membincangkan persiapan bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Pensiangan, Sabah.

Ditanya mengenai calon yang akan diketengahkan pada pilihan raya kecil itu, Abdullah berkata: “Belum lagi. Kita sedang membuat rayuan.”

Pada 8 September lepas, kerusi Parlimen Pensiangan dikosongkan selepas Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengisytiharkan kemenangan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Tan Seri Joseph Kurup pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, batal dan tidak sah.

Ditanya sama ada mesyuarat Majlis Tertinggi hari ini membincangkan mengenai hasrat mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai semula Umno, Abdullah berkata: “Ia tak dibawa untuk dibincang.”

Tengku Adnan menjelaskan isu kemasukan semula Tun Mahathir Mohamad ke dalam Umno tidak dibincangkan pada mesyuarat itu memandangkan Umno belum lagi menerima borang pemohonan daripada Dr Mahathir.

“Permohonan masih belum diterima, jadi tidak bawa ke MT. Kalau terima kita bawalah,” katanya.

Tiada ulasan: