Lilin dipasang tanda sokongan pada Teresa
Rahmah Ghazali
Suasana muram menyelubungi suasana di ibupejabat DAP di Petaling Jaya malam tadi ketika parti itu mengadakan majlis memasang lilin untuk ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang ditahan di bawah ISA semalam.
Seramai kira-kira 100 orang menghadiri majlis tersebut yang bermula jam 7.30 malam sebagai tanda sokongan kepada Teresa.
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, lilin-lilin tersebut memberi cahaya dan pengharapan kepada Teresa serta menandakan setiap hari ahli parlimen itu ditahan.
"Kita tahu beliau dalam keadaan semangat yang tinggi dan saya rasa kita juga mesti bersemangat yang sama yang ditunjukkan beliau dan kita akan meneruskan perjuangan ini," katanya.
Lim yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, memberitahu para hadirin bahawa beliau telah diberi jaminan yang Teresa dijaga dengan baik.
Beliau yang telah bercakap dengan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar malam tadi, berkata mereka telah bersetuju untuk membenarkan ibu bapa Teresa menemui anak mereka.
"(Tetapi) beliau (Ismail) berkata beliau perlukan sedikit masa. Beliau bagaimanapun berjanji Teresa akan dilayan dengan baik dan polis akan menyediakan apa sahaja yang dia minta. Kita berpegang pada janjinya," tambah Lim.
Timbalan ketua polis negara itu bagaimanapun tidak memberi maklumat mengenai tempat Teresa ditahan.
Lim juga berkata, beliau mengesyaki penahanan Teresa itu ada kaitan dengan skandal wanita yang disuruh ketuk ketampi dalam keadaan bogel yang berlaku tiga tahun lalu, di mana ahli Parlimen Seputeh itu "telah mendedahkan salahlaku dan salahguna kuasa oleh polis".
"Adakah ini (penahanan Teresa) untuk membalas dendam terhadapnya? Kita harap ianya tidak, kerana kita tidak dapat terima kuasa polis disalahgunakan," tambahnya.
Semalam, Kok yang juga exco kanan kerajaan Selangor dan ahli dewan undangan negeri Kinrara, ditahan dekat rumahnya tanpa alasan yang khusus.
Bagaimanapun, ada pihak yang percaya ianya mungkin berkaitan dengan satu laporan dalam Utusan Malaysia, yang mendakwa Teresa adalah orang di sebalik petisyen yang menuntut supaya diperlahankan bunyi pembesar suara ketika laungan azan di beberapa buah masjid.
Mengikut perkembangan terbaru hari ini menunjukkan Teresa ditahan kerana didakwa menyebabkan ketegangan dan konflik antara kaum, sepertimana yang dinyatakan dalam notis yang dikeluarkan oleh polis cawangan khas.
Teresa telahpun menafikan dakwaan tersebut dan mahu mengambil tindakan undang-undang terhadap akhbar berkenaan dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Mohd Khir Toyo kerana membuat dakwaan itu.
Teresa merupakan ahli Parlimen wanita yang pertama ditahan di bawah ISA.
Sementara itu, majlis memasang lilin turut diadakan di luar ibupejabat polis Bukit Aman yang berakhir selama 12 minit sebelum pihak polis mengarahkan mereka bersurai.
Ia diadakan kira-kira 100 meter dari pintu masuk ke Bukit Aman bagi membantah penahanan tiga individu di bawah ISA, yang membolehkan mereka ditahan tanpa bicara.
Majlis yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) itu bermula jam 8.30 malam tadi, tetapi polis kemudiannya memberi mereka masa 15 minit untuk mengadakan protes tersebut dan bersurai.
Kira-kira 100 yang menghadiri majlis itu, memasang lilin dan menyanyikan lagu-lagu reformasi, sambil diperhatikan oleh 80 anggota polis, sebahagian besarnya dari balai polis daerah Dang Wangi.
Bagaimanapun, belum pun tamat tempoh 15 minit itu - pada jam 8.42 malam - polis mengarahkan mereka bersurai.
Manakala kira-kira 30 anggota polis gerak khas (LSF) pula mula mengetuk cota mereka pada perisai, bersiap sedia untuk bertindak.
Walaupun tidak puashati tetapi mereka mematuhi arahan polis dan bersurai dari situ.
Hadir sama ialah isteri Raja Petra Kamaruddin - Marina Abdullah - yang mahu para wartawan bersatu untuk membantah penahanan rakan mereka di bawah ISA.
Marina - yang suaminya turut ditahan di bawah ISA semalam - merujuk kepada penahanan wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng di bawah ISA kerana melaporkan ucapan Datuk Ahmad Ismail yang didakwa berbaur perkauman sewaktu pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh. Tan telah dibebaskan.
Seorang lagi yang turut ditahan di bawah ISA ialah Teresa Kok.
Pada kira-kira jam 9.15 malam, sebahagian besar orang ramai telah beredar dari situ.
Yang tinggal adalah pihak penganjur, dengan pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh meminta semua pertubuhan sivil, sosial serta aktivis politik berusaha ke arah memansuhkan ISA.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan